Bahagiakah Warga kota Dalam Belanjawan 2023?

Sumber imej: FULCRUM.sg

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas telah menyatakan ikhtiar kerajaan dalam memperkukuhkan peranan agensi dan syarikat kerajaan. Secara khususnya Ikhtiar 8 ini akan menyaksikan peranan kerajaan dalam membantu rakyat miskin bandar bagi meningkatkan mutu kehidupan, memulihkan bangunan warisan sejarah di pusat bandar, memaknakan semula kehidupan di pusat bandar, meningkatkan daya huni perumahan awam di kawasan bandar, serta memelihara pusat warisan UNESCO di bandar-bandar terpilih.

Maka, pelbagai agensi dan syarikat kerajaan akan digerakkan bagi mencapai matlamat tersebut, termasuk Khazanah Nasional Berhad melalui anak syarikatnya, Think City serta beberapa institusi kerajaan negeri dan tempatan seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Melaka dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Inisiatif di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini dilihat sebagai satu bentuk langkah yang signifikan, memandangkan 75.1% populasi Malaysia tinggal di kawasan bandar dan polisi yang menyasarkan kawasan bandar bakal merangkumi sebahagian besar populasi negara.

Namun begitu, slogan “memaknakan semula kehidupan bandar” yang diuar-uarkan semasa pembentangan belanjawan baru-baru ini perlu dinilai semula makna serta erti sebenarnya. Adakah langkah-langkah yang bakal atau sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan ini benar-benar memberi makna yang baharu buat warga bandar di Malaysia?

Bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka yang ditekankan dalam Ikhtiar 8 merupakan bandaraya yang berkembang secara organik dengan segala kerumitan kehidupan sosial yang dinamik. Bandaraya-bandaraya ini bukan sahaja meneruskan kesinambungan legasi kolonial yang dibentuk oleh aktor-aktor pro-kapitalis, malah ruang lingkup bandar-bandar besar ini juga mewarisi budaya dan identiti tempatan serta terbuka dengan perubahan pasca-globalisasi.

Justeru, usaha memacu pembangunan bandaraya di Malaysia perlu dirangka dengan formula yang mengharmonikan kesemua kepentingan, termasuk kepentingan kerajaan, perniagaan, rakyat dan bandar itu sendiri.

Jika dinilai apa yang dibentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari, kelihatan seperti inisiatif yang hendak dilakukan adalah dengan memperkasakan bidang kuasa kerajaan dalam memastikan bandar-bandar besar memberi keuntungan bagi kesemua pihak; rakyat mendapat kualiti perumahan yang lebih baik, perniagaan memperoleh keterjaminan buruh yang tidak sibuk dengan pergelutan kualiti hidup yang rendah, sejarah dan warisan bandaraya dapat dipulihara, serta seterusnya menggalakkan lagi pelaburan daripada dalam dan luar negara.

Namun begitu, menurut laporan pencapaian yang dikeluarkan oleh InvestKL bagi tahun 2021 – didapati bahawa buruh tempatan di kawasan bandar lebih tertumpu kepada jawatan di peringkat rendah dan pertengahan. Hal ini dibandingkan dengan peluang pekerjaan yang disediakan kepada golongan ekspat hasil daripada kemasukan perniagaan dan pelaburan, sama ada daripada syarikat multinasional ataupun tempatan ke hab-hab perniagaan di wilayah Greater KL.

Secara mudahnya, perniagaan yang berjaya ditarik oleh agensi dan syarikat kerajaan ke hab-hab perniagaan pusat bandar adalah perniagaan yang menggalakkan bakat luar atau ekspat masuk ke dalam negara, dan mengambil tempat yang sepatutnya diisi oleh bakat tempatan. Seterusnya, apabila ramainya bakat luar masuk ke Malaysia, dengan penawaran gaji yang jauh lebih tinggi berbanding yang ditawar kepada bakat tempatan, penawaran sewa hartanah yang jauh lebih tinggi dapat dibuat oleh pihak yang berkepentingan, serta galakan kepada budaya hidup mesra pelabur dan ekspat dapat dirancakkan lagi di kawasan pusat bandar.

Sumber: InvestKL

Manakala, bagi inisiatif penyegaran semula aspek budaya dan seni di bandaraya Kuala Lumpur menerusi peruntukan RM30 juta dalam Belanjawan 2023 semestinya dapat mempertingkatkan lagi nilai estetika demi “memaknakan semula kehidupan bandar”. Usaha ini merangkumi pelaksanaan pembandaran hijau dengan sistem pengangkutan awam yang efisien serta galakan pembaharuan pusat kebudayaan untuk ekonomi kreatif.

Ironinya, berapa ramai daripada kita yang melawat ibu negara dengan tujuan merehatkan diri dengan aktiviti kesenian, kebudayaan serta keilmuan? Adakah institusi kesenian, kebudayaan dan keilmuan sedia ada seperti Muzium Negara, Perpustakaan Negara dan Istana Budaya berfungsi sebagai komoditi rakyat awam dan sumber utama kebudayaan negara?

Bahkan, sebuah bandar yang kaya dengan nilai kehidupan yang maju serta sejahtera sepatutnya mampu untuk mempunyai warga kota yang gembira dan sihat emosi serta fizikalnya. Itulah gambaran sebenar bagi “mengembalikan kehidupan bandar”.

Bandar itu hakikatnya adalah manifestasi kemajuan satu-satu masyarakat yang kompleks dan dinamik, apatah lagi bagi bandar yang organik seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bharu.

Justeru itu, Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2023 seharusnya memperkasakan peranan agensi dan syarikat kerajaan dalam melaksanakan satu formula pembangunan yang mengimbangi tekanan daripada hab-hab perniagaan dengan kesejahteraan warga bandar.

Sudah tiba masanya hala tuju belanjawan  keluar daripada formula merawat permasalahan yang lahir daripada kerentanan masyarakat yang wujud kepada formula memperkasakan potensi, bakat dan keilmuan masyarakat tempatan.

Hanis Noor
Penyelidik IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Cadangan Anwar Ibrahim Menyusahkan Lagi Rakyat

Next Post

Mengapa China Membantu Arab Saudi dan Iran dalam Hubungan Diplomatik?

Related Posts
Skip to content