Melayu Eksotik di Geylang Serai, Singapura

Di waktu petang di Geylang Serai
Terang benderang sungguh lah ramai
Tua dan muda miskin atau kaya
Semuanya ada terdapat di sana

Begitu banyak orang jualan
Sehingga sesak sampai ke jalan
Bermacam barang terdapat di situ
Kasut dan baju macam model baru

(Ahmad C.B, Geylang Waktu Petang)

 

Geylang merupakan antara penempatan terbesar bagi orang Melayu di Singapura sebelum tertubuhnya Housing Development Board (HDB) pada tahun 1960 yang mengubah polisi perumahan di negara itu.

Sepanjang penjajahan British di Singapura, orang Melayu, Cina dan India duduk di kawasan yang berasingan dan membentuk komuniti masing-masing. Orang Melayu kebanyakkannya ditempatkan di pinggir bandar dan membentuk kampung-kampung Melayu.

Antara kampung Melayu yang masih dikenali sehingga kini adalah Geylang Serai dan tidak lupa juga kampung Melayu yang sudah dihapuskan seperti Kampung Glam.

Manakala orang-orang Cina ditempatkan di kawasan-kawasan pusat bandar dan orang India masing-masing tinggal di pinggir bandar namun jumlah komuniti India pada ketika itu amat kecil.

Selepas kemenangan PAP (People’s Action Party) yang diketuai oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1959, mereka menyatakan agenda utama untuk membentuk semula penempatan dan perumahan di Singapura.

Pada ketika ini Polisi Integrasi Etnik menerusi projek pembangunan dan perumahan diperkenalkan.

Polisi Integrasi Etnik menghapuskan Kampung Melayu

Polisi sosial ini meletakkan syarat yang tidak membenarkan sebarang kaum atau etnik untuk mendominasi sesebuah kawasan.

Ini bertujuan untuk menghapuskan sebarang penempatan berasaskan kaum yang dipercayai menjadi punca terjejasnya perpaduan dalam kalangan rakyat.

Namun, kesan daripada polisi ini kampung-kampung Melayu yang pada asalnya merupakan penempatan orang Melayu sebagai penduduk asal tanah Singapura dihapuskan.

Projek perumahan yang lebih moden dibangunkan di tapak penempatan tersebut dan orang Melayu terpaksa ditempatkan bersama-sama dengan kaum lain.

Selain itu, antara syarat yang bermasalah dalam polisi ini adalah jual beli rumah haruslah berdasarkan kaum.

Sekiranya kawasan itu sudah ramai penduduk Melayu, maka orang Melayu tidak boleh menjual rumah mereka kepada pembeli Melayu tetapi rumah itu harus dijual kepada pembeli bukan Melayu.

Kesan daripada polisi ini, orang Melayu Singapura dipaksa untuk berasimilasi dengan kaum lain. Tekanan sosial seperti ketiadaan komuniti dan persekitaran yang “mesra Melayu dan Islam” akhirnya menyebabkan sebahagian daripada mereka membuat keputusan untuk bermigrasi ke luar negara.

Image result for tambak johor ke singapura

Hasilnya kini, kebanyakkan kawasan perumahan terancang di Singapura didiami lebih 80 peratus orang Cina. Kaum lain seperti Melayu dan India adalah selebihnya.

Melayu menjadi eksotik di Singapura

Hari ini jika diamati orang Melayu di Singapura, nilai mereka sudah bertukar daripada menjadi penduduk asal kepada etnik yang kian pupus dan dilihat sebagai ‘eksotik’.

Sebagai contoh, Geylang Serai yang dahulunya merupakan kampung Melayu kini menjadi pusat tarikan pelancongan yang hanya mempamerkan rumah-rumah tradisional orang Melayu.

Bangunan pasar Geylang Serai yang dikatakan membantu orang Melayu dalam perniagaan hanyalah sebagai ‘gula-gula’ untuk mengekalkan mereka dalam ekonomi komersial seperti perlancongan.

Rumah tradisional orang Melayu kini bertukar menjadi muzium, kampung Melayu kini menjadi pusat pelancongan dan tidak mustahil pada masa hadapan orang Melayu sendiri menjadi bahan sejarah di Singapura sebagaimana replika orang Indian Amerika dipamerkan di Musium Smithsonian.

Kesimpulan 

Kesimpulannya, polisi perumahan dan projek pembangunan di Singapura selepas diambil alih PAP  secara langsung membawa kepada penghapusan orang Melayu di negara tersebut. Penghapusan ini bukanlah bersifat radikal seperti yang berlaku kepada Melayu Champa, tetapi penghapusan secara sistematik seperti ini juga mampu memberi kesan yang sama.

Orang Melayu seharusnya lebih tegas dalam isu penjualan dan pembelian tanah mahupun rumah. Keuntungan yang wajar diambil kira bukan sekadar nilai hartanah atau aset tersebut, tetapi nilainya kepada kelangsungan orang Melayu di nusantara.

Oleh:
Hanis Noor
Kolumnis Fokus/ Pegawai Penyelidik IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Previous Post

Politik Malaysia: “Politik dalam bilik”

Next Post

EDISI 1: Projek Penchinaan dan Cengkaman Kuasa China

Related Posts