COVID 19, Pendidikan Norma Baharu dan Pembentukan Generasi

Bidang pendidikan menghadapi cabaran yang besar akibat pandemik Covid-19 sehingga menimbulkan kerisauan tentang wujudnya generasi yang tercicir atau ‘the lost generation’ seperti yang disebut oleh ramai pihak termasuk ahli parlimen serta beberapa tokoh pendidikan.

Perubahan daripada sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara bersemuka kepada sistem PnP atas talian atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bukan sahaja mengesani para pelajar malah warga pendidik serta ibubapa. Selain persediaan fizikal seperti peranti dan capaian internet, PnP atas talian dalam suasana pandemik ini juga menuntut kekuatan mental untuk memastikan keberkesanan P&P kerana tekanan emosi akibat daripada perintah kawalan pergerakan (PKP), kehilangan insan tersayang dan sebagainya.

Penggunaan teknologi dan PnP atas talian tidaklah begitu asing bagi sistem pendidikan di Malaysia. Banyak institusi pengajian tinggi telah lama menawarkan program pembelajaran jarak jauh. Sistem pendidikan di Malaysia bukan tidak bersedia untuk melalui keadaan P&P secara atas talian tetapi banyak aspek lain yang perlu dilihat contohnya kemampuan ibubapa, kesediaan anak-anak serta kesediaan para pengajar itu sendiri. Komitmen serta sokongan ibubapa terutamanya bagi pelajar sekolah rendah amat penting bagi menjayakan PdPR.

Tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan PdPR telah mewujudkan keciciran pelajar dalam sistem pendidikan meliputi pelbagai tahap dari prasekolah dengan cabaran kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sekolah rendah dan menengah sehingga ke peringkat universiti. Kaji selidik yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan bahawa seramai 1.85 juta atau 37 peratus daripada lima juta pelajar di seluruh Malaysia tidak mempunyai sebarang peranti. Keadaan boleh menjadi lebih buruk apabila ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, terputus pendapatan dan kehilangan tempat tinggal akibat pandemik ini.

Terdapat pelbagai usaha bagi membantu golongan pelajar yang tercicir. Pihak kerajaan dan swasta memberikan peranti dan data internet kepada mereka yang tidak berkemampuan di samping usaha kerajaan meningkatkan capaian internet di semua kawasan. Kementerian pendidikan pula menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid supaya tidak bergantung semata-mata kepada PnP atas talian. Pihak kementerian turut menjajarkan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah (KSSR dan KSSM) untuk disesuaikan dengan situasi pembelajaran tidak menentu disebabkan PKP dan perintah kawalan bersasar lain.

Bagaimanapun, aspek sentuhan manusiawi atau ‘human touch’ daripada guru dan ibubapa perlu ditekankan dalam PdPR kerana pendidikan bertujuan untuk memanusiakan atau menginsankan manusia itu sendiri. Para guru bukan sekadar menyampaikan bahan bagi menghabiskan silibus tetapi perlu bertanya khabar, mengambil berat, membina hubungan, ‘engage and connect’ dengan pelajar. Selain itu, penerapan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan jangan diabaikan. Pihak kementerian juga perlu lebih bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan mempunyai pelbagai alternatif atau pelan yang boleh mengurangkan risiko keciciran pelajar.

Pandemik Covid-19 yang telah memaksa pelaksanaan PdPR mendedahkan jurang atau kelemahan dalam sistem pendidikan yang berlaku akibat kepincangan dalam agenda pembangunan negara. Misalnya, masih banyak kawasan luar bandar yang tidak memiliki liputan internet malah penduduk bandar juga mengalami masalah sambungan internet. Di samping itu, fokus pada penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi bagi menjadi tenaga buruh berkualiti dalam mengejar status negara maju berpendapatan tinggi telah mengabaikan aspek kerohanian dan insaniah. Isu ‘burnout’ dan statistik bunuh diri sewaktu pandemik ini memberi isyarat supaya agenda pembangunan negara secara amnya dan sistem pendidikan secara khususnya memberikan perhatian kepada aspek pembangunan rohani dan kesejahteraan mental bagi melahirkan generasi yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Sekiranya semua pihak bekerjasama dan saling melengkapi, tidak mustahil generasi yang lebih kuat akan lahir setelah menempuhi pelbagai cabaran dalam pandemik ini. Situasi yang mencabar ini melatih kita menjadi lebih berdaya tahan dan cepat beradaptasi seterusnya membina peribadi yang lebih utuh. Penambahbaikan dalam sistem pendidikan serta komitmen ibubapa dapat terus membina generasi yang lebih baik. Keciciran yang berlaku tidak melibatkan semua pelajar tetapi masih ada ramai pelajar yang sedang gigih berusaha walaupun dihimpit pelbagai kesulitan untuk menjadi lebih baik dan mengatasi segala cabaran yang sedang dihadapi. Mungkin dari sini lahirnya  sebuah generasi yang hebat di masa hadapan.

Dr Sarifah Nurhanum Syed Sahuri

Pensyarah Psikologi Pendidikan & Penyelaras Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Maybank Lancar dana ekuiti fokus kepada China, beri akses pelabur tempatan labur Dalam Pasaran China

Next Post

Anak Syarikat Pemprosesan Makanan Dapat Kontrak RM10 Juta dari Axiata

Related Posts
Skip to content