Pengurangan kuasa Raja oleh British sebelum kemerdekaan

Kesultanan atau Raja-Raja Melayu adalah satu institusi yang telah ribuan tahun bertapak di bumi Malaysia. Sebelum kedatangan dan penglibatan barat dalam Negeri-negeri Melayu, Raja atau Sultan menjadi tonggak pemerintahan dalam negeri masing-masing di Tanah Melayu.

Ketaatsetiaan rakyat terhadap pemerintah menunjukkan sempadan kawasan pemerintahan Raja atau Sultan. Raja dan Sultan dahulu kala digelar Khalifah Allah atau wakil Allah diberi kuasa dalam mentadbir kawasan tanpa kuasa tangan luar. Raja atau Sultan bebas membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat.

Namun, setelah kedatangan Portugis, penjajah pertama di Tanah Melayu, menggalakkan penjajah lain untuk terus mengeksploitasi Tanah Melayu, perubahan status quo berlaku. Kuasa Raja Melayu mula terhakis sedikit demi sedikit tanpa disedari disebabkan kehalusan penjajah dalam cubaan memperluaskan pengaruh di Tanah Melayu.

Pengukuhan Kedudukan British di Perlis Melalui Perjanjian Rasmi “Perlis-British 1930”

Perjanjian rasmi “Perlis-British 1930” telah meletakkan Elit Melayu dalam politik dan pentadbiran negeri Perlis. Elit Melayu yang merupakan Pro-Barat diberikan kuasa untuk menjadi ahli Majlis Mesyuarat. Ahli-ahli boleh menyuarakan cadangan dan mempengaruhi Raja Melayu atau Penasihat British.

Dalam pentadbiran ini, Raja memerlukan sokongan ahli Majlis Mesyuarat untuk membuat keputusan. Raja tidak boleh sewenangnya membuat keputusan sendiri.

 

Image result for raja syed alwi
Raja Syed Alwi. sumber Laman Web Rasmi Raja Perlis

Dari segi pelantikan bakal Raja Perlis, pada zaman Raja Syed Alwi sistem pewarisan tidak  digunakan jika Raja tidak mempunyai anak lelaki, sebaliknya Penasihat British dan golongan elit pemerintah terlibat dalam penentuan siapa yang layak dipilih untuk memerintah. Hal ini terikat dengan perkara ke-5 perjanjian yang menyebut:

“Berdasarkan perkara ke-5 perjanjian Perlis-British 1930, Raja dan penggantinya tidak bebas dalam membuat keputusan tetapi perlu merujuk kepada Penasihat British terlebih dahulu.”

Pengikisan kuasa Raja dapat dilihat apabila Raja perlu mendapat nasihat daripada Penasihat British dalam membuat keputusan. Raja juga berkongsi kuasa dan pengaruh dengan golongan Elit Melayu yang menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri yang memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pengukuhan kuasa British di Kedah

Usaha mengukuhkan kedudukan British melalui pelantikan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Tujuan pelantikan Pesuruhjaya Tinggi British adalah mengawasi perjalanan pentadbiran negeri bagi setiap negeri Melayu yang berada di bawah kawalan British. Pesuruhjaya Tinggi British menjadi rujukan utama kerana dianggap mempunyai kuasa ke atas negeri-negeri Melayu. Beliau mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu walaupun golongan Raja sebagai pemerintah masih dikekalkan.

Pesuruhjaya Tinggi British telah melatik pegawai British untuk mengetuai dan mengawasi perjalanan birokrasi kolonial di setiap peringkat Negeri. Di Kedah, pegawai British dilantik sebagai wakilnya menjalankan pentadbiran Negeri dan mengimplementasikan polisi British.

John Anderson merupakan Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Tugas utama Pesuruhjaya Tinggi British adalah mengawasi proses perjalanan pentadbiran Negeri di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Anderson bermatlamat untuk meluaskan pengaruh British di Negeri yang masih tidak di bawah pengaruh British. Anderson sendiri menawarkan diri untuk menjadi Peseruhjaya Tinggi British bagi negeri Kedah, Terengganu, Perlis dan Kelantan.

