BUKTI BANGSA MELAYU SEBAGAI PENDUDUK ASAL TANAH MELAYU

Rajah 1:Pergerakan manusia berdasarkan teori ‘Out of Africa’ menunjukkan manusia di alam Melayu datang secara langsung dari Timur Tengah atau India, bukan dari China. Sumber: (Oppenheimer, 2012).

Pendahuluan

Bangsa Melayu adalah bangsa yang memiliki identitinya yang asli, iaitu bukan berasal dan hasil percampuran dari bangsa atau tamadun-tamadun lain. Kewujudan tamadun-tamadun purba yang dikenali dengan istilah kebudayaan seperti kebudayaan Dong Son dan kebudayaan Sa Huynh yang merupakan permulaan kepada tamadun Melayu Champa yang wujud beribu tahun sebelum masihi, merupakan salah satu hujah awal yang jelas bahawa bangsa Melayu merupakan penduduk asal di Tanah Melayu ini.

Artikel ini memfokuskan kepada persoalan adakah Tanah Melayu (termasuk kepulauan Melayu) merupakan tempat asal bangsa Melayu. Sempadan Tanah Melayu (selepas ini disebut sebagai Alam Melayu) termasuklah di kawasan Nusantara (Malaysia dan Indonesia), pulau-pulau di Polinesia, pulau-pulau di Mikronesia di lautan Pasifik sehinggalah ke Pulau Madagascar di Lautan Hindi, mewakili satu pertiga kawasan dunia.

Teori Geologi Kewujudan Kepulauan Melayu

Pada kawasan Bumi Sunda (membentuk sebahagian besar Asia Tenggara pada hari ini), telah terbentuknya Kepulauan Melayu kesan daripada naiknya paras laut sekitar 12,000 tahun dahulu. Di kawasan ini, telah muncul bangsa rumpun Melayu daripada kalangan orang yang keluar dari benua Afrika dahulu (Ishak, 2012).

Rajah 1: Pergerakan manusia berdasarkan teori ‘Out of Africa’ menunjukkan manusia di alam Melayu datang secara langsung dari Timur Tengah atau India, bukan dari China. Sumber: (Oppenheimer, 2012).

Teori bahawa Alam Melayu yang diduduki oleh bangsa Melayu dalam tempoh yang awal diperkukuhkan melalui dapatan oleh Stephen Oppenhiemer. Rajah diatas menunjukkan simulasi perpindahan atau pergerakan manusia berdasarkan teori ‘Out of Africa’ yang dilakarkan oleh Oppenheimer dalam sebuah jurnal bertajuk “Out-of-Africa, the Peopling of Continents and Islands: Tracing Uniparental Gene Trees across the Map”. Simulasi ini menunjukkan bahawa penghuni kawasan Asia Tenggara, iaitu bangsa Melayu merupakan antara pecahan bangsa terawal yang muncul secara langsung dari kelompok manusia terawal dunia. Selain itu, Oppenheimer dalam bukunya berjudul “Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia”, dalam tahun 1999, telah menghujahkan dengan banyak bukti-bukti bahawa Asia Tenggara, khususnya Bumi Sunda, adalah tempat lahirnya tamadun manusia yang pertama di dunia (Ishak, 2009).

Berdasarkan tinggalan arkeologi, bangsa Melayu telah pun berada di Alam Melayu selewat-lewatnya 40,000 tahun dahulu. Menurut Rahman (2012), Alam Melayu sampai ke Taiwan adalah bercantum, manakala Pentas Sunda dan Sahul yang merupakan tanah besar bercantum membentuk Alam Melayu. Kedudukan Pentas Sunda dan Sahul boleh dilihat dalam Rajah 2 (Palmer, 2007).

Rajah 2: Peta menunjukkan kedudukan Pentas Sunda dan Pentas Sahul.

Kita juga dapat melihat pada Rajah 3 yang menunjukkan tempat-tempat arkeologi awal di Semenanjung Tanah Melayu yang banyak dan menunjukkan tinggalan tamadun yang sangat lama (Chitkament, 2007).

Rajah 3: Tapak-tapak arkeologi yang menunjukkan lokasi-lokasi yang membuktikan kewujudan kehidupan di Semenanjung Malaysia pada zaman Holocene (11,500-12,000 tahun lepas) (Bellwood, 1979)

Teori Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Awal Dunia

Rumpun Melayu boleh didefinisikan sebagai suatu rumpun bangsa Melayu Austronesia yang bertutur dengan bahasa Melayu. Hari ini, bahasa Melayu dituturi lebih kurang 300 juta rumpun Melayu dan yang kelima ramainya penutur dalam dunia. Pengkaji-pengkaji bahasa telah mendapati ada sejumlah 800 hingga 1,200 bahasa-bahasa Rumpun Melayu. Bahasa-bahasa ini tersebar dari Pulau Madagascar hingga ke Pulau Easter, iaitu dari sempadan di sebelah barat sekali dalam Alam Melayu hingga ke perbatasan di sebelah timur sekali dalam Alam Melayu.

Menurut Ismail Husein dan Amat Juhari (1996), orang-orang Melayu di Nusantara ini juga mempunyai aksara tersendiri sebelum aksara Palavi. Aksara-aksara ini dinamai huruf Rencong atau Rencung (Zain, 2000). Kewujudan huruf Rencong ini telah membuktikan bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang telah lama wujud di alam Melayu. Ini menafikan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini bahawa bahasa Melayu muncul akibat pengaruh daripada bahasa Sanskrit atau bahasa-bahasa awal lain.

