Pagi Ahad lalu, anggota polis Israel telah memecah masuk ke dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa dan menembak ke arah Muslim yang datang untuk beribadah di masjid tersebut menggunakan bom tangan setrum serta peluru besi bersalut getah untuk memberi laluan kepada golongan Yahudi yang hadir ke perkarangan Masjid Al-Aqsa sempena hari Tisha B’Av.
Berikutan insiden terbabit, berlaku pergelutan antara kedua-dua pihak melibatkan anggota polis Israel serta penduduk Palestin yang berada di dalam masjid tersebut. Akibat daripada serangan yang dibuat oleh polis Israel, berpuluh-puluh penduduk Palestin tercedera kerana terkena peluru serta gas pemedih mata yang dilepaskan.
Mereka turut diserang dengan penyembur lada dan senapang. Sekurang-kurangnya tiga orang penduduk Palestin dilaporkan ditahan. Selain itu, tentera Israel juga dilaporkan melancarkan serbuan ke atas Masjid Al-Aqsa dan menembak ke dalam kawasan ibadah. Terdapat juga maklumat yang mengatakan pendatang Yahudi yang masuk ke perkarangan masjid itu bertindak membaling naskhah Al-Quran serta menyerang wanita yang berada di dalam masjid tersebut.
Sementara itu, agensi berita Palestin pula menyatakan beberapa orang Yahudi telah menyerang seorang kanak-kanak Palestin berdekatan salah satu daripada pagar yang menuju Masjid Al-Aqsa pada Sabtu lalu, mengakibatkan campur tangan sekumpulan penduduk Palestin sebelum pihak polis datang untuk memberhentikan pergaduhan itu.
Setelah pertembungan itu semakin reda, kumpulan Yahudi tersebut meneruskan kemasukan mereka ke dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa melalui pintu Morocco. Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel merupakan salah seorang daripada penyokong sayap kanan yang turut membuat lawatan ke kawasan perkarangan Masjid Al-Aqsa dengan iringan polis.
Sejak kebelakangan ini, berlaku sedikit ketegangan di Masjid Al-Aqsa apabila sebuah organisasi Yahudi menginginkan supaya kawasan masjid tersebut dibuka pada minggu tersebut selepas Tisya B’Av dan ada di antara mereka yang menguar-uarkan bahawa Israel kini sedang berunding untuk pembukaan kawasan tersebut kepada golongan bukan Islam sebagai tempat ibadah.
Pada 1967, berikutan insiden kemasukan penduduk Israel di Timur Jerusalem, Israel telah menetapkan perjanjian dengan Islamic Endowment untuk tidak membenarkan golongan bukan Islam untuk beribadah di perkarangan Masjid Al-Aqsa. Mereka hanya dibenarkan untuk melakukan ibadah di kawasan Tebing Barat, bekas tinggalan ‘Kuil yang Kedua’. Walau bagaimanapun tindakan anggota polis Israel yang mengiringi sekumpulan Yahudi yang datang untuk beribadah benar-benar membangkitkan kemarahan umat Islam di situ.
Respon Hamas
Kejadian yang menimpa penduduk Palestin Ahad lalu telah mendapat perhatian pihak luar. Hamas menyokong tindakan penduduk Palestin yang menyerang kembali dengan menyatakan bahawa kumpulan penentang di Tebing Barat tahu bagaimana untuk bertindak apabila berlaku pencabulan terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa selepas serangan yang dilakukan oleh ratusan tentera Israel dan orang Yahudi yang datang untuk menandakan cuti Tisha B’Av, iaitu hari memperingati kejatuhan kuil mereka yang pertama dan kedua.
Hamas juga mengatakan serangan terbaru ini menjadi bukti akan serangan Israel yang berterusan ke atas penduduk Palestin, merupakan perkara yang memalukan bagi pihak Israel terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam koordinasi keselamatan kemasukan penduduk Israel.
Selain itu, Hamas menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat serta rakyat Arab-Israel untuk bangkit menentang keganasan di Masjid Al-Aqsa, memuji keberanian penduduk Palestin yang sentiasa bersedia melawan orang Yahudi yang datang ke Masjid Al-Aqsa. Mereka juga menggesa agar pihak berkuasa Palestin membebaskan kumpulan penentang yang ditahan di penjara.