Mengapa China Membantu Arab Saudi dan Iran dalam Hubungan Diplomatik?

Sumber: The Cradle

Pada 10 Mac, Arab Saudi dan Iran telah mengumumkan persetujuan mereka untuk mewujudkan semula hubungan diplomatik, berdasarkan rundingan yang diadakan di Beijing. China telah menggambarkan dirinya sebagai broker perjanjian itu, dan diplomat kanan China telah mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara atas “kebijaksanaan” mereka.

Soalan 1: Mengapakah kedua-dua negara ini mewujudkan semula hubungan diplomatik pada waktu sekarang?

Perjanjian itu telah dimulakan semasa lawatan Presiden Iran, Ebrahim Raisi ke Beijing bulan lepas. Selama berbulan-bulan, Arab Saudi telah memberi tekanan kepada Iran melalui sokongannya kepada Iran International, saluran televisyen berbahasa Parsi yang berpangkalan di luar negara, yang mengkritik rejim di Iran.

Sejak Presiden Raisi memegang jawatan pada Ogos 2021, beliau mengumumkan keutamaan beliau untuk mengurangkan ketegangan dengan jiran serantau. Arab Saudi dan Iran mempunyai pelbagai perbezaan di rantau ini dan sering bertempur melalui proksi mereka.

Iran telah membekalkan senjata kepada pasukan Houthi di Yaman yang telah mengancam penduduk Arab Saudi di sempadan dan di kawasan pedalaman. Justeru, Arab Saudi ingin mencari jalan untuk menamatkan konflik di Yaman, dan perjanjian ini berkemungkinan akan membantu dalam mencapai objektif berkenaan.

Soalan 2: Apakah kepentingan bagi peranan dan kehadiran China di Teluk Arab?

Peranan dalam menjadi broker dalam sesebuah rundingan memperkasakan lagi martabat China. Mesej yang cuba disampaikan China adalah walaupun Amerika Syarikat (AS) adalah kuasa ketenteraan utama di Teluk Arab, China menunjukkan kehadiran diplomatik yang semakin kuat di rantau ini. Ini menambahkan lagi persepsi tentang kuasa dan pengaruh China di seluruh dunia, dan menyumbang kepada naratif kehadiran global AS yang semakin mengecil.

Iraq telah berusaha untuk memainkan peranan sebagai broker rundingan antara Saudi-Iran, dan Perdana Menteri Emmanuel Macron dari Perancis secara aktif telah berusaha untuk menyokong proses pendamaian juga.

China walau bagaimanapun mempunyai kedudukan yang baik dari segi ekonomi untuk terlibat dengan kedua-dua pihak. China sahaja mewakili kira-kira 30 peratus daripada jumlah perdagangan antarabangsa Iran, jadi China adalah rakan penting bagi Iran.

China juga merupakan pasaran eksport minyak terbesar bagi Arab Saudi, dan Arab Saudi merupakan pembekal minyak terbesar China.

Apabila Presiden Xi Jinping melawat Arab Saudi pada bulan Disember, rakyat Iran menyatakan keluhan terhadap kecenderungan China kepada Arab Saudi. Namun disebabkan dasar pengasingan Iran, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Iran sebagai satu bentuk protes.

Sumber: CSIS

Soalan 3: Apakah maksud untuk Amerika Syarikat dan peranannya di Teluk Arab?

AS tidak boleh menjadi perantara perjanjian ini memandangkan kuasa tersebut tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan Iran. Pemberhentian Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi sejak Oktober 2022 telah menghilangkan sokongan mereka terhadap kerajaan AS.

Pentadbiran Biden telah menyatakan kepentingan untuk mengadakan dialog keselamatan di rantau itu, justeru berkemungkinan akan menyatakan sokongan terhadap perjanjian diplomatik ini. Tetapi tindakan Arab Saudi seolah-olah telah mengecualikan peranan AS dan memberi signal bahawa mereka sedang berusaha untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada AS dalam aspek keselamatan.

Kerajaan AS mempunyai dua pendirian terhadap perkara ini; AS mahu Arab Saudi mengambil tanggungjawab untuk keperluan keselamatan mereka sendiri yang semakin meningkat, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mahu Arab Saudi untuk bebas dan melemahkan strategi keselamatan AS sendiri.

Soalan 4: Apakah yang boleh diterangkan tentang diplomasi Arab Saudi melalui perjanjian ini?

Arab Saudi nampaknya telah menstrukturkan rundingan ini dengan sengaja untuk mengenepikan AS daripada perjanjian itu. Namun pada masa yang sama, Arab Saudi telah mendedahkan kepada Wall Street Journal bahawa mereka terbuka untuk menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel dan mendedahkan beberapa syarat.

Arab Saudi tidak akan bersikap pasif dalam diplomasi serantau, dan akan mengambil langkah untuk mengimbangi kepentingannya. Keraguan Saudi terhadap Iran juga sangat mendalam, begitu juga dengan permusuhan Iran terhadap Arab Saudi. Kedua-dua negara menjangkakan bahawa mereka akan kekal bermusuhan, tetapi mereka percaya bahawa kewujudan lebih banyak saluran komunikasi secara langsung akan memenuhi kepentingan mereka.

Disebabkan oleh ancaman yang berterusan dari Iran yang masih dirasai oleh Arab Saudi, mereka masih bertindak untuk mengekalkan hubungan dengan AS untuk mengelakkan pencerobohan Iran.

Seperti yang telah dilaporkan, antara strategi yang dilakukan Arab Saudi bagi tujuan tersebut antaranya adalah dengan meminta persetujuan AS untuk pemerkasaan nuklear dan memperkukuhkan aspek keselamatan dengan Israel.

Sumber: CSIS

Terjemahan oleh:
Hanis Noor
Ketua Editor Fokus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bahagiakah Warga kota Dalam Belanjawan 2023?

Next Post

Indonesia Umum Insentif Untuk Pelabur di Nusantara

Related Posts
Skip to content