Apa Yang Berlaku Di Pejabat Tanah Jajahan, sebelum Malayan Union Dicadangkan?

Setiausaha Negara untuk Tanah Jajahan British bersama Bakal Perdana Menteri British ketika itu, Winston Churchill bergambar dengan Lawrence of Arabia dan anggota Suruhanjaya Mesopotamia pada persidangan Kaherah. Kaherah, Mac 1921 (Foto oleh Mondadori melalui Getty Images

Bangsa Malayan Union merupakan satu projek ciptaan British dalam membentuk satu rumpun bangsa baharu di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Projek negara bangsa ini berhasrat untuk mewujudkan rasa persefahaman antara orang Melayu dengan bukan Melayu untuk berada di bawah satu rumpun bangsa baharu, iaitu Bangsa Malayan.

Sepanjang Perang Dunia ke-2, Louis Mountbatten telah mendesak Kabinet Perang British untuk mengumumkan lebih awal perancangan kerajaan British terhadap masa hadapan Tanah Melayu. Beliau telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kabinet Perang British, iaitu;

  1. Apabila kerajaan British menguasai semula Tanah Melayu, ini adalah peluang terbaik untuk membentuk dasar yang lebih tegas dan rasional,
  2. Keseluruhan Tanah Melayu perlu diletakkan dibawah satu unit pentadbiran bersekutu dengan nama seperti “Union of Malaya”,
  3. Pemberian sebarang bentuk hak istimewa tidak boleh diperuntukkan kepada satu kaum sahaja, kerana boleh menyebabkan berlakunya permusuhan antara kaum,
  4. Penting untuk orang Cina dan India diasimilasikan secara sah dan perlu mempunyai tanggungjawab tempatan dan bukannya menjadi sekumpulan peneroka atau sumber bekalan buruh yang murah.
World War II, Mr Oliver Stanley , Secretary of State for War,... News Photo  - Getty Images
Oliver Stanley, Setiausaha Negara untuk Tanah Jajahan British (Gambar: Getty Images)

Berdasarkan idea-idea tersebut, Oliver Stanley, Setiausaha Negara untuk Tanah Jajahan mengakui bahawa idea tersebut mempunyai banyak persamaan dengan idea yang digubal oleh pejabat tersebut. Di samping itu, idea ini sangat signifikan dalam pembentukan dasar British terhadap masyarakat Cina yang diwakili Parti Komunis Malaya dan Kuomintang yang berusaha membantu British menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Justeru, ini akhirnya membawa kepada satu kompromi kerajaan British yang akan membenarkan orang Cina layak menjadi warganegara sah di Tanah Melayu sebagai hadiah dan tindakan Pejabat Tanah Jajahan ini seolah-olah lebih kepada pro-Cina (Mohd Ashraf Ibrahim, 2004).

Polis British dan Tanah Melayu bercakap dengan orang awam Cina yang mungkin mempunyai maklumat mengenai kegiatan komunis di kawasan mereka, c. 1949

Pelbagai perbincangan demi perbincangan, akhirnya Pejabat Tanah Jajahan telah memikirkan satu perancangan strategik kedudukan Tanah Melayu pada masa hadapan. Seawal bulan Jun 1942, satu perundingan telah diadakan antara Pejabat Luar dan Pejabat Tanah Jajahan (Smith, 1988). Lord Hailey, seorang tokoh kolonial British telah mengesyorkan kerajaan British menguasai sistem perundangan di negeri-negeri Melayu.

Dengan menguasai sistem perundangan, kerajaan British berpeluang untuk mentafsirkan ruang litup sebenar kuasa raja-raja Melayu dan membataskan kuasa kepada upacara adat istiadat Melayu dan agama Islam sahaja. Idea Hailey ini telah mempengaruhi dasar Pejabat Tanah Jajahan dan dianggap sebagai sumbangan yang paling bernilai bagi kerajaan British (Mohd Ashraf Ibrahim, 2004).

Oleh itu, kerajaan British melalui Pejabat Perang telah membentuk Unit Perancang Tanah Melayu yang dipimpin oleh Jeneral Major R. Hone, McKerron, William, Newboult, Day dan Hay pada bulan Julai 1943. Terdapat juga pegawai yang diundang secara khusus untuk turut serta seperti Purcell untuk masyarakat Cina. Hone begitu cenderung menjadikan Tanah Melayu sebagai kesatuan yang rapat berbanding persekutuan yang bersifat longgar. Hone menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menghidupkan persekutuan akan diberikan asas politik yang kuat untuk raja mempunyai kawalan ke atas urusan mereka.

