Analisis Motif di Sebalik Perjanjian Program Nuklear Iran

 

66-2(7)

Perjanjian nuklear yang dicapai oleh Iran dengan 6 buah kuasa besar dunia atau P5+1 (Amerika, Britain, Perancis, Rusia, China dan Jerman) merupakan suatu ‘game-changer’ ke arah kesinambungan strategi di Timur Tengah. Setelah hampir enam dekad perkembangan program nuklear Iran, kelihatan hampir mustahil untuk menghentikan terus program tersebut dari dilaksanakan, maka pendekatan yang diambil adalah dengan mengenakan sekatan ke atas pembangunan teknologi nuklear Iran secara menyeluruh. Namun, adakah sekatan yang bakal dikenakan sekadar memberi impak kepada program nuklear Iran semata? Atau keputusan tersebut bakal memberi keuntungan strategik kepada Amerika Syarikat (AS) dengan menghubungkan semula Iran dengan arus politik dan ekonomi global mahupun serantau? Malah adakah hal ini boleh dilihat sebagai ancaman ke atas keselamatan Israel dan negara-negara sekutu AS di Timur Tengah?

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, kita perlu menilai isi kandungan perjanjian tersebut terlebih dahulu.

Ringkasan Perjanjian Nuklear

Iran dikenakan sekatan dan pemantauan yang lebih ke atas semua aspek teknologi nuklear sebagai timbal balas kepada penghapusan segala sekatan yang dikenakan ke atas Iran selama ini. Segala gerak kerja pemantauan dan penyeliaan dilakukan oleh IAEA (yang dikawal penuh oleh AS) ke atas keseluruhan rantai penghasilan nuklear Iran dan cabang-cabang industri yang berkaitan.

Antara sekatan tersebut termasuk :

  1. Menuruntaraf kemampuan teknologi pengkayaan dari 20% ke 3.67%, dengan membekukan peratusan 3.67% tersebut selama 15 tahun.
  2. Mengurangkan kapasiti 19000 gas centrifuges sebanyak 68%.
  3. Mengurangkan simpanan gred rendah uranium yang diperkaya sebanyak 96%.
  4. Mengenakan had yang ketat kepada sebarang aktiviti penyelidikan dan pembangunan antara 10 ke 25 tahun.
  5. Iran terpaksa tunduk dengan tindakan pemantauan dan pemeriksaan 24/7 ke atas tapak pembangunan nuklear sama ada tapak yang diisytihar atau tidak, juga ke atas kawasan-kawasan tentera.

Secara umumnya, isi-isi perjanjian ini cukup bertentangan dengan garis merah yang sering disebut-sebut oleh Presiden Rouhani dan pasukan rundingan kepada rakyat Iran. Yang mana garis merah tersebut adalah : (a) pelaksanaan serentak perjanjian oleh kedua-dua pihak; (b) tidak mempunyai akses kepada kawasan ketenteraan; (c) tidak mempunyai akses kepada saintis nuklear; (d) tiada sekatan ke atas penyelidikan dan pembangunan; dan (e) memelihara program pengkayaan di tahap industri atau tahap minimum pengkayaan bahan nuklear.

Oleh sebab itu, pasukan rundingan Iran tidak mendedahkan kandungan ini kepada rakyat Iran sepanjang tempoh proses rundingan sejak November 2013. Barangkali disebabkan itu, perjanjian ini secara terus ‘diundi dan disahkan’ oleh Majlis Keselamatan PBB pada 20 Julai, selepas perjanjian dicapai pada 14 Julai. Senario ini merupakan suatu tindakan yang bertentangan dengan demokrasi dan suara rakyat.

Dalam tempoh ini, AS mendapat kelebihan maksimum dalam memantau sebarang perkembangan Iran khususnya ketenteraan, sekaligus menafikan terus potensi Iran dalam menghalang AS mendominasi Timur Tengah dan dapat meningkatkan perlindungan ke atas keselamatan Israel.

Merungkai strategi Amerika dan polisi luar Timur Tengah Obama

AS menjadi kuasa dominan di Timur Tengah selepas kejatuhan USSR pada 1991. Hegemoni AS adalah berdasarkan dua prinsip : ‘dual containment’ ke atas Iraq-Saddam Hussein dan Republik Syiah Iran, dan bekerjasama dengan negara-negara Arab dalam mengekalkan kuasa hegemoni di rantau tersebut.

Namun, penguasaan hegemoni akhirnya runtuh selepas AS menceroboh Iraq dan menggulingkan Saddam Hussein pada 2003, dan juga fenomena “Arab Spring” pada akhir 2010. Tindakan ganas AS ‘menyuburkan’ kebangkitan dan menyedarkan dunia Arab termasuk langkah ‘menurunkan’ Mubarak dan ‘mengangkat’ Morsi . Kesan dari itu, Washington telah mengalami kerugian dari sudut ketenteraan dan kepentingan strategik. Ditambah lagi dengan krisis kewangan pada 2008 dan pengunduran tentera dari Iraq dan Afghanistan.

Rentetan dari itu, pentadbiran Obama memilih cara lain dengan melatih kumpulan pemberontak Syria dan juga membekalkan senjata kepada mereka. Strategi yang sama digunakan dalam ‘memerangi’ pengganas Islamic State dengan menggabungkan dua jenis serangan melalui udara dan tentera darat yang terdiri daripada orang-orang tempatan seperti pemberontak Kurdi, Syiah dan Syria.

Bagi Obama, perjanjian ini merupakan satu lagi usaha untuk mengeluarkan Washington dari langkah penguasaan hegemoni yang membazir. Pada masa yang sama, Washington akan menggunakan perjanjian nuklear ini untuk memberikan tumpuan semula kepada Asia dan Eropah, sekali gus meningkatkan leverage AS dengan Rusia dan China.

Strategi ini digelar sebagai “Offshore Balancing” iaitu dengan memenangi persaingan serantau tanpa menggunakan ketenteraan berskala besar khususnya tentera darat. Jelas, strategi ini bukanlah langkah pengasingan ataupun langkah ke arah mewujudkan keamanan serantau, bahkan ia merupakan suatu model penjajahan rantau yang “tersembunyi”.

Iran menang atau kalah?

Di atas kertas perjanjian, jelas Iran tidak mendapat apa-apa keuntungan dari sudut pembangunan program nuklear mereka. Namun begitu, jika dilihat dari aspek kepentingan ekonomi minyak dan hubungan antarabangsa, barangkali Iran mampu mencapai kemajuan untuk jangka masa panjang. Paling kurang selepas tempoh 10 ke 25 tahun akan datang. Pengaruh Khomeini masih kekal, rejim Syiah masih memerintah dan perjanjian ini seolah mengukuhkan lagi negara mereka.

Hakikatnya, sepanjang tempoh rundingan bahkan selepas rundingan, Iran tidak merasakan mereka berada di sisi lemah atau mengalah. Bahkan Iran melihat ianya satu peluang untuk membuka jambatan dengan dunia luar dan mendapatkan semula apa yang telah hilang sejak revolusi. Meskipun disekat, namun pembangunan nuklearnya tetap berjalan pada kadar rendah dan masih berpeluang mencapai pengukuhan ekonomi dari sudut lain.

Senario ini menjadikan Iran berpotensi untuk menjadi kuasa dominan ke atas Timur Tengah, tanpa penglibatan AS secara langsung – meskipun sebenarnya AS masih lagi mengekalkan hegemoninya melalui negara-negara sekutu Arab dan pemberontak-pemberontak yang ditaja. Dari aspek politik dan ketenteraan, Iran sudah sekian lama mewujudkan “Perang Proksi” seperti membantu rejim Asad di Syria, di Yaman melalui Syiah Houthi, di Lubnan melalui Hizbullah, dan situasi yang sama juga di Iraq. Sehubungan itu, pengaruh Syiah mampu menjadi satu aspek fundamental dalam mendominasi Timur Tengah.

Walaubagaimanapun, Iran berdepan dengan kelompok majoriti Sunni yang terdiri dari negara-negara seperti Arab Saudi yang merupakan proksi AS di Timur Tengah. Ditambah dengan hakikat perbezaan antara bangsa Parsi (Iran) dan majoriti bangsa Arab, serta beberapa lagi isu-isu dalaman [seperti pelanggaran dasar Revolusi 1979] dalam pemerintahan Iran, barangkali menjadi faktor penghalang kepada Iran untuk mencapai cita-cita itu.

Israel dan Kongres AS

Seperti yang dijelaskan di atas, Iran berpotensi meluaskan kuasanya di Timur Tengah sehingga mampu mengancam keselamatan Israel. Benjamin Netanyahu cuba menekan pentadbiran Obama dengan mempengaruhi Kongres AS supaya tidak bersetuju dengan perjanjian yang dicapai dengan Iran. Israel kelihatan terdesak dalam menggagalkan perjanjian ini. Israel ‘ingin berperang’ dengan Iran manakala Obama lebih memilih jalan diplomasi. Hal ini kerana, dengan perjanjian ini, Obama menjangkakan proses perdamaian dan ‘two-state solution’ boleh dihidupkan semula.

Polisi Timur Tengah dan pendirian Obama dalam menjayakan perjanjian ini sedikit sebanyak dikatakan merugikan para pelobi dan Israel. Hal ini kerana, jika dilihat dalam satu tempoh 20 sebelum ini, Iran mampu untuk “mengatasi” sekatan ekonomi yang dikenakan oleh dunia Barat dan proksinya dengan berjaya mengembangkan teknologi nuklear mereka ke satu tahap yang memberangsangkan, apatah lagi selepas dihapuskan sekatan ekonomi dan rantau. Iran akan semakin maju dan kaya serta mampu mempertingkatkan ekonomi dan membuka ruang kepada Iran untuk membina ‘jambatan’ dengan negara-negara musuh hegemoni AS.

Namun, perkara yang menarik dan perlu diberi perhatian adalah perjanjian ini mendapat sokongan 84 peratus orang Yahudi Amerika dan juga pakar-pakar pertahanan Israel. Mengapa? Pendirian sokongan mereka pada pertukaran perjanjian melonggarkan sekatan ekonomi dan Iran perlu menghadkan pembangunan nuklear mereka serta akses pemantauan berterusan dari IAEA. Kempen anti-perjanjian nuklear ini jelas tidak berakar umbi dari orang-orang Yahudi itu sendiri, bahkan hanya melibatkan golongan elit seperti AIPAC dan Republic Jewish Coalition.

Kesimpulan

Generasi baru Iran menunjukkan satu sikap yang sedikit bertentangan dari generasi Revolusi 1979 meskipun pengaruh Khomeini masih lagi tidak berubah dalam golongan elit pemerintah. Mereka lebih terbuka dan lebih cenderung untuk menjalin hubungan dengan dunia Barat. Generasi baru ini mungkin akan menjalin hubungan yang lebih berbahaya khususnya berbahaya ke atas dunia Islam.

Meskipun dilihat mustahil bagi AS untuk menjalin hubungan dengan puak Syiah Iran untuk jangka masa panjang, namun untuk satu tempoh terdekat kebarangkalian itu masih ada.

Jangkaan selepas beberapa dekad akan datang, barangkali AS akan menggunakan titik ini (perjanjian nuklear) sebagai ‘ugutan’ – dengan mengenakan sekatan menyeluruh dan mengancam kedaulatan sesebuah negara – bukan sahaja kepada Iran tetapi juga negara-negara lain.

Zionis Israel pula, tidak akan berganjak dari pendirian untuk membina empayar mereka di Timur Tengah. Dengan kuasa AS, Iran barangkali akan ‘memberi kerjasama’ tanpa syarat dan tidak lagi mengancam Israel. Bahkan mungkin akan membantu Israel membangunkan nuklear dan terus mengasak dunia Arab Islam untuk tunduk kepada mereka.

Persoalannya, apa akan terjadi kepada Dunia Islam melihatkan langkah-langkah perluasan kuasa yang semakin rancak dilakukan oleh kuasa besar AS, Republik Syiah Iran, China, Rusia, dan kuasa-kuasa besar lain? Persoalan ini perlu dijawab oleh generasi baru Islam yang bukan sahaja perlu melihat dan membaca isu semasa tanpa sebarang objektif, malah seharusnya perlu melihat dunia dalam konteks bagaimana negara Islam berkemampuan dalam mendepani kuasa-kuasa tersebut di masa akan datang.

Rujuk Kronologi Perkembangan Program Nuklear Iran untuk memahami dengan lebih mendalam analisis ini. Kronologi Perkembangan Program Nuklear Iran [1][2]

 

Farris Hanafi

Penganalisis IRIS

 

Rujukan :

  • Trita Parsi, Treacherous Alliance (The Secret Dealings of Israel, Iran, and The US), Yale University, Caravan Book, 2007
  • George Friedman, The Next 100 Years, Anchorbooks, January 2010
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

John Kerry Datang Ke Malaysia Bermotifkan TPPA?

Next Post

Rakyat Amerika Sudah Muak dengan Pelobi Israel dan Netanyahu

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content