Konflik Saudi-Yemen, Hari Malaysia, dan Sangkar Garisan Palsu

Dua peristiwa yang pada zahirnya tiada kaitan sedang berlaku serentak minggu ini. Di Timur Tengah, konflik antara Yaman dan Arab Saudi kembali memanas. Di rantau kita pula, rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia pada 16 September, memperingati detik penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

Namun, kedua-dua peristiwa ini sebenarnya berkongsi satu benang sejarah yang sama iaitu pemecahan wilayah melalui garisan sempadan yang dilukis oleh kuasa penjajah, dan kesan garisan itu yang masih membelenggu kita sehingga hari ini.

Garisan di Atas Pasir

Pergolakan Yaman-Saudi hari ini tidak boleh dilihat sebagai peristiwa yang terpisah daripada suatu realiti yang lebih besar. Pada hakikatnya ia adalah perubahan berterusan pada peta geopolitik Timur Tengah, yang kini boleh dikatakan mengalami fasa kritikal sejak Israel semakin agresif dan ‘meroyan’ di rantau itu.

Sebahagian pengkaji strategik melihat proses ‘Balkanisasi’ rantau ini, iaitu pemecahan negara besar kepada unit-unit kecil yang lebih mudah dikawal, sebagai cerminan strategi Israel untuk memperkukuh penguasaannya ke atas rantau ini, ke arah wilayah yang lazim disebut ‘Israel Raya.’

Realiti ini bukanlah baru. Lebih seratus tahun lalu, garisan-garisan dilukis di atas pasir sebagai sempadan baharu Timur Tengah, satu proses yang dirakamkan dengan terperinci dalam A Line in the Sand: Britain, France and the Struggle that Shaped the Middle East, tulisan sejarawan James Barr.

Melukis sempadan bukan usaha mudah, walaupun oleh kuasa kolonial sebesar dan sekaya British dan Perancis. Apa yang mereka capai adalah hasil grand strategy merentasi bidang politik, ekonomi dan keselamatan, serta persaingan dan konspirasi sesama mereka sendiri.

Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana semua langkah itu berjaya diterima sebagai realiti baharu oleh masyarakat Timur Tengah sendiri, khususnya elit dan pembesar tempatan. Itu tidak mungkin berlaku melainkan mereka sendiri telah mengalami satu peralihan cara berfikir dalam melihat diri, bangsa, dan tanah air mereka.

Usaha memecahkan status quo dan legasi zaman-berzaman itu kini dilihat berbaloi bagi perancangnya. Walaupun kuasa kolonial sudah lama berundur secara fizikal, negara-negara Timur Tengah masih bergantung kepada kuasa-kuasa Barat, dan mudah dicaturkan untuk terbenam dalam pelbagai krisis, sehingga membentuk realiti yang selari dengan rekabentuk yang diingini oleh kuasa besar.

Garisan di Atas Tanah & Air

Jika di Timur Tengah garisan dilukis di atas pasir, di Asia Tenggara ia dilukis di atas tanah & air. Sebuah rantau besar merangkumi semenanjung dan gugusan kepulauan turut disempadankan secara ‘artificial’ mengikut logik kepentingan kuasa kolonial abad ke-19.

Banyak wilayah yang asalnya satu dari segi identiti, sejarah, etos dan gaya hidup dipecahkan, manakala wilayah yang tiada acuan sejarah yang sama digabungkan pula.

Sepanjang tempoh pengunduran fizikal kuasa kolonial di rantau Nusantara, dari tahun 1940-an hingga 1960-an, sebenarnya terdapat peluang untuk rantau ini merungkai semula sempadan ciptaan penjajah dan memikirkan semula rekabentuknya mengikut identiti dan etos asal.

Peluang ini disuarakan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, tokoh nasionalis dan Presiden PAS ketiga, yang memetik peribahasa “biduk lalu, kiambang bertaut semula” untuk menggambarkan hasratnya menyatukan semula wilayah besar bangsa Melayu dalam bentuk sebuah wilayah kemakmuran ‘Melayu Raya,’ agar mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa besar dunia di pentas global.

Lontaran itu logik, dan selari dengan semangat perjuangan kemerdekaan. Tetapi ia tidak disambut baik. Malah dikritik oleh pembesar dan pemimpin Melayu yang lain. Ternyata meskipun mereka mahukan kemerdekaan, mereka telah menerima rekabentuk serantau ciptaan penjajah yang memecah-mecahkan Alam Melayu kepada beberapa buah negara baharu dengan identiti dan komposisi yang berkecamuk.

Pada tahun 1963, sebahagian kepulauan Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak, digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia. Ketika itu Dr Burhanuddin membangkitkan persoalan di Parlimen: mengapa tidak turut digabungkan wilayah-wilayah lain, khususnya Filipina dan Indonesia?

Bukankah itu lebih selari dengan agenda merungkai rekabentuk kolonial, dan lebih sealiran dengan cita-cita membentuk sebuah kuasa baharu di Asia Tenggara yang tidak terikat kepada blok Barat mahupun Timur?

Persoalan itu tidak menemui jawapan yang memuaskan. Bukan mudah untuk mengeluarkan minda yang telah lama dibentuk oleh cara fikir anglophile yang pro-kolonial. Kuasa penjajah telah berjaya membentuk satu generasi tempatan yang mampu meneruskan agenda dan rekabentuk kolonial atas kehendak dan usaha mereka sendiri, tanpa perlu kepada kehadiran fizikal pentadbir penjajah lagi.

Lebih 60 tahun berlalu sejak penggabungan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung. Kita masih mewarisi pelbagai persoalan dan masalah yang timbul daripada penggabungan yang, jika dilihat secara retrospektif, dijalankan tanpa halatuju yang benar-benar jelas. Kita juga masih hidup dalam rekabentuk serantau yang memisahkan bangsa yang berkongsi etos dan impian yang sama, hanya kerana garisan yang dilukis di atas selat, laut dan sungai mengikut logik kolonial.

Merungkai Sangkar ‘Artificial’

Sejarah sempadan, sama ada di Timur Tengah atau di Nusantara, bukan sekadar geografi. Pada hakikatnya ia merupakan sebuah paparan mengenai pembinaan kuasa; bagaimana sesebuah bangsa boleh diperdaya, atau dibentuk, untuk menerima realiti baharu ciptaan orang lain sebagai realitinya sendiri.

Kita mungkin tidak selesa mengakuinya, tetapi sambutan Hari Malaysia tahun ini wajar menjadi ruang untuk kita berhenti sejenak dan bertanya: adakah kita telah keluar sepenuhnya daripada rekabentuk yang diwarisi daripada penjajah, atau kita masih menghidupkannya tanpa sedar? Penjajah sudah lama meninggalkan rantau ini, namun sangkar pemikiran yang mereka tinggalkan mungkin masih kekal.

Satu-satunya jalan keluar ialah apabila bangsa ini mempunyai keberanian untuk berfikir semula, menentukan acuan dan halatuju hidup bernegaranya sendiri, dengan kembali kepada khazanah pengalaman dan ilmu bangsa ini sendiri. Ketika itu barulah pintu perubahan yang sebenar akan terbuka.

Oleh:
Syed Ahmad Israa’
CEO IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

90% pengeluaran elektrik Southern Johor Renewable berpotensi dieksport ke Singapura mulai 2029

Related Posts