Isu Tambakan Pulau Batu Puteh: Apa Kesan Kepada Malaysia?

Singapura melaporkan akan mula menambak tanah di sekitar Pulau Batu Puteh atau dipanggil sebagai Pedra Branca dengan tujuan untuk menambah baik kemudahan di pulau berkenaan akhir tahun ini.

Pulau Batu Puteh yang dimenangi hak pemilikannya oleh Singapura daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 hanya berstatus batu maritim. Berdasarkan undang-undang antarabangsa, Singapura boleh menuntut hak wilayah laut sejauh 12 batu nautika sahaja.

Gambar 1: Pulau Batu Puteh hanya berstatus batu maritim seperti yang termaktub di dalam Artikel 121 (3). Sumber: Malaymail

Tambakan Pulau Batu Puteh hanya akan menjadikan pulau tersebut berubah menepati takrifan Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (LOSC). Maka alasan negara jiran membuat tambakan untuk kemudahan di sana boleh diragui sama sekali.

Jika tambakan ini berjaya diteruskan oleh Singapura, Pulau Batu Puteh akan menjadi sebuah pulau. Berdasarkan Artikel 121 (1) LOSC, sesebuah negara pesisir yang memiliki pulau boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika seperti yang ditegaskan oleh pakar undang-undang maritim antarabangsa, Prof Madya Dr. Mohd Hazimi Mohd Rusli daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tambahnya lagi, Singapura boleh menuntut hak EEZ bagi tujuan perikanan dan hak pelantar benua sehingga 200 batu nautika atau kira-kira 300 kilometer iaitu bersamaan jarak Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Perspektif sebegini menggambarkan Malaysia bakal kehilangan manfaat ekonomi di perairan jika Singapura meneruskan tambakan tersebut, namun Malaysia bakal juga kehilangan sesuatu yang besar iaitu hak keselamatan dan kedaulatan.

Perluasan tuntutan EEZ akibat tambakan ini akan menyebabkan Tubir Selatan (South Ledge) yang dipertahankan haknya oleh Malaysia daripada Singapura menjadi pertikaian yang lebih serius antara kedua negara ini.

Gambar 2: Tubir Selatan masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura. Sumber: Berita Awani.

Jika Malaysia kehilangan Tubir Selatan akibat tambakan Pulau Batu Puteh daripada Singapura ini, hal ini merugikan Malaysia kerana kita memerlukan “buffer zone” iaitu zon penampan untuk keselamatan sempadan perairan Malaysia.

Terdapat satu sahaja cara untuk Malaysia ‘melawan’ Singapura dalam isu ini. Malaysia perlu membuat tindakan yang sama dengan membangunkan Batuan Tengah menjadi sebuah pulau. Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen pernah mengatakan Malaysia mempunyai hak yang penuh mengikut undang-undang untuk membangunkannya.

Jika Singapura dan Malaysia sama-sama membangunkan Batu Puteh dan Batuan Tengah menjadi sebuah pulau, kedua-duanya akan menjadi seimbang dan Malaysia mempunyai kelebihan untuk menuntut Tubir Selatan menjadi hak miliknya.

Walaubagaimanapun, Singapura dan Malaysia perlu bersepakat untuk mengangkat semangat ASEAN dan komited betapa pentingnya Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) untuk keselamatan kedua-dua negara sebelum membawa tuntutan ini kepada situasi yang lebih serius.

Oleh:
Imran Hakimi
Pelajar Sains Politik UKM

Rujukan:

  1. Defence Security Asia. (8 Julai 2021). Jangan Biarkan Singapura Tambak Batu Puteh – Pakar Undang-Undang Maritim Universiti.
  2. Berita Harian. (6 Julai 2021). Malaysia Perlu Bantah Tambakan Pulau Batu Puteh.  
  3. Astro Awani. (4 Jun 2018). Sah sama sekali bagi Malaysia bangunkan selanjutnya Batuan Tengah – Dr Ng
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bagaimana Korea Selatan Merangka Polisi Kebudayaan Negara Selepas Mengalami ‘Keterputusan Budaya’ Di Era Penjajahan

Next Post

Amerika Berundur dari Afghanistan: Apa Selepas Ini bagi Kuasa-Kuasa Besar?

Related Posts
Skip to content