ESSCOM dan Peristiwa Lahad Datu

ESSCOM

Februari 2016 ini adalah 3 tahun selepas berlakunya peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Segalanya bermula pada 11 Februari 2013 bila mana hampir 235 individu yang sebahagiannya lengkap bersenjata menceroboh masuk ke Kampung Tanduo, Lahad Datu. Gerombolan dari Selatan Filipina tersebut yang merupakan pengikut kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, iaitu Sultan Jamalul Kiram III, telah kemudiannya disertai oleh kumpulan yang diketuai oleh Agbimuddin Kiram, iaitu adik kepada Jamalul Kiram III. Motif pencerobohan mereka adalah berkait rapat dengan tuntutan mereka ke atas wilayah-wilayah yang terletak di Borneo Utara. Dalam tempoh sebulan, Pantai Timur Sabah telah menjadi medan pertempuran yang menyaksikan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Rentetan daripada operasi Daulat (OPS Daulat) yang dilancarkan hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia, pencerobohan tersebut telah berjaya ditumpaskan. Meskipun nisbah kematian anggota pasukan keselamatan Malaysia hampir 1:7 berbanding pihak musuh, namun pemergian 10 orang wira negara yang gugur sepanjang pertempuran berkenaan tetap menghadirkan kesan yang mendalam ke atas memori warga Malaysia. Maka, keberkesanan kesepaduan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dalam menangani peristiwa tersebut telah membawa kepada penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tanggal Mac 2013.

ESSCOM telah diamanahkan tanggungjawab untuk mengawasi keselamatan sepuluh daerah yang membentuk Pantai Timur Sabah – Lahad Datu, Kudat, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Kota Marudu, Pitas, Tawau, dan Semporna. Kawasan seluas 1400 km ini dikenali sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). ESSCOM berperanan mengkoordinasi tugas-tugas PDRM, ATM, dan juga APMM di bawah peruntukan Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013. Hampir kebetulan, Februari juga merupakan bulan ulang tahun penubuhan APMM yang mula beroperasi di bawah Akta APMM (Akta 633) 15 Februari 2005. Di bawah cogan kata ‘Mengawal, Melindung, Menyelamat’, APMM yang turut dikenali sebagai Pengawal Pantai Malaysia ini berupaya untuk menyumbang secara signifikan buat ESSCOM.

Hal ini demikian kerana berbeza dengan skop operasi pengawal pantai negara-negara lain, APMM bukan sahaja berautoriti untuk menjalankan rondaan 24 jam pemantauan pesisir pantai serta sempadan antarabangsa, ia juga memiliki bidang kuasa untuk melaksanakan pendakwaan ke atas mana-mana anasir yang menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara. Di samping ATM dan PDRM, gerak kerja APMM dalam ESSCOM diselaraskan oleh Komander ESSCOM yang kini dijawat oleh Datuk Abdul Rashid Harun. Beribu pejabat di Lahad Datu, ESSCOM yang kini hampir memasuki tahun ketiga penubuhannya telah mengatur pelbagai strategi untuk mempertahankan keselamatan ESSZONE. Namun demikian, ia turut tidak sunyi dari diuji pelbagai cabaran yang melibatkan pelbagai aktor, bukan sahaja aktiviti pencerobohan pendatang asing tanpa izin, ancaman lanun, penyeludupan, serta penculikan bersenjata.

Maka, tidaklah menghairankan apabila ESSCOM mencadangkan 11 pulau dan sebuah terumbu yang melibatkan kawasan seluas 146.16 batu nautika persegi untuk dijadikan sebagai kawasan larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan tempat Larangan 1959. Usul ESSCOM ini dinilai strategik dalam membendung penerobosan anasir luar yang berpotensi untuk menyusup masuk menerusi lokasi-lokasi yang kurang atau tiada berpopulasi. Kesignifikanan ESSCOM secara keseluruhannya juga wajar untuk dibaca dari perspektif percaturan geopolitik yang lebih luas. Hal ini boleh difahami secara implisit daripada cadangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada Februari 2014 agar ESSCOM diperluaskan hingga ke Sarawak. Langkah peluasan ini bakal menjamin pengawasan yang lebih efisien ke atas laluan Laut Sulu, sekali gus melonjakkan kadar jarak pencegahan penerobosan asing dari Selatan Filipina.

Malah, hasil inisiatif Menteri Pertahanan yang disokong oleh syarikat Petronas dan Sapura Kencana, dua pengkalan laut hadapan telah mula beroperasi sejak Mei 2015. Kedua-dua pangkalan tersebut ialah Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang beroperasi di perairan Semporna, dan juga Pangkalan Laut Tun Azizan. Konsep pangkalan laut di Pantai Timur Sabah ini bahkan merupakan konsep pendekatan pertama yang seumpanya di dunia, di mana tugasnya adalah sebagai pencegah rintang untuk membanteras pencerobohan, pengumpul maklumat risikan taktikal serta komuniti maritim, pangkalan operasi hadapan, dan juga sebagai pusat operasi hadapan.

Sinergi kerjasama pelbagai agensi keselamatan yang berbeza sememangnya diakui masih perlu untuk diperkasakan. Dalam masa yang sama, segala inisiatif yang berobjektifkan menjaga kepentingan keselamