Amerika Berundur dari Afghanistan: Apa Selepas Ini bagi Kuasa-Kuasa Besar?

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah membuat kenyataan tentang keputusan Amerika Syarikat (A.S.) mengeluarkan tenteranya dari Afghanistan pada 8 Julai 2021. Amerika Syarikat membuat keputusan untuk berundur setelah hampir 20 tahun menceroboh Afghanistan. Perang terpanjang dalam sejarah A.S. itu telah mengorbankan lebih 2400 tentera A.S. dan meragut lebih 47,000 ribu nyawa orang awam. Pencerobohan A.S. yang bermula Oktober 2001 menemui kegagalan untuk menghapuskan Taliban. Amerika Syarikat tidak mampu lagi menanggung kos peperangan yang tinggi sehingga mencapai $2.2 trilion dolar. Jumlah yang besar ini menjadi beban yang berat bagi negara tersebut.

Pencerobohan terhadap Afghanistan adalah disebabkan faktor kedudukan geografi negara tersebut yang strategik. Hal ini kerana, negara tersebut menjadi pintu masuk ke Asia Tengah, Asia Barat, dan Asia Selatan. Pengunduran A.S. dari Afghanistan menjadi pelbagai tanggapan dan jangkaan terhadap negara tersebut. Terdapat pihak menjangka bahawa Afghanistan akan kembali ke kancah perang saudara dan konflik dalaman terutamanya antara Taliban dan kerajaan sokongan A.S. Ini bermakna negara itu akan kembali ke keadaan asal, iaitu ketika sebelum pencerobohan Amerika.

Selama ini, Afghanistan telah menjadi medan pertarungan antara pelbagai puak, ditambah pula dengan pelbagai kumpulan jihad yang mempunyai matlamat masing-masing. Dengan ketiadaan A.S., kuasa luar manakah yang dijangka mempengaruhi politik Afghanistan? Kuasa-kuasa serantau yang berada di sekeliling Afghanistan adalah Iran, Pakistan, India, China dan Rusia. Pengajaran besar yang boleh diambil oleh kuasa besar lain daripada sejarah Afghanistan adalah pendudukan asing ke atas Afghanistan pasti akan menemui kegagalan.

Jika dilihat, negara China yang hampir dengan sempadan Afghanistan iaitu 76 km. Sempadan Afghanistan yang berdekatan dengan China adalah wilayah Xinjiang. Sepanjang 20 tahun, China mendapat manfaat daripada kehadiran tentera A.S. yang mengawal penentangan keganasan daripada kumpulan pemberontak di Afghanistan. China bimbang campur tangan gerakan jihadis dan pemisah yang akan melawan kekejaman China terhadap etnik muslim Uighur di wilayah Xinjiang. Oleh itu, China dijangka akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam urusan keselamatan Afghanistan.

Dari sudut ekonomi pula, China mempunyai kepentingan yang signifikan terhadap Afghanistan. Pertama, China mempunyai projek-projek Belt and Road Initiative (BRI) yang sangat penting di negara-negara jiran Afghanistan. Selain rancangan keterhubungan, projek-projek petroleum dan mineral di negara-negara Asia Tengah memainkan peranan penting dalam keselamatan tenaga (energy security) kepada Beijing. Projek-projek ini juga adalah talian hayat kepada China dalam menghadapi tekanan keselamatan dari pesaing-pesaing China yang menguasai laluan perdagangan di Lautan Hindi. Malah, China mempunyai projek BRI yang kritikal di Pakistan yang dinamakan China-Pakistan Economic Coridor (CPEC).

Projek ini berpotensi gagal sekiranya Afghanistan kembali ke kancah konflik. Projek tersebut merupakan strategi China memecahkan dominasi India di Lautan Hindi. Ini juga merupakan salah satu strategi jaringan “string of pearls” yang menjerut India melalui pembinaan pelabuhan di Gwadar (Pakisan), Hambantota (Sri Lanka) dan Kyaukpyu (Myanmar). China tidak akan membiarkan CPEC ini gagal kerana boleh mengancam kelangsungan ekonominya.

Kedua, China juga mempunyai banyak pelaburan besar dalam Afghanistan namun masih tergendala. Ini termasuk projek Mes Aynak, projek mengeluarkan bijih tembaga yang merupakan simpanan tembaga kedua terbesar di dunia. Selain itu, syarikat China juga telah mendapat kontrak galian petroleum di Amu Darya, kawasan yang menyimpan jutaan tan minyak.

Selain China, Rusia juga merupakan kuasa yang tidak akan membiarkan Afghanistan menjadi kacau bilau. Seperti disebut di atas, Afghanistan adalah pintu masuk ke Asia Tengah. Negara-negara di sub-rantau ini adalah di bawah lingkungan pengaruh (sphere of influence) Rusia. Sekiranya negara-negara Asia Tengah terjebak dalam ketidakstabilan akibat Afghanistan, ia mampu mengancam Rusia.  

Bagi memastikan kepentingan China dan Rusia tidak terjejas, wujud kebarangkalian kedua-dua kuasa ini akan bekerjasama dalam menjamin kestabilan Afghanistan. Tambahan pula, kedua-dua negara ini adalah anggota Shanghai Cooperation Council (SCO) yang memang bertujuan memastikan Asia Tengah dipelihara dari kuasa luar. Jika satu kuasa besar seperti Britain, Soviet, A.S. semuanya gagal menundukkan Afghanistan, mungkinkah dua buah kuasa besar ini mampu melakukannya?

Doktrin keselamatan A.S. kini telah beralih kepada pemikiran strategik Indo-Pasifik. Peralihan kepada kerangka baru ini sudah bermula sejak tahun 2011 dengan dasar Pivot to Asia dan disambung pula semasa pentadbiran Donald Trump (2017-2021). Konsep Indo-Pasifik adalah strategi menggabungkan keselamatan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik menjadi satu hanya bertujuan untuk mengekang China dari terus bangkit menjadi kuasa besar. Pengukuhan kerjasama melalui Quadrilateral Security Dialogue (Quad) yang dianggotai A.S., Jepun, Australia, dan India adalah negara yang mempunyai matlamat yang sama untuk menghalang China menjadi kuasa besar.

Semasa pemerintahan Presiden Joe Biden pula, beliau telah mengadakan Sidang Kemuncak Quad bagi memperkasakan pakatan negara-negara saingan China. Quad juga kembali mengadakan latihan ketenteraan bersama MALABAR 2020. Biden juga menjelaskan dalam ucapan bersama kedua-dua kongres bahawa, A.S. akan mengekalkan kehadiran ketenteraan yang kuat di Indo-Pasifik.

Sungguhpun begitu, adakah pengunduran dari Afghanistan (2001-2021) menggambarkan kuasa imperialis A.S. semakin lemah? Afghanistan dikenali sebagai “Graveyard of Empires” kerana sejarah mencatatkan kejatuhan hegemoni Britain dan Soviet adalah akibat kekalahan perang di Afghanistan. A.S. adalah kuasa besar terkini yang gagal mengalahkan Afghanistan.

Oleh:
HASAN SYAHIDI
Lepasan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Strategi dan Diplomasi) (UKM-IDFR)

*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu Tambakan Pulau Batu Puteh: Apa Kesan Kepada Malaysia?

Next Post

UK isytihar Tamatkan Lockdown, Bakal Jadi Eksperimen Keberkesanan Imuniti Kelompok

Related Posts
Skip to content