Tindakan Thailand Menghantar Semula Muslim Uighur Dikecam

articlesTHAILAND-CHINA-TURKEY-REFUGEE_14031518032543.transformed

Khamis lalu, Thailand mengesahkan telah menghantar pulang lebih daripada 100 orang Muslim Uighur ke China dan hal ini telah menarik perhatian antarabangsa terutama kumpulan hak asasi dan masyarakat Turki. Konsulat Thailand di Istanbul terpaksa ditutup setelah dirempuh masuk oleh perusuh termasuklah kedutaannya di Ankara pada Jumaat lalu. Di luar kedutaan China, perusuh turut bertempur dengan pihak polis.

Pada March 2014, Thailand telah menahan lebih daripada 200 orang Muslim Uighur yang dilaporkan telah ditemui di kem di wilayah Songkhla. ‘’Sebaik sahaja mereka ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand, mereka mendakwa memiliki kewarganegaraan Turki tetapi China mengatakan mereka adalah rakyat China lalu berlaku pertikaian di situ’’,kata Thomas Nelson, penyelidik bebas dan pengarang Uighur Update, kepada The Diplomat.

Pertikaian tahanan tersebut berakhir pada bulan lepas apabila hampir 170 orang Muslim Uighur telah dihantar ke Turki selepas ditahan lebih daripada setahun. Menurut Nelson, Turki memberikan layanan yang adil terhadap Muslim Uighur memandangkan mereka merupakan saudara seIslam dan mempunyai hubungan etnik dan linguistik yang rapat.

Kolonel Weerachan Sukhondhapatipak, jurucakap kedua kerajaan Thailand telah melaporkan Thailand telah bekerjasama dengan Turki dan China bagi menyelesaikan masalah Muslim Uighur lalu menghantar mereka semula ke China selepas mengesahkan kewarganegaraan mereka pada Khamis lalu.

Sehubungan itu, Amerika Syarikat (AS), Agensi Pelarian PPB dan beberapa organisasi Hak Asasi Manusia telah mengutuk tindakan Thailand tersebut. Jurucakap Jabatan AS, John Kirby pula berkata China bakal memberikan layanan kasar dan penindasan melalui undang-undang terhadap Uighur.

Tindakan Thailand dilihat sebagai pengecut

Manakala Pengarah Human Rights Watch, Sophie Richardson pula tidak berbelah bahagi dalam menilai tindakan Thailand. ‘’Thailand bersifat pengecut apabila mendapat tekanan dari Beijing dan telah merampas hak perlindungan Muslim Uighur’’,katanya dalam satu kenyataan. ‘’Risiko Uighur untuk pulang ke China semula telah pun diketahui oleh semua pihak dengan baik maka Thailand seharusnya melindungi Muslim Uighur daripada dipulang secara paksa’’.

Volker Turk, Pembantu Pesuruhjaya Perlindungan UNHCR turut menggelar tindakan Thailand sebagai ‘’pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa secara terang-terangan’’.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha; pegawai tentera yang telah merampas kuasa pemerintahan pada tahun lepas, pula kelihatan tidak prihatin terhadap nasib Muslim Uighur. ’’Jika kami menghantar mereka semula (ke China) dan berlaku satu masalah maka ia bukan berpunca daripada kami’’, katanya kepada wartawan kemudian dibidas dengan kritikan bahawa Thailand merupakan negara yang telah menandatangani Perjanjian Konvensyen PBB Menentang Penganiayaan yang melarang kerajaan daripada menghantar mana-mana individu pulang ke negara asal secara paksa jika terdapat sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa mereka akan diseksa atau dilayan secara tidak berperikemanusiaan.

Tindak balas dari China

Jumaat lalu, Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, ‘’Mengikut konvensyen antarabangsa yang berkaitan dan perjanjian kerjasama dua hala, penghantaran penyeludup haram ini semula ke China turut dipersetujui oleh China dan Thailand dan ia merupakan kerjasama yang normal dilakukan oleh mana-mana negara dalam membanteras penyeludupan dan imigresen haram’’. Chunying turut menuduh kerajaan-kerajaan lain dan ‘’pihak berkuasa’’ telah mempolitikkan isu tersebut.

Manakala, Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW Bahagian Asia pula telah memberitahu Bangkok Post bahawa tindakan Bangkok yang tidak berhati perut ke atas Muslim Uighur ibarat menggadaikan mereka kepada kuasa besar China atas alasan politik dan secara jelas telah melanggar piawaian hak asasi antarabangsa.

Sejak rampasan kuasa pada Mei 2015, Thailand telah mendapat pelbagai kritikan antarabangsa manakala China pula kelihatan berminat untuk merapatkan lagi hubungan dengan Thailand dan begitulah sebaliknya. Sebagai bukti, Thailand telah mengundi untuk membeli 3 kapal selam yang berharga $1 billion daripada China pada minggu lalu dan ia merupakan kapal selam pertama yang dibeli oleh Thailand sejak 1951. Dalam masa yang sama isu penghantaran Muslim Uighur pula bertembung dengan proses pembelian tersebut. Hal ini menguatkan lagi idea perhubungan tersebut.

Protes di Turki dan China

Di Turki, rusuhan anti-China telah berlaku sebagai bantahan terhadap tindakan Thailand dan China. Seminggu sebelum berita penghantaran tersebar, China telah pun memberi amaran kepada warganya di Turki untuk berhati-hati dengan bantahan tersebut dan konsulatnya di Istanbul pula telah berkali-kali diasak oleh perusuh sejak minggu lalu.

Di China pula, beberapa bantahan telah berlaku di hadapan sebuah restoran di Taksim Square sebagai bantahan terhadap larangan berpuasa oleh China dan berlaku sedikit kekecohan apabila pemilik restoran tersebut yang berbangsa Uighur turut dibelasah oleh perusuh terbabit. Tambahan lagi, pihak penganjur bantahan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pemilik restoran tersebut.

 

Nurul Fitrah Abdullah

Sumber : The Diplomat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bukti Pengaruh Kuat Israel Terhadap Ahli Politik Amerika Syarikat

Next Post

Terbaru: Seruan dari Morsi Untuk Selamatkan Mesir

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content