Penulisan pada kali ini akan menganalisa perkembangan terbaru projek PenChinaan di Malaysia. Sejauh manakah penerusan projek-projek PenChinaan ini akan mengukuhkan lagi cengkaman China ke atas Malaysia? Analisa perkembangan akan dibahagikan kepada beberapa kajian kes dalam bidang utama iaitu politik, ekonomi dan sosial.
Persoalan yang berkait dengan aspek politik ialah; Apakah strategi dan pelan keseluruhan DAP sebagai sebuah parti dengan China? Kajian mendapati terdapat pola yang menunjukkan usaha ke arah menjadikan China sebagai penaja utama untuk sebuah kerajaan pusat yang akan diterajui oleh DAP. Antara faktor yang menyumbang ke arah usaha ini ialah; 1) hubungan rasmi kerjasama politik antara Parti DAP dan Parti Komunis China (CCP), 2) penyusunan wakil DAP di dalam pos-pos strategik yang menguruskan hubungan dan projek-projek pelaburan Malaysia-China, dan 3) Peningkatan pelaburan luar terus dari China ke Pulau Pinang.
Faktor-faktor ini membawa kepada implikasi berikut; 1) Hubungan rasmi yang terjalin antara DAP dan CCP dalam pelbagai bidang akan mengukuhkan sumber kewangan DAP yang diperolehi daripada CCP, 2) DAP akan meningkatkan kawalan terhadap aliran keluar masuk pelaburan luar terus dari China melalui projek—projek pembangunan yang dijalankan, dan 3) Peningkatan bantuan ekonomi dari China dalam skala yang besar akan mengurangkan kebergantungan ekonomi kerajaan negeri Pulau Pinang kepada kerajaan pusat.
Persoalan yang timbul dalam bidang ekonomi ialah, apakah implikasi daripada penerusan projek Bandar Malaysia kepada ekonomi negara secara umum dan nasib orang Melayu secara khusus? Kajian mendapati penerusan Bandar Malaysia lebih menguntungkan kapitalis Cina tempatan dan global berbanding negara dan orang Melayu secara keseluruhan.
Tiga faktor yang menyumbang ialah; 1) Pemilikan majoriti tanah Bandar Malaysia masih lagi dipegang oleh konsortium swasta melalui penjualan majoriti 60% pemilikan tanah oleh kerajaan Malaysia, 2) Penganugerahan kontrak pembinaan di kawasan Bandar Malaysia rata-rata diperolehi oleh pemaju Cina tempatan dan China global, dan 3) Majoriti penduduk yang akan menduduki Bandar Malaysia adalah dalam kalangan ekspatriat yang majoritinya adalah dari negara China serta warga Cina tempatan.
Faktor-faktor ini membawa kepada implikasi berikut seperti 1) Kerajaan Malaysia akan hilang pegangan penuh terhadap pemilikan tanah Bandar Malaysia, Malaysia apabila menguasai hanya 40% daripada jumlah keseluruhan pemilikan tanah di situ 2) Projek-projek pembinaan di Bandar Malaysia akan menguntungkan kapitalis Cina tempatan dan global, serta 3) Lambakan imigran-imigran China yang akan menduduki dan membeli rumah di kawasan Bandar Malaysia , akan meningkatkan proses gentrifikasi di situ.
Manakala permasalahan bidang sosial, meninjau risiko lambakan kedatangan warga China ke Malaysia. Kajian mendapati risiko ancaman demografi terhadap kedatangan warga China ke Malaysia melalui tiga keadaan; 1) Sindiket kewarganegaraan melalui sektor pelancongan dan polisi kelonggaran visa pelancong dari China, oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. 2) Peningkatan pembinaan infrastruktur perumahan untuk warga ekspatriat China melalui program Malaysia My Second Home (MM2H), serta 3) Peningkatan jumlah pekerja dari China yang datang ke Malaysia untuk menjalankan projek-projek pembinaan infrastruktur.
Faktor-faktor di atas membawa dua implikasi besar dari sudut politik dan sosial. Dari sudut politik, warga-warga China yang datang ke Malaysia melalui program MM2H akan memperoleh kerakyatan penuh dan serta mendapat hak untuk mengundi. Dari sudut implikasi sosial, lambakan pendatang dari China akan mengubah status demografi negeri-negeri di Malaysia, khususnya di bandar-bandar besar.
Berdasarkan dapatan kajian di atas, perkembangan terkini projek PenChinaan menunjukkan China semakin mengukuhkan cengkaman terhadap Malaysia. Kajian mencadangkan keperluan kepada meningkatkan lagi wacana nasional di semua peringkat tentang bahaya Projek PenChinaan ini dan kesannya terhadap kedaulatan negara.
*Laporan ini adalah penulisan analitikal para penyelidik IRIS INSTITUTE tentang isu-isu strategik yang mempunyai implikasi besar dalam setiap bidang utama. Ia memandu para pembaca untuk memahami pelbagai peristiwa yang berlaku dalam kerangka strategik yang autentik. Melalui analisa ini pembaca akan memperolehi perspektif yang betul dan tajam dalam menilai isu seterusnya membolehkan pembaca berfikir dan merancang dalam hala tuju yang tepat.