Perjanjian 1909 iaitu penyerahan Kedah oleh Siam kepada British tidak diterima baik oleh Sultan Abdul Hamid. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Anderson untuk mengambil hati Sultan Kedah. Namun rasa tidak puas hati tetap menebal apabila sempadan Kedah berubah dan Kedah kehilangan kawasan Setul dan Pattani. Baginda menyuarakan rasa kekecewaan terhadap Anderson tentang tindakan Siam yang mengubahsuai sempadan Kedah tanpa merujuk kepadanya.

Image result for perjanjian perlis-british
Perjanjian British-Siam 1909 yang menyerahkan Kedah kepada British oleh Siam. Sumber Astro Awani

Disebabkan perubahan sempadan Kedah memberi keuntungan kepada pihak British, Anderson mula memberi ‘hadiah’ kepada Negeri Kedah iaitu menyerahkan Telegraf, telefon dan pejabat pos kepada Kedah dan penurunan kadar faedah untuk membayar balik hutang Kedah terhadap Siam. Penjelasan Anderson mempengaruhi Sultan Abdul Hamid dan mengurangkan ketegangan.

Untuk menguatkan pengaruh British di Kedah, Anderson berhasrat meletakkan Kedah di bawah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Namun hasrat ini ditentang oleh penduduk Melayu kerana pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu berada di bawah perhatian pegawai British dan ini mengurangkan kedudukan orang Melayu dalam pentadbiran Negeri. Perkara ini jelas membuktikan bahawa British sentiasa berusaha untuk mengehadkan kuasa orang Melayu tempatan dalam pentadbiran.

Dalam meluaskan pengaruh British di Kedah, Anderson telah bertindak sebagai pemberi kata pemutus dalam isu yang melibatkan pentadbiran negeri. Keputusan yang dibuat oleh Anderson adalah muktamad dan tidak dicabar oleh Sultan Abdul Hamid dan Majlis Mesyuarat Negeri. Situasi ini dapat dibuktikan semasa Anderson menghadapi tentangan daripada Tengku Mahmud yang merupakan Presiden Majlis Mesyuarat Negeri dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri.”

Dalam hal ini, jelaslah bahawa British datang dengan membawa matlamat untuk merampas kuasa Sultan demi meluaskan pengaruh British dengan pelbagai muslihat.

 

KESIMPULAN

Usaha menghapuskan kuasa Raja dan Sultan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini adalah berterusan dan tidak berhenti pada penjajah British sahaja. Malahan, usaha ini masih diteruskan oleh penjajah-penjajah lain yang menganggap mereka perlu mentamadunkan Tanah Melayu.

Segala peristiwa yang terjadi tidak berlaku dengan hanya kebetulan. Perkara ini sudah pasti dirancang oleh penjajah sekian lamanya. Persoalannya, sedarkah kita tentang perkara ini? Apakah tindakan kita untuk mengembalikan kuasa Raja dan Sultan kita yang telah hilang dek penjajah yang licik?

Disediakan oleh:
Widad Zainur Rashid
Kolumnis Fokus

*Widad Zainur Rashid sedang menjalani latihan industri di Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS Institute)

Rujukan

Manaf, A. A., & Ahmad, A. (2017). Peningkatan Kawalan British Melalui Perjanjian Perlis-British 1930 Dan Pengukuhan Kuasa Elit Melayu. SEJARAH: Journal of the Department of History, 23(1).

Ponniah, S., Aziz, M. K. N. B. A., & Nor, M. K. (2014). Peranan dan pengaruh Pesuruhjaya Tinggi British dalam perluasan pengaruh British di Kedah. Centre for General Studies College of Arts and Sciences Universiti Utara Malaysia (UUM) 06010 UUM Sintok Kedah., 1561.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pelan Damai Trump: Strategi Trasformismo Israel

Next Post

Melayu merempat di medan jihad?

Related Posts
Skip to content