Sehingga kini, pengawasan U.S. yang dilakukan Selasa lalu adalah cabaran terbesar terhadap wilayah yang dituntut oleh kerajaan China di sekitar pulau-pulau buatan mereka di salah satu laluan air yang paling sibuk di dunia.
Namun, rancangan untuk membuat lawatan ke China yang dicadangkan oleh komander U.S. Pacific Command, Admiral Harry Harris dan Admiral Scott Swift yang merupakan komander U.S. Pacific Fleet, akan tetap diteruskan, begitu juga dengan rancangan untuk membuat lawatan ke pelabuhan di China oleh beberapa buah kapal U.S. pada November dan Disember ini.
Seorang pegawai U.S. berkata, Harris yang pernah mengkritik keras tindakan China yang membina pulau buatan di Spratly, akan melawat Beijing minggu hadapan, manakala Swift pula bakal menyusul untuk lawatan akhir tahun ini. Richardson dan Wu juga dilaporkan bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut melalui video telepersidangan akhir tahun ini.
Minggu hadapan, Presiden China Xi Jinping akan melawat Vietnam dan Singapura yang turut sama membuat tuntutan di Laut China Selatan. Sementara itu, Menteri Pertahanan China Chang Wanquan akan menghadiri perjumpaan menteri-menteri pertahanan di Asia Tenggara yang akan diadakan di Malaysia. Dalam perjumpaan ini, Ash Carter yang merupakan Setiausaha Pertahanan U.S. dijangka akan turut hadir.
Sebuah analisis melaporkan walaupun kedua-dua belah pihak masih berbincang, namun sangat sukar untuk melihat salah satu pihak mengalah. Menurut seorang pakar dalam bidang yang berkaitan tentera laut dari Universiti Sains Politik dan Undang-Undang Shanghai berkata, “Kedua-dua pihak (China dan U.S.) tidak ingin mewujudkan konflik ketenteraan, namun yang menjadi punca kepada masalah tersebut adalah kerana kepentingan masing-masing bertembung di Laut China Selatan.”
Media kerajaan China turut melaporkan “sekumpulan kapal pemusnah dengan peluru berpandu” milik Angkatan Tentera Laut China Selatan telah menjalankan “latihan konfrontasi yang realistik” melibatkan tembakan anti-pesawat serta tembakan di persisiran pantai pada waktu malam. Sebuah laman web berita yang dimiliki kerajaan China telah memuatkan beberapa gambar yang diambil ketika sesi latihan tersebut berlangsung, memberitahu Laut China Selatan sebagai lokasi latihan tersebut.
Walaupun tindakan China dikritik keras, tentera luar dari U.S. dan Eropah tetap mencuba untuk mewujudkan hubungan dengan China. Sebuah kapal frigat milik Perancis berlabuh di pengkalan Zhanjiang, pengkalan Laut China Selatan utama China, yang terletak di selatan wilayah Guangdong pada Rabu lepas. Lawatan selama empat hari itu bertujuan untuk menyertai latihan maritim tentang pertembungan secara tidak sengaja di laut.
Dua buah kapal perang milik Australia juga bakal mengadakan latihan bersama-sama tentera laut China di Laut China Selatan minggu hadapan, Menteri Pertahanan Australia Marise Payne berkata pada Khamis. Australia yang merupakan sekutu utama U.S., telah melahirkan sokongan padu terhadap prinsip kebebasan untuk berlayar minggu ini. Di samping itu, mereka turut berhenti daripada mengalu-alukan kedatangan peronda USS Lassen.
Terjemahan:Wan Nur Khairunnisa
Sumber: Reuters