Selain sebagai makanan dan alat sosial, ketupat dijadikan lambang-makna seperti:
Pertama: Lambang selesainya Rukun Islam yang ke-4 (zakat fitrah dalam lingkungan puasa). Ia ditandai pada 4 bucu ketupat.
Bagi sebahagian masyarakat Jawa, rai Kupatan diadakan pada 8 Syawal sebagai lambang selesai empat perkara – berpuasa dalam Ramadan, berzakat fitrah, solat sunat Aidilfitri dan berpuasa enam hari.
Kedua: Satu ungkapan Jawa lama, ‘Sedulur Papat Limo Pancer’ (Saudara berempat, lima yang tengah) turut dijadikan lambang pada 4 penjuru ketupat. ‘Saudara berempat’ itu ialah arah mata angin – utara, selatan, timur dan barat – sebagai lambang alam kabir (makrokosmos – alam semesta).
Manakala yang tengah ialah lambang alam saghir (mikrokosmos – alam diri).
Ketiga: Alam yang berdua ini punyai hubung kait yang akrab. Pada alam kabir, dilambangkan juga empat penjuru ketupat sebagai unsur api, air, angin dan tanah. Unsur-unsur ini menjadi saripati batang tubuh manusia (tanah menjadi daging, api menjadi darah dll).
Dan pada alam saghir, unsur-unsur ini dipercayai menjadi sifat asas empat persinggahan nafsu – amarah (api), lawwamah (angin), mulhamah (air) dan mutmainnah (tanah).
Keempat: Daun kelapa yang dianyam itu juga dipanggil janur, yakni daun kelapa yang masih muda. Ada yang menghubungkannya dengan kata Arab جَاء النور (Ja’a Nur) yang bermaksud ‘telah datang cahaya’. Satu lagi, ungkapan Jawa menyebut ‘jatining nur’ iaitu ‘cahaya sejati’.
Sarung ketupat dari janur itu dilambangkan sebagai ‘hati nurani’ (hati yang disirami cahaya). Beras (lambang subur, mewah, makmur) yang amat terkait dengan ‘nafsu’.
Maka pada ketupat itu dilambangkan sebagai ‘hati nurani yang membungkus nafsu-jiwa agar kembali pada keadaan diri asali yang tenang, redha dan terpuji, yang disebut ‘FITRAH’.
Perlu difahami bahawa perlambangan yang diberi ini bukanlah hakikat ketupat itu yang berfungsi membersih diri, sebaliknya ia sebagai ingatan (remembrance).
Satu lagi yang terkenal ialah, ketupat sebagai tanda insaf-maaf, iaitu ‘ngaku lepat’ ertinya mengaku kesalahan (ketupat juga disebut sebagai ‘kupat)’.
Oleh:
Tn Hamdi Hanapi
___________
Rujukan:
1. Abdul Qodir, 1994. Upacara Kupatan. Surabaya: Universitas Islam Negeri Sunan Ampel.
2. Angelina Rianti et. al. 2018. Ketupat as traditional food of Indonesian culture. Journal of Ethnic Foods 5: p4-9.
3. Eko Nur Wibowo. 2016. Ketupat dan Hidangan Pertaubatan. Institut Agama Islam Surakarta (http://www.iain-surakarta.ac.id/?p=5076)
4. I Made Karda, 2003. Filsafat Dan Simbolisme Ketupat Sebuah Kajian Estetik. Bali: Institut Seni Indonesia Denpasar