Pada 25 Jun yang lalu, delegasi Hamas, diketuai oleh Ketua Biro Politik mereka, Moussa Abu Marzouk membuat kunjungan diplomasi ke Rusia bertemu Mikhail Bogdanov, Timbalan Menteri Luar Rusia merangkap wakil khas Presiden di Timur Tengah.
Lawatan ini adalah siri lawatan lanjutan yang juga pernah dilakukan oleh Khaled Meshaal bertemu Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada 2015 di Qatar. Bogdanov juga bertemu Meshaal pada tahun 2015 dan delegasi Hamas yang datang ke Moscow pada Januari 2017, September 2017 dan March 2018.
Menurut Adnan Abu Amer, dalam satu artikelnya bertajuk Hamas courtship of Russia could lead to win-win romance mengatakan bahawa kerjasama Rusia-Hamas ini boleh membuahkan hasil positif, dari sudut mengurangkan tekanan antarabangsa ke atas Hamas dan juga Palestin. Sekaligus disifatkan sebagai langkah “win-win” dalam menghadapi tekanan rejim Zionis. Memang benar dari satu sudut Rusia mahu melebarkan pengaruhnya di Timur Tengah, dan dari satu sudut yang lain, Amerika Syarikat juga sedang melobi perkara yang sama, melalui siri kunjungan Jared Kushner ke timur tengah baru-baru ini berunding mengenai proses “damai” Palestin Israel. Namun persoalan yang boleh kita ajukan, adakah ini sebenarnya langkah yang bijak dalam permainan kuasa sedang berlaku kini?
Senario Timur Tengah
Adakah senario timur tengah pada hari ini memang benar tidak memihak kepada Hamas? Atau Hamas tersilap dalam percaturan strategi sehingga dihimpit kuat baik dari blok Barat, mahupun blok negara-negara Sunni?
Lobi Yahudi kelihatannya berjaya mengikat kemas, pakatan negara teluk, khususnya aktor utama Mohammed bin Zayed, UAE dan juga Muhammad bin Salman, Arab Saudi. Kedua aktor ini jelas pada ketika ini menjalankan projek-projek yang dikehendaki oleh Yahudi, dalam melebarkan pengaruh politik mereka di Timur Tengah. Dari satu sudut yang lain Raja Abdullah di Jordan dan juga Sissi pemerintah kuku besi Mesir juga berada di bawah pengaruh lobi Yahudi.
Adapun negara di Timur Tengah yang menyatakan sokongan adalah negara seperti Turki, Iran dan juga Qatar. Qatar yang dahulunya menjadi negara pelindung kepada Hamas, menerima tekanan luar biasa dari negara teluk yang lain. Hamas menerima tamparan yang hebat hasil dari sekatan ini. Begitu juga Turki yang turut sama menerima tekanan yang kuat dari lobi antarabangsa ini, terutama pasaran yang menekan ekonomi mereka.
Berbalik kepada persoalan di atas, adakah kerjasama dengan Rusia ini adalah satu solusi jangka masa panjang yang baik? Atau ini adalah strategi peringkat sementara? Jika diteliti hasil lawatan sejak dari 2015 ini, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh Hamas dari sudut hasil rundingan di meja diplomasi. Keadaan mereka semakin tahun menjadi semakin buruk.
Sudah masanya Hamas menilai kembali polisi dan strategi mereka dalam berhadapan dengan lobi Yahudi yang semakin hari semakin kuat mencengkam mereka dari segala sudut.
Strategi menyeluruh.
Adalah tidak adil, untuk mengkritik pendekatan Hamas ini tanpa kita telusuri dengan lebih mendalam akar permasalahan yang berlaku di dalam politik dalaman Palestin itu sendiri. Dengan parti pemerintah seperti Fatah yang dilihat menjadi sebahagian dari perancangan Yahudi, serta kemunculan semula aktor-aktor yang mendapat dana kuat dari UAE (menjalankan agenda lobi Yahudi) seperti, Mohammed Dahlan, ini menyukarkan penyusunan strategi politik Hamas secara mendalam.
Dalam berhadapan dengan permainan kuasa di Timur Tengah ini, Hamas perlu menjawab beberapa persoalan penting, seperti, siapakah pencatur utama dalam permainan politik Timur Tengah ini? Siapakah aktor-aktornya? Di lapis manakah aktor-aktor ini bergerak dan apakah implikasi dari pergerakan setiap aktor ini?
Strategi ini perlu difikirkan dengan lebih mendalam, agar persoalan-persoalan ini boleh dijawab dengan lebih tepat. Mungkin kenyataan ini sedikit kasar, tetapi sampai bilakah Hamas mahu bergerak dengan strategi yang rapuh seperti ini? Sehingga kini, tiada yang benar-benar nampak kejelasan perhubungan dengan Moscow ini. Adakah sekadar mahu menyekat langkah pengiktirafan Baitul Maqdis oleh Washington? Atau apa? Persoalan apa ini harus perlu lebih teliti, mendalam dan mendasar.
Oleh:
Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTUTE
Ketua Editor FOKUS