Hegemoni Amerika Syarikat Semakin Luas dengan Kumpulan TPPA Kedua

41398510849_950x600

 

Baru-baru ini Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Sofyan Djalil mengeluarkan kenyataan mengenai  keterbukaan Indonesia untuk menyertai perjanjian TPP. Kenyataan tersebut dibuat berikutan kejayaan yang dicapai Obama untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi peruntukan TPA (Trade Promotion Authority) atau lebih dikenali sebagai fast track. Peruntukan tersebut bertujuan bagi membenarkan Amerika Syarikat untuk mengadakan perjanjian perdagangan dengan mana-mana negara walaupun tindakan tersebut bakal bertentangan dengan undang-undang mereka sepertimana yang berlaku dalam isu pemerdagangan manusia yang dihadapi Malaysia.

 

Pendirian terbaru oleh Indonesia ini dapat dijangka berikutan sikap keterbukaan mereka dalam mengadakan perjanjian perdagangan dengan negara-negara lain. Malah, baru-baru ini Indonesia meningkatkan lagi komitmen mereka menerusi perjanjian yang sudah sedia ada seperti perjanjian yang dibuat dengan Australia, Chile, negara-negara Eropah, Korea Selatan dan Turki, yang sebelum ini menunjukkan perkembangan yang perlahan.

 

Selain daripada Indonesia, Filipina juga merupakan antara negara yang menyatakan hasrat mereka untuk menyertai TPP. Namun, menurut Setiausaha Perdagangannya, Gregory Domingo, Filipina tidak akan menyertai rundingan TPP sekarang dan bakal menyertainya selepas rundingan kumpulan pertama selesai. Hal ini berikutan  negara tersebut terpaksa menggubal perlembagaan mereka dan beberapa peruntukan perundangan bagi memenuhi tuntutan dalam perjanjian TPP, termasuklah dalam isu sensitif berkenaan perlindungan pasaran domestik mereka. Menurutnya lagi perkara itu tidak dapat dicapai dalam masa terdekat dengan pemerintahan yang sedia ada. Malah, perkara ini sudahpun dibincangkan di Parlimen mereka dan keputusan untuk menggubal perlembagaan negara tersebut tidak mendapat undi majoriti. Walaubagaimanapun usaha tersebut bakal dilakukan sekali lagi selepas Pilihanraya Presiden mereka tahun hadapan.

 

Melihatkan reaksi negara-negara Asia Pasifik yang lain, sepertimana yang ditunjukkan oleh Indonesia dan Filipina, perjanjian TPP semestinya memberi impak yang besar terhadap lanskap geopolitik di rantau ini. Walaupun kini ASEAN sedang giat meneruskan usahanya dalam menjayakan rancangan ekonominya yang terbaru, RCEP namun banyak negara masih berkira-kira untuk menyertai TPP pada masa yang sama.

 

Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia turut menyebut keputusan Indonesia ini didorong atas faktor negara itu takut ketinggalan sekiranya TPP berjaya dilaksanakan melihatkan negara-negara jiran seperti Malaysia, Brunei, Singapura dan Vietnam yang turut serta dalam perjanjian tersebut. Selain daripada Indonesia dan Filipina, beberapa negara turut menyatakan hasrat mereka untuk menyertai TPP dalam kumpulan yang kedua selepas rundingan negara kumpulan pertama selesai dan berjaya mencapai kata putus. Antara negara tersebut adalah; Colombia, Taiwan, Thailand, dan Korea Selatan.

 

Justeru dengan kemungkinan yang besar untuk berlakunya pertambahan negara yang bersetuju untuk menyertai TPPA, hal ini sudah tentu akan mengubah lanskap geopolitik di rantau Asia Pasifik dengan begitu ketara. Amerika Syarikat kini dapat memastikan pengaruh mereka di rantau ini dapat dipertahankan dan diperkembang.

 

Sekiranya ada yang berpendapat bahawa sesebuah perjanjian perdagangan hanyalah semata-mata sebuah perjanjian ekonomi, tanpa melibatkan sebarang percaturan kuasa, maka hal itu ternyata meleset jika kita lihat rasional di sebalik keputusan Amerika Syarikat yang tidak mengadakan sebarang  FTA dengan Great Britain dan Jepun. Hal ini disebabkan mereka sudah pun memastikan negara-negara tersebut mampu menjadi sekutu kuat buat mereka tanpa melalui proses rundingan ekonomi seperti TPPA.

 

Oleh itu, kita dapat lihat bagaimana Amerika Syarikat kini giat menjalankan misi hegemoni mereka untuk menambah sekutu di Asia Pasifik, dengan menguatkan hubungan yang sudah sedia ada melalui sebuah perjanjian perdagangan yang diberi nama TPPA yang kini menunggu kumpulan negara yang kedua.

 

Nur Hanis Mohamad Noor

Penganalisis IRIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tragedi Ektremis Yahudi, Ketegangan Kian Meningkat di Tebing Barat

Next Post

Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh (Siri 2)

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content