Faktor Diskriminasi China Terhadap Muslim Uighur
1) Xinjiang kaya dengan sumber minyak.
Penemuan minyak di Xinjiang telah menarik perhatian seluruh dunia dan delegasi ke Xinjiang. Beijing pula bimbang sekiranya pengaruhnya ke atas Xinijang akan hilang maka China telah merancang untuk membangunkan Xinjiang sebagai penghubung dengan Asia Tengah, rancangan ini termasuklah meningkatkan migrasi etnik Han; etnik majoriti di China ke Xinjiang.
Pelbagai perancangan telah dilakukan termasuklah (1990) mencipta Zon Ekonomi Khas, memberi subsidi kepada para petani kapas tempatan dan merombak semula sisitem cukai. Xinjiang (Ogos 1991) melancarkan Projek Tarim Basin untuk meningkatkan hasil pertanian. Kemudian, Beijing melabur dalam infrastruktur Xinjiang, projek pembangunan besar-besaran seperti Lebuhraya Tarim Desert dan landasan kereta api ke barat Xinjiang. Projek ini dibina untuk ‘’mengikat’’ Xinjiang dengan Republik Rakyat China.
Kemudian, Xinjiang telah dibina sebuah penempatan pertanian; Bintuan (1954) melalui Pasukan Penghasilan dan Pembangunan Xinjiang (XPCC) yang bertujuan untuk membina dan menjaga sempadan China, mempunyai organisasi keselamatan tersendiri; pasukan polis bersenjata dan tentera, dan mampu menarik pekerja asing secara konsisten. Hasilnya, Xinjiang mula dikawal rapi oleh XPCC. Kemudian, Beijing mula memperkenalkan Xinjiang kepada seluruh dunia dengan kempen ‘’ ’Open up the West’’ dan ‘’Go West’’ melalui sebuah polisi pada tahun 2000.
Pada tahun 2010, Parti Komunis China bertemu untuk membincangkan pembangunan ekonomi Xinjiang dan menetapkan pelan lima tahun untuk meningkatkan pembangunan dan kestabilan berpanjangan. Tetapi hakikatnya pelan itu bertujuan untuk menghapuskan populasi etnik Muslim Uighur.
2) Potensi ekonomi wilayah Xinjiang
Pelan pembersihan etnik Uighur dapat dilihat apabila semakin bertambah peluang pekerjaan di Xinjiang, semakin ramai pekerja asing ke Xinjiang, di mana majoritinya terdiri daripada etnik Han dan meningkat dari 6.7% (1949) ke 40% (2008). Malah migrasi etnik Han disokong oleh kerajaan China dengan memberi insentif kepada sesiapa sahaja dari setiap pelosok negaranya yang berpindah ke Xinjiang atas alasan untuk merekrut tenaga kemahiran dan meningkatkan kestabilan.
Bukan itu sahaja, peluang pekerjaan banyak diberi kepada etnik Han berbanding Muslim Uighur oleh kebanyakan syarikat swasta dan kerajaan. Ditambah pula dengan etnik Han yang berkecenderungan untuk lebih kaya berbanding Uighur apabila ekonomi Xinjiang dimonopoli oleh Han manakala Uighur hanya bergantung kepada jualan karpet dan permaidani. Bukan itu sahaja, pelan diteruskan dengan pemusnahan kota Kashgar; terletak di Jalan Sutera yang banyak menyimpan sejarah dan kebudayaan etnik Uighur atas alasan langkah berjaga bagi menghadapi gempa bumi.
Parti Komunis berkata polisi yang dikenakan ke atas Xinjiang bertujuan untuk membangunkan ekonomi bukan perubahan demografi namun, dengan kebanjiran etnik Han ke Xinjiang, Muslim Uighur turut menghadapi kekangan sumber air bersih dan tanah subur untuk minuman, pertanian dan pengairan.
Kemuncak kepada ketegangan etnik ini berlaku apabila rusuhan dahsyat berlaku pada Julai 2009 antara komuniti Han dan Uighur serta polis di ibu kota Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR), Urumqi yang berpunca daripada bantahan terhadap pembunuhan dua orang Muslim Uighur di selatan wilayah Guandong. Hampir 200 orang terbunuh, 1600 orang cedera dan 718 orang ditahan oleh polis. Sejak itu, beberapa siri rusuhan telah berlaku dan menjadikan Xinjiang wilayah yang paling tidak stabil di China.
3) Islam di Xinjiang mengancam kerajaan China
Di Xinjiang, amalan keagamaan dilihat sebagai sebahagian daripada kebudayaan-etnik yang membezakan Uighur dengan Han. China pula mempunyai visi untuk menyatukan etnik dan mahu menghapuskan segala halangan dalam mempercepatkan proses asimilasi.
Parti Komunis China mempercayai bahawa setiap rakyatnya mestilah setia kepada China terlebih dahulu manakala etnik atau agama di kedudukan kedua. Sebarang idea yang mengancam untuk menggulingkan pemerintahan ini sama ada pemisahan secara terang-terangan atau sekadar menguatkan etnik atau identiti agama, merupakan sasaran untuk menjatuhkan parti tersebut.
Dalam Perkara 36 dalam perlembagaan China,’’ “Tidak ada yang boleh menggunakan agama untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam, merosakkan kesihatan rakyat atau mengganggu sistem pendidikan di negeri ini.” Ditambah pula dengan amaran bahawa badan-badan agama dan urusan tidak tertakhluk kepada mana-mana dominasi asing. Bermakna segala perkara yang melibatkan agama tertakhluk di bawah pemerintahan China.
Manakala Perkara 1 mengatakan sistem sosialis adalah sistem asas Republik Rakyat China. Gangguan terhadap sistem sosialis oleh mana-mana organisasi atau individu adalah dilarang. Inilah hujah yang digunakan oleh parti ini dalam setiap ‘’tindakan keras’’ yang dilakukannya ke atas Muslim Uighur.
Kesimpulan
Muslim Uighur telah banyak menderita atas tindakan China yang menekan sehinggakan banyak rakyatnya yang berpindah ke luar negara seperti di Turki, Arab, Kanada, Amerika Syarikat dan lain-lain. Jika keadaan ini berterusan tanpa ada jalan penyelesaian, China akan menguasai keseluruhan Timur Turkistan, muslim Uighur akan berterusan menjadi pelarian dan Islam juga akan sentiasa terancam serta bakal terhapus dari bumi Timur Turkistan.
Nurul Fitrah Abdullah
Sumber: CFR, The Diplomat, al-Jazeera, BBC