Seringkali negara-negara Barat dijadikan contoh apabila krisis-krisis besar melanda dunia. Sama ada dari segi kewangan, kesihatan, mahupun bencana alam kerana masyarakat dunia meletakkan satu jangkaan yang tinggi kepada mereka atas sebab kapasiti kemudahan teknologi mereka yang tinggi dan sumber kewangan yang kukuh.
Ditambah lagi di dalam dunia mutakhir ini yang menggunakan kayu ukur materialistik, maka tidak hairanlah bahawa jangkaan sebegini juga dikemukakan oleh badan-badan terkemuka antarabangsa.
Indeks Keselamatan Kesihatan Global misalnya meletakkan skor yang tinggi bagi negara-negara Eropah dan Barat secara umumnya untuk tahap kesediaan mereka dalam menghadapi pandemik dan endemik. Pemarkahan ini dibuat dengan menilai pelbagai indikator-indikator dan selepas dibuat soal-selidik.
Menurut indeks ini, Amerika Syarikat (AS) adalah yang paling bersedia dalam menghadapi pandemik dan endemik. Manakala negara Asia yang menduduki tempat tertinggi didalam Indeks ini adalah pada kedudukan yang keenam, iaitu negara Thailand. Manakala kedudukan tertinggi yang diduduki oleh negara di dalam benua Afrika pula adalah pada kedudukan yang ke-34, iaitu Afrika Selatan.
Walaubagaimanapun, haruslah diingat bahawa penilaian yang dibuat ini hanyalah sebuah bentuk persangkaan sahaja (walaupun persangkaan intelektual), dan tidak semestinya dapat menggambarkan situasi yang akan terjadi, sekiranya endemik atau pandemik tersebut betul-betul berlaku.
Hal ini kerana interaksi manusia yang kompleks, diikuti dengan corak pemikiran yang berbeza, dicampur pula dengan sikap pemimpin-pemimpin dan juga sistem politik yang pelbagai akhirnya mungkin boleh mempengaruhi tindakan-tindakan yang dibuat apabila berlakunya krisis ini.
Di negara-negara Eropah, secara umumnya kebebasan individu merupakan teras perjuangan masyarakat di sana dan juga merupakan satu alat yang sangat berkesan untuk meraih sokongan politik.
Ringkasnya, menurut prinsip perjuangan mereka, kebebasan individu tidak patut dikacau selagi mana ia tidak mengganggu hak orang lain. Ini bermakna pemimpin-pemimpin mereka, organisasi-organisasi, pertubuhan-pertubuhan mahupun badan-badan kerajaan tidak sepatutnya mengekang kemahuan mereka, selagi mana ia tidak mengganggu individu lain.
Ini sudah tentu hanyalah sebuah ideologi idealistik yang sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh di alam nyata. Ideologi sebegini sudah berakar lama dalam masyarakat Barat sehingga ia telah sebati dengan budaya dan sistem hidup mereka.
Maka tidak hairanlah apabila krisis pandemik COVID-19 muncul, kebanyakan pemimpin-pemimpin di Barat ini teragak-teragak untuk melaksanakan PKP. Hal ini kerana perintah sebegini amatlah bertentangan dengan prinsip kebebasan individu yang mereka perjuangkan.
Disebabkan itulah, antara topik perbincangan yang banyak timbul dalam kalangan media Barat setelah sesetengah negara mula menguatkuasakan perintah kawalan berkurung atau kawalan pergerakan adalah perbincangan etika terhadap perintah sedemikian dan adakah perintah-perintah ini merupakan satu keperluan.
Di Itali, sebagai contoh, pada fasa awal jangkitan Coronavirus yang tertumpu di daerah Lombardy, pemimpin mereka pada ketika itu teragak-agak untuk menguatkuasakan perintah berkurung. Walaupun telah jelas ancaman malapetaka pandemik ini, seperti yang ditekankan oleh pakar-pakar kesihatan dan seperti apa yang boleh dilihat di China dan Iran pada ketika itu.
Kebanyakan pandangan yang menekankan bahaya ancaman ini seringkali dianggap sebagai satu tindak balas berlebihan dan kemudiannya diendahkan. Walaupun akhirnya sekatan pergerakan dijalankan juga di Itali, namun pemimpin disana masih lagi teragak-agak untuk melakukannya secara menyeluruh di seluruh negara.
Malahan perjalanan rentas negeri masih lagi dibenarkan dan cuma di sesetengah daerah sahaja PKP dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Perintah ini, di campur lagi dengan semangat individualis mereka, kemudiannya menyebabkan pembelian panik di daerah-daerah lain dan merancakkan lagi pergerakan rakyat Itali untuk lari keluar daripada kawasan berisiko, lalu meninggikan lagi kebarangkalian penularan Covid-19.
Akhirnya, setelah keadaan menjadi terlalu teruk, barulah mereka melaksanakan perintah kawalan yang ketat. Namun pada waktu itu ia sudah terlambat dan Itali sekarang adalah antara yang tertinggi kadar kematiannya.
Selain itu, faktor politik juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam menentukan reaksi mereka apabila berlakunya COVID-19 ini.
Di dalam sebuah negara demokrasi, modus operandi populis adalah antara cara yang berkesan untuk meraih sokongan, di mana pemimpin meletakkan diri mereka seperti seorang `penjual gula-gula´ yang tunduk kepada kemahuan rakyatnya. Dan bukannya seperti seorang `doktor´ yang menyediakan penyelesaian kepada masalah walaupun ia datang dengan ubat yang pahit.
Ini meletakkan pemegang tampuk pemerintahan pada satu posisi yang rumit. Hal ini kerana apabila mereka melakukan langkah pencegahan awal yang tegas, seringkali ia akan digunakan oleh pihak pembangkang untuk meraih sokongan penduduk dengan meremehkan reaksi tersebut dan menggunakan argumen kebebasan individu.
Dan jikalau andainya langkah pencegahan awal yang ketat itu berjaya mengekang penyebaran wabak ini, pihak lawan masih juga boleh menaikkan naratif bahawa pihak pimpinan negara telah bertindak balas secara berlebihan dan bahawa wabak ini tidaklah sebahaya seperti mana yang dicanangkan.
Gerakan populis ini dapat dilihat melalui tindakan Boris Johnson yang dengan yakin dan bangganya mengatakan bahawa beliau bersalaman dengan semua orang termasuk dengan pesakit COVID-19 di hospital. Beberapa minggu kemudian beliau disahkan dijangkiti penyakit itu.
Begitu juga di Amerika Syarikat (AS), di mana perintah berkurung ini kebanyakannya dikuatkuasakan oleh pimpinan di peringkat negeri atau bandar. Ini seterusnya merancakkan lagi perseteruan antara dua blok parti terbesar disana iaitu parti Demokratik dan Republikan kerana tindakan mereka seringkali dibandingkan walaupun demografi negeri-negeri dan bandar-bandar di sana ada kalanya sangat berlainan antara satu sama lain.
Perseteruan ini mencapai kemuncaknya apabila telah berlaku beberapa siri acara demonstrasi di bandar-bandar yang menentang perintah kawalan ini. Kesempatan ini digunakan oleh parti-parti ini untuk meraih sokongan sasaran dan memperkuatkan lagi sokongan yang sedia ada.
Donald Trump, Presiden AS sebagai contoh menyatakan sokongan beliau terhadap usaha-usaha protes di Michigan, Minnesota dan Virginia melalui ciapan beliau di Twitter. Maka akhirnya, pada hujung April 2020, beberapa kawasan telah mula mengeluarkan kenyataan untuk melonggarkan kembali PKP di sana, bersesuaian dengan apa yang didesak oleh rakyat mereka.
Konklusinya, ideologi liberalisme yang telah berakar umbi dalam masyarakat Barat akhirnya telah mengehadkan kesanggupan pemimpin-pemimpin di sana untuk melaksanakan perintah kawalan yang tegas dan ketat. Secara umumnya PKP di negara-negara Barat adalah jauh lebih ringan daripada yang telah dilaksanakan di Malaysia.
Malahan, pada hujung April 2020, selain AS, beberapa negara Eropah seperti Jerman, Finland dan Denmark juga telah mengumumkan rancangan untuk melonggarkan lagi PKP mereka. Selain itu, sikap individualis yang timbul daripada ideologi ini juga telah menjadikan mereka seorang yang tidak sanggup untuk mengorbankan kebebasan pergerakan, kewangan ataupun kehidupan sosial mereka untuk kebaikan umum.
Lebih teruk lagi, ia juga menyebabkan mereka mula menolak autoriti-autoriti yang sahih dan lebih mempercayai pernyataan-pernyataan yang bersesuaian dengan persangkaan mereka seperti pemimpin-pemimpin ataupun tokoh-tokoh pujaan mereka seperti Donald Trump yang menyokong demonstrasi bantahan PKP dan Elon Musk yang meremehkan ancaman Koronavirus ini.
Akhirnya, segala kemajuan teknologi dan kemudahan kesihatan mereka hanyalah satu faktor kecil yang menentukan kejayaan mereka dalam menghadapi krisis pandemik ini dan sikap mereka mungkin menjadi punca utama kegagalan mereka mengharungi krisis ini dengan baik.
*Hasif Zainal adalah kolumnis Fokus dan merupakan pelajar kejuruteraan Mekanikal semester 6 di University of Applied Science Bremen, Jerman.
Sumber:
- https://www.businessinsider.my/trump-tweets-to-liberate-michigan-minnesota-as-protesters-violate-orders-2020-4?r=US&IR=T
- https://www.ghsindex.org/
- https://hbr.org/2020/03/lessons-from-italys-response-to-coronavirus
- https://www.aljazeera.com/news/2020/04/trump-ease-lockdown-coronavirus-cases-passed-peak-200416090436573.html
- https://www.straitstimes.com/world/united-states/us-to-ease-lockdown-after-virus-passes-peak