Teori Genetik Melayu Terawal

Kajian terhadap genetik bangsa Melayu menunjukkan bahawa nenek-moyang mereka merupakan manusia terawal yang hidup dan wujud di Alam Melayu. Menurut Ishak (2009), terdapat kumpulan pengkaji yang menemui bukti bahawa sebahagian besar genetik penduduk di kepulauan Asia Tenggara memang telah wujud dan membentuk di kepulauan ini sendiri, mungkin semenjak manusia mula sampai ke Asia Tenggara 50,000 tahun dahulu.

Kajian pakar genetik terhadap Mitochondrial DNA (mtDNA) orang Asli di semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa usia genetik orang Asli Semang dan orang Asli Senoi mencecah hampir 60,000 tahun. Terdapat juga kajian genetik bangsa Melayu lain yang menyatakan usianya sekitar 40,000 tahun (Hill, et al., 2006). Orang Negrito yang berasal dengan bangsa Melayu yang hidup pada zaman kebudayaan Hoabinhians juga mempunyai mtDNA yang mencecah 60,000 tahun (Hatin, et al., 2011).

Tamadun Melayu Purba

Sebelum wujud kerajaan beragama Buddha atau Hindu di Alam Melayu, hubungan perdagangan antara Alam Melayu dengan India dan kawasan lain telah wujud semenjak zaman logam, iaitu 200 SM di Pulau Kelumpang dan Sungai Mas Kedah (Rahman, 2012).  Menurut Peter Bellwood, seorang pakar prasejarah Australia, telah wujud sebuah tamadun di pesisir pantai Vietnam pada hari ini, iaitu tamadun Sa Huynh sekitar 1000 SM sehingga 200 SM (Ishak, 2009).  Tamadun ini merupakan permulaan kepada tamadun Melayu Champa melalui perbandingan bahasa pertuturan tamadun Sa Hunyh yang berbahasa dengan bahasa Melayu (Ishak, 2009).

Sementara itu, tapak arkeologi Sungai Batu yang ditemui di Kedah yang bertarikh sekitar 500 SM juga merupakan bukti kuat kewujudan sekurang-kurangya kerajaan Melayu yang menjalankan perindustrian bijih besi. Selain itu, terdapat pula beberapa kerajaan Melayu Purba lain yang tertulis dalam catatan Cina, iaitu Lang Ya Xiu (Fatani atau Patani sekarang) abad ke-2M, Pan Pan (utara Segenting Kera) abad ke-5 M, Senggora (bermaksud Tanah Merah, sekarang di Thailand Selatan), Oun Zhu Bo (Pulau Jawa sekarang) semuanya telah wujud sekurang-kurangnya pada abad ke-5 M lagi (Zain, 2000).

Penutup

Teori geologi, genetik, dan bahasa telah menjadi hujah kuat yang membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa yang asli, awal dan merupakan penduduk asal di Alam Melayu ini. Tersebarnya bangsa Melayu jauh ke Madagascar di Afrika dan hingga ke selatan kepulauan Taiwan menunjukkan betapa besarnya pengaruh bangsa Melayu terhadap sejarah dan kebudayaan dunia. Kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu yang dapat dikesan pada 500SM di Sungai Batu, Funan pada abad pertama masihi dan diikuti oleh puluhan hingga ratusan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain telah membuktikan bahawa bangsa Melayu hidup dalam satu sistem pentadbiran yang teratur selama ribuan tahun di Alam Melayu. Ini sekaligus mampu menafikan dakwaan bahawa orang Melayu adalah pendatang di kawasan yang dikenali sebagai Tanah Melayu (atau Alam Melayu ini).

Mohd Zul Fahmi bin Md Bahrudin
Penyelidik IRIS Institute

 

Rujukan

Chitkament, T. (2007). Lithic Analysis of Moh Khiew Rockshelter (Locality 1) in Krabi River Valley, Krabi Province, Southwestern Thailand. Tarragona: Universitat Rovira I Virgili.

Hatin, W. I., Rajab, N.-S. A., Mohd-Khairi, Z., Shuhua, X., Li, J., Soon-Guan, T.Alwi, Z. b. (2011). Population Genetic Structure of Peninsular Malaysia Malay Sub-Ethnic Groups. PLOSONE, 1-5.

Hill, C., Soares, P., Mormina, M., Macaulay, V., Meehan, W., Blackburn, J. Richards, M. (2006). Phylogeography and Ethnogenesis of Aboriginal Southeast Asians. Society for Molecular Biology and Evolution, 2480-2491.

Ishak, M. A. (2012). Sejarah Perkembangan Tamadun Melayu. International Conference on Malay-Polynesian Ancestral Nations, (pp. 1-15). Seremban.

Oppenheimer, S. (2012). Out-of-Africa, The Peopling of Continents and Islands: Tracing Uniparental Gene Trees Across the Map. Philosophical Transaction of The Royal Society, 770-784.

Palmer, E. (2007). Out of Sunda? Provenance of the Jōmon Japanese. Japan Review, 47-75.

Rahman, N. H. (2012). Data Arkeologi Tentang Evolusi Bangsa dan Peradaban Melayu. In A. L. Bakar, Gagasan Melayu Serumpun (pp. 1-20). Tanjong Malim: Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zain, S. b. (2000). Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam. Bulletin of The Malaysian Mathematical Sciences Society, 187-220.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Fabian Society dan Asal Usul Penubuhannya (Siri 1)

Next Post

Fabian Society: Di Sebalik Bayang – Bayang Komunis di Tanah Air Berdaulat Ini

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content