Tegasnya lagi, kewajaran untuk membentuk kerajaan persekutuan di Tanah Melayu tidak wujud kerana negeri-negeri Melayu tidak mempunyai perbezaan tempatan yang kukuh dan secara praktikalnya semua masalah adalah sama di Tanah Melayu. Ketegasan Hone ini mendapat sokongan dan pada Julai 1943, Bahagian Kawasan Timur Pejabat Tanah Jajahan di London telah mengesahkan rancangannya untuk menubuhkan Malayan Union. Pejabat Tanah Jajahan juga bersetuju dengan cadangan Hone untuk menubuhkan Dewan Raja yang tiada fungsi eksekutif dan perundangan dalam kerajaan. Perbincangan berlangsung sehingga Disember 1943 apabila Jabatan Kawasan Timur, Pejabat Tanah Jajahan telah menghantar satu draf Kertas Kabinet kepada Oliver Stanley (Stockwell, 1995).

Pada 6 Januari 1944, Jawatankuasa Kementerian Kabinet telah menerima draf kedua daripada Stanley untuk dikaji. Dalam tempoh seminggu, satu memorandum rahsia mengenai “dasar perlembagaan masa hadapan untuk wilayah tanah jajahan British di Asia Tenggara” dan arahan untuk Tanah Melayu telah diedarkan kepada ahli Jawatankuasa Kementerian Kabinet. Antaranya inti pati penting dalam memorandum tersebut menyentuh soal keperluan untuk mewujudkan pentadbiran yang baharu, kepentingan orang bukan Melayu dalam pembangunan ekonomi, dan penekanan tentang kepentingan untuk mewujudkan dasar bangsa Malayan di Tanah Melayu.

Tahap seterusnya antara 22 Mac hingga pertengahan bulan Mei 1944 telah diserahkan ke Jawatankuasa Kementerian Perang, tetapi tiada perubahan besar daripada cadangan yang pernah dikemukakan oleh Jabatan Kawasan Timur, Pejabat Tanah Jajahan, dan akhirnya pada 31 Mei 1944, Kabinet Perang telah meluluskan konsep Malayan Union.

Pada tarikh tersebut, Kabinet Perang telah membuat kesimpulan bahawa perkembangan demokratik dan kecekapan telah menuntut sesuatu perubahan dalam perlembagaan sebelum perang dan sistem perundangannya. Pada masa yang sama juga kerangka untuk Malayan Union telah dibentuk dan negara yang bakal dibentuk adalah negara kesatuan. Maka, sebarang tuntutan orang bukan Melayu akan diiktiraf dan dilayan (Stockwell, 1984).

Sir Theodore Adams, bekas Residen yang pro-Melayu telah berusaha memujuk Sir Edward Gent pada bulan Julai 1944 agar dasar pro-Melayu diteruskan dan rancangan ini tidak dijalankan, namun ia tidak dilayan. Pada bulan Oktober 1945, cadangan Malayan Union telah diumumkan di Parlimen British dan pada 27 Januari 1946, Kertas Putih untuk Malayan Union telah diterbitkan serentak dengan pengenalan rang undang-undang Negeri Selat (Penamatan) yang diperlukan sebagai persiapan untuk menyediakan perlembagaan Tanah Melayu yang baharu (Stockwell, 1995).

Irfan Izhar
Kolumnis Fokus dan Penyelidik IRIS Institute

RUJUKAN

Mohd Ashraf Ibrahim. 2004. Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu 1945-1957. Bangi: Penerbit UKM.

Smith. R.B. Some Contrast Between Burma and Malay in British Policy Towards Southeast Asia 1942-1946. Perspective. Vol. 35 (5). 1988. pp: 48-59.

Stockwell. A.J. 1948. “British Imperial Policy and Decolonization in Malaya 1942-1952.” The Journal of Imperial and Commonwealth History. Vol. 6(1) pp: 62-88.

Stockwell A.J. 1995. British Documents on the End of Empire. Series B Vol. 3. Malaya: Part 1, The Malayan Union Experiment 1942-1948. London: Institute of Commonwealth Studies. University of London.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

China Main peranan utama dalam pembangunan semula Afghanistan- Jurucakap Taliban

Next Post

Mitos Tanah Melayu Tidak Dijajah

Related Posts
Skip to content