Bagaimana Korea Selatan Merangka Polisi Kebudayaan Negara Selepas Mengalami ‘Keterputusan Budaya’ Di Era Penjajahan

Kepelbagaian kebudayaan negara Korea yang terdiri dengan pelbagai kumpulan etnik telah dipengaruhi fahaman Konfusianisme sejak zaman Dinasti Choson (1392-1910).

Walaubagaimanapun, Korea telah mengalami masalah identiti kebudayaan akibat daripada penjajahan Jepun (1910-1945), perpecahan wilayah Korea sejak tahun 1945, Perang Korea (1950-1953), dan kemasukan budaya kontemporari seperti kecepatan arus globalisasi dan kemasukan budaya Barat ke Korea. Semua ini menjadi faktor identiti kebudayaan Korea terhakis dan berubah dengan cepat sehingga memberi ‘ruang’ kepada budaya barat mempengaruhi gaya hidup asal orang Korea.

Kepentingan kebudayaan kebangsaan dalam pembangunan negara dan perancangannya telah bermula sejak pentadbiran Presiden Rhee Syngman (1948-1960). Pentadbiran Park Chung Hee (1961-1979) dilihat lebih proaktif apabila melancarkan rancangan pembangunan kebudayaan induk 5 tahun pada tahun 1973. Tempoh 5 tahun rancangan tersebut  bermula pada tahun 1974 hingga 1979 dengan objektif mewujudkan identiti budaya baharu dengan menonjolkan tradisi budaya tertentu.

Selepas itu, identiti kebudayaan nasional lebih diutamakan semasa pentadbiran Chun Doo Hwan pada tahun 1980-1988. Beliau telah merangka dua rancangan komprehensif, iaitu (1) Rancangan Baru Pembangunan Budaya 1981 dan (2) Rancangan Lima Tahun Keenam untuk Pembangunan Ekonomi dan Sosial 1986. Objektif kedua-dua rancangan ini adalah mewujudkan identiti budaya, mempromosi keunggulan seni atau sastera, meningkatkan kesejahteraan budaya, mempromosi kebudayaan wilayah, dan memperluas program pertukaran budaya dengan negara luar.

Sejak 1980an budaya dan kesenian dianggap sebagai penyelesaian kepada masalah sosial. Pemerintah Korea telah menekankan bahawa pengamalan rohani dalam kebudayaan adalah perlu untuk mengatasi kesan negatif materialisme dan komersialisme. Kesan negatif ini telah menyebabkan kerajaan lebih peka dalam melaksanakan dasar kebudayaan untuk mencari akar identiti budaya dan juga menekankan kreativiti dalam masyarakat sebagai jalan keluar untuk mengelakkan sebarang bentuk penerapan budaya asing secara total dan mengekalkan kebudayaan tradisional Korea.

Seterusnya, rancangan perkembangan budaya dibuat untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 1990 oleh Presiden Rho Tae Woo (1988-1993). Tujuan utama rancangan ini tidak banyak berubah daripada objektif dasar kebudayaan sebelumnya. Penambahan yang dibuat dari sudut untuk meluaskan sebaran kebudayaan melalui media dan menyatukan etnik Korea.

Kesan daripada perbezaan aliran falsafah politik telah menyebabkan pemisahan wilayah Korea menjadi dua. Ideologi anti-komunis telah ditekankan oleh pemerintah Korea Selatan sebelumnya dengan menyekat sebarang bentuk produk budaya dari Korea Utara. Apabila Presiden Rho Tae Woo mentadbir, secara beransur-ansur telah melancarkan dasar terbuka terhadap budaya Korea Utara pada tahun 1988 dan menerbitkan garis panduan asas yang berkaitan dengan pertukaran dan kerjasama dengan Korea Utara. Pada tahun 1990, garis panduan ini telah dilancarkan dengan Akta Pertukaran dan Kerjasama Korea Utara dan Akta Dana Kerjasama.

Dasar seterusnya pula oleh Presiden Kim Young Sam (1993-1998), menekankan demokrasi kebudayaan, kreativiti rakyat, kebudayaan wilayah, industri  pelancongan kebudayaan, dan globalisasi kebudayaan Korea sebagai objektif utamanya. Selain itu, beliau membuat kembali Rancangan Baru Lima Tahun untuk mempromosi pembangunan kebudayaan pada tahun 1993, Rencana Induk Kesejahteraan Budaya 1996, dan Visi Budaya 2000.

Dasar beliau masih diteruskan oleh Presiden Kim Dae Jung (1998-2003), dimana beliau telah merancang dasar kebudayaan bagi kerajaan baharu 1998, rancangan 5 tahun untuk pembangunan industri kebudayaan 1999, 21 visi industri kebudayaan (2000) dan 21 visi industri kebudayaan dalam masyarakat digital 2001. Walaubagaimanapun, beliau telah membuat perubahan dengan memperkenalkan dasar pertukaran budaya dengan Korea Utara yang dinamakan sunshine policy. Polisi ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk membaiki hubungan antara dua negara ini.

Begitu juga hubungan Kerajaan Korea Selatan dengan Jepun. Presiden Kim Dae Jung telah mengadakan program pertukaran budaya dengan Jepun dan mula membenarkan produk-produk kebudayaan seperti filem, video dan penerbitan Jepun masuk ke Korea Selatan.

Berbeza dengan kerajaan sebelumnya yang berusaha membina dan memulihkan identiti kebudayaan Korea Selatan dengan melarang sebarang bentuk produk kebudayaan dari Jepun yang dianggap mempunyai banyak unsur ganas dan lucah sehingga  mengancam pasaran domestik industri kebudayaan Korea. Perubahan dasar tertutup kepada dasar terbuka terhadap kebudayaan Jepun ini dianggap tindak balas positif terhadap peningkatan globalisasi kebudayaan.

Kesimpulannya, dalam konteks perangkaan polisi, isu identiti kebudayaan tetap mempengaruhi pembentukan dasar atau polisi secara keseluruhan.

Oleh:
Irfan Izhar
Kolumnis Fokus & Penyelidik IRIS

Sumber:
Haksoon Yin. 2002. Cultural Identity and Cultural Policy in South Korea. The International Journal of Cultural Policy, Vol. 8(1), pp: 37-48

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apa Akan Jadi Sekiranya Vaksin Di Malaysia Gagal Mencapai ‘herd immunity’?

Next Post

Isu Tambakan Pulau Batu Puteh: Apa Kesan Kepada Malaysia?

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content