Model Persyarikatan Ekonomi Nasional Bukan Formula Baharu, Bahkan pernah Gagal

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim

“Sebagai ikhtiar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI, saya telah bertemu dengan beberapa pelabur terkemuka bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama.

Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya Kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi.

Perjumpaan ini disertai beberapa orang pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi dan syarikat yang berjaya, antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein dan Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.

Kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara, malah ia membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.”

Berikut merupakan sebahagian kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Facebook beliau semalam. Beberapa dakwaan yang dikemukakan beliau, antaranya adalah penyertaan sektor swasta dan pelabur mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan inovasi atau kemajuan teknologi.

Beliau juga menjelaskan menerusi jaringan yang dilakukan beliau, aktor pelabur yang ditumpukan adalah pelabur antarabangsa yang berpengaruh dan terkenal.

Kajian IRIS Institute, Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia yang telah diterbitkan dua tahun lepas, telah memperincikan kegagalan syarikat Inggeris dalam melakukan pelaburan infrastruktur dan teknologi dalam industri perlombongan timah di Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun 1873 sehingga 1885.

Sebuah syarikat yang bernama Selangor Tin Mining Company yang ditubuhkan pada tahun 1873 merupakan hasil kerjasama J.G. Davidson, W.H. Read dan Seymour Clarke. Davidson merupakan peguam di Singapura sebelum dilantik menjadi Residen Selangor yang pertama.

Manakala Read merupakan kapitalis British di Singapura dan Clarke pula merupakan pengurus Great Northern Railway di London. Selain mereka, terdapat lima buah syarikat lagi yang mendapat konsesi daripada pihak “kerajaan” Tanah Melayu ketika itu.

Menjelang tahun 1855, syarikat-syarikat tersebut telah mengalami kerugian dan terpaksa ditutup. Akhirnya, Kapitan Cina Yap Ah Loy membeli aset syarikat tersebut beserta lombong-lombong timah yang telah ditinggalkan oleh syarikat-syarikat Inggeris.

Antara sebab utama bagi kegagalan pelaburan infrastruktur, teknologi dan industri syarikat Inggeris adalah disebabkan mereka gagal untuk menguasai tenaga buruh. Kapitalis-kapitalis Inggeris ketika itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan buruh-buruh Cina, dan kelebihan itu sebaliknya dimiliki oleh Yap Ah Loy dan Yap Ah Shak.

Akhirnya, pada tahun 1867 sehingga 1873, Perang Kelang telah meletus yang memberi implikasi negatif kepada demografi dan identiti orang Melayu, yang menyaksikan campur tangan kedua-dua kapitan tersebut beserta pihak British.

Pembunuhan, pemenjaraan dan pengusiran orang Melayu turut berlaku dan mengakibatkan demografi orang Melayu di Kuala Lumpur berkurang dengan mendadak daripada 98% pada tahun 1820 kepada 17% pada tahun 1957.

Formula menggunakan “legitimasi” syarikat kapitalis asing dalam membangunkan perindustrian nasional sudah berlaku beratus tahun sebelum kemerdekaan.

Bahkan perbincangan mengenai kerangka idea ini boleh dilakukan pada skala serantau dan antarabangsa dengan penelitian terhadap model yang sudah ditunjukkan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) seawal abad ke-17 dalam percaturan orde dunia ketika itu.

Hanis Noor
Penyelidik, Bahagian Kajian IRIS Institute 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional?

Next Post

Syarikat China Curi Sumber REE Negara, Beri Kerugian kepada Negara Lebih 400 Juta USD

Related Posts
Skip to content