Ancaman Geopolitik di Laut China Selatan

11141159_10204331784354378_5567390744020567502_n

Peningkatan aktiviti ketenteraan dua kuasa besar dunia iaitu US dan China di Laut China Selatan semakin membimbangkan kita semua mutakhir ini.

US telah mengeluarkan dasar luarnya ‘Pivot To Asia’ yang telah dipopularkan oleh Hillary Clinton sekitar tahun 2009 mula menumpukan perhatian mereka di rantau pasifik. Sebelumnya, US lebih menumpukan kepada Timur Tengah dan juga Asia Tengah yang sehingga ke hari ini masih tidak stabil.

Bagi China pula, selepas kejatuhan Soviet Union pada tahun 1991, tiada kuasa besar lain yang boleh mengalahkan US dari segi ketenteraan, ekonomi dan ideologi. US juga mengisytiharkan Cold War telah memihak kepada mereka. Mungkin kita boleh anggap China mula menjadi perhatian dunia selepas berakhirnya Era Perang Dingin walaupun China pernah mengalami pelbagai masalah bagi dasar luarnya seperti selepas peristiwa Tiananmen Square 1989, kebanyakan negara memutuskan hubungan diplomatik dengan China.

Beberapa perkara yang boleh kita ambil perhatian bersama mengenai situasi semasa di Laut China Selatan antaranya :

1) Di atas peta ini kita boleh lihat 3 jenis garisan iaitu garisan pertama dikenali sebagai First Island Chain, ataupun Inner Island Chain. Garisan ini merupakan salah satu daripada doktrin ketenteraan China. Bagi memastikan Tanah Besar China selamat daripada serangan besar-besaran daripada US, mereka perlu mengekalkan keberadaan angkatan tentera mereka di kawasan yang terletak di dalam lingkungan First Island Chain ini. US juga telah memperkenalkan AirSea Battle Doctrine bagi mengimbangi doktrin ketenteraan China ini. Seterusnya, kita lihat kepada Outer Island Chain ataupun Third Island Chain. Garisan ini pula adalah ‘benchmark’ kepada Projection of Power bagi angkatan tentera China. Doktrin kedua ini adalah berkenaan dengan kemampuan China melakukan serangan ke atas wilayah US sama ada melalui peluru berpandu balistik antara benua(ICBM) ataupun paling kurang mereka mampu mencapai sasaran mereka di Hawaii.

2) China telah menempatkan angkatan kapal selam balistik mereka di wilayah Hainan yang menghadap laut China Selatan. Angkatan kapal selam di sini merupakan kapal selam dari kelas Submarine-Launch Balistic Missile(SLBM) yang mampu melancarkan peluru berpandu balistik antara benua(ICBM) yang membawa peledak nuklear.

3) US telah mengekalkan keberadaan mereka di Lautan Pasifik sejak sekian lama. US Seventh Fleet Yokosuka & Sasebo telah berada di Jepun sejak tahun 1943. Seventh Fleet merupakan pengkalan tentera laut terbesar di luar US. Pangkalan ini menempatkan sekitar 50 ribu tentera, 300 pesawat dan juga sekitar 100 buah kapal perang dan pengangkut pesawat.

4) US juga telah menempatkan tentera mereka di Korea Selatan yang berjumlah sekitar 30 ribu tentera. US juga telah berjaya mendapatkan kebenaran untuk menempatkan tentera dan asset mereka di 10 buah pengkalan tentera di Filipina selama 10 tahun bermula pada tahun 2014. Selain itu, elemen ketiga kepada Seventh Fleet, iaitu Naval Base Guam yang merupakan pengkalan tentera laut yang terletak di lautan pasifik menempatkan angkatan kapal selam US.

5) Selain itu juga, keberadaan tentera US juga telah disahkan di beberapa negara Asia Tenggara antaranya Singapura dan Indonesia. US telah menempatkan Littoral Combat Ship di Singapura, iaitu USS Freedom(LCS-1)

Seterusnya kita lihat pula kepada isu perebutan wilayah antarabangsa di Laut China Selatan dan East China Sea :

6) Spratly Island, adalah gugusan kepulauan yang terletak di utara Sabah dan menjadi rebutan 6 buah negara termasuk Malaysia. Gugusan Kepulauan Spratly ini sangat kaya dengan sumber minyak dan hidupan laut. China, Taiwan dan Vietnam sahaja telah mengemukakan tuntutan mereka terhadap gugusan kepulauan ini berdasarkan sejarah. Malaysia dan lain mengemukakan tuntutan berdasarkan EEZ.

7) Seterusnya China juga menjadi salah sebuah negara yang mengemukakan tuntutan mereka terhadap Paracel Island, gugusan kepulauan yang terletak ke utara Spratly Island. Seperti Spratly Island, kepulauan ini juga kaya dengan sumber hidrokarbon dan hidupan laut.

8) China, Taiwan dan Jepun terlibat dalam perebutan Senkaku Island yang terletak di East China Sea. Senkaku Island boleh dikatakan antara konflik utama yang menyebabkan ketegangan antara China dan Jepun selain daripada faktor sejarah.

9) Di ketiga-tiga kawasan yang menjadi perebutan ini, beberapa negara telah meletakkan stesyen-stesyen ataupun pos-pos tentera serta pengkalan udara antaranya Malaysia antara yang terawal yang membangunkan pengkalan udara iaitu di Swallow Reef(Terumbu Layang) dan juga beberapa pulau yang lain. Vietnam juga mempunyai pengkalan udara di Spratly Island, iaitu di Spratly-Truong Sa Island, yang mempunyai helipad dan landasan kapal terbang. China baru-baru ini telah membuat penambakan besar-besaran di Fiery Cross Reef yang berada di dalam gugusan kepulauan Spratly. Belum lagi diambil kira aktiviti ketenteraan di Gugusan Kepulauan Paracel.

Beberapa Insiden yang boleh dikaitkan dengan perkembangan geopolitik di Asia Tenggara khususnya melibatkan Malaysia :

10) Kehilangan pesawat MH370 yang menjadi misteri sehingga ke hari ini. Kehilangan pesawat ini seterusnya disusuli dengan insiden pesawat MH17 di ruang udara Ukraine. Dua peristiwa ini sudah pasti mempunyai asas perkaitannya dengan apa yang berlaku di Laut China Selatan.

11) Ketika berlakunya insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, pada waktu tersebut melebihi sebahagian asset tentera laut telah dikerahkan ke sana untuk membantu menyelesaikan pencerobohan di Lahad Datu. China yang melihat Malaysia pada waktu tersebut telah mengambil peluang untuk mendekati perairan Malaysia dengan menghantar kapal kelas Destroyer yang hanya 80 kilometer sahaja daripada Bintulu, Sarawak. Pada waktu tersebut, hanya terdapat sebuah Kedah-Class OPV Tentera Laut Malaysia yang hanya dilengkapi meriam 76mm dan 30mm berhampiran kapal tentera laut China tersebut. Perkara ini menunjukkan China berani untuk masuk menceroboh ke perairan negara kita jika mereka mempunyai peluang.

12) Ops Cope Taufan 2014 yang berlangsung di pengkalan udara Butterworth yang telah melibatkan Sukhoi 30MKM dan F22 Raptor milik Malaysia juga telah mendapat perhatian dunia. Malaysia telah menjadi negara pertama di Asia Tenggara berpeluang untuk menjalani latihan bersama F22 Raptor milik tentera US.

13) Perjanjian TPPA, juga melibatkan Malaysia sebagai antara negara yang akan memeterai perjanjian tersebut. Dua perkara yang ktia perlu teliti dalam memahami ancaman geopolitik iaitu, melalui Military Intervention dan juga Economic Pressure. TPPA adalah salah satu contoh ancaman Geopolitik yang bersandarkan kepada ekonomi.

14) Hadiah panda daripada China kepada Malaysia juga antara isu yang boleh diberi perhatian kita. Hadiah panda kepada kerajaan negara lain merupakan simbolik yang sangat besar bagi China. Malaysia telah menjadi antara negara yang menerima hadiah panda sebagai hadiah diplomatik tersebut.

15) Perlumbaan senjata di rantau Asia Tenggara juga semakin rancak. Singapura telah berjaya mendapatkan F15D Strike Eagle daripada US, merupakan antara pesawat pejuang terbaik di Asia Tenggara. Malaysia pula telah memulakan LCS Programme yang dijangka kemasukan dalam servis bermula pada tahun 2018 dan banyak lagi negara Asia Tenggara yang telah menaik taraf aset ketenteraan mereka. Apa yang menarik perhatian kita bersama adalah, kebanyakan aset ketenteraan negara-negara ini mula memasuki servis sekitar 2017-2020.

16) Pada RIMPAC 2014 yang lepas, Malaysia hanya menghantar Infantry Platoon sahaja, perkara ini telah memberikan kita petunjuk Malaysia telah memulakan rancangan untuk membangunkan skuad tentera marin amfibia yang mampu beroperasi di laut.

17) Malaysia juga pernah menawarkan Pengkalan Udara Labuan untuk dijadikan transit bagi pesawat Poseidon US yang menjalankan aktiviti rondaan maritim di Laut China Selatan. Namun, tidak ada kepastian mengenainya adakah US bersetuju ataupun tidak.

18) Dan yang terakhir, perkara yang kita perlu tahu adalah ‘Nine-Dashed Line’ . 9 garis putus ini adalah satu lakaran geografi ketika zaman Mao Zedong dan Zhou Enlai yang telah memasukkan Wilayah Sabah dan Sarawak di dalamnya. Perkara ini sebenarnya telah menjadi asas bagi China untuk merebut wilayah-wilayah di Laut China Selatan.

Ramalan saya yang telah mengikut perkembangan geopolitik dan ketenteraan di Laut China Selatan sejak daripada tahun 2013, ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan ini akan semakin meruncing di masa akan datang dan keberangkalian sesuatu yang besar mungkin terjadi dalam masa 5 tahun akan datang.

Negara kita perlu bijak dalam mengimbangi perseteruan dua kuasa besar ini. Peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN harus digunakan sebaiknya bagi mengatasi masalah ini.

Yang terakhir dan paling penting bagi saya ialah, rakyat Malaysia harus bersatu tanpa mengira kecenderungan politik serta harus tahu dan sedar akan ancaman geopolitik ini.

Azry Mustapa – Penganalisis IRIS

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Previous Post

Hong Kong’s Umbrella Revolution

Next Post

Amerika Syarikat main peranan ‘utama’ di Asia

Related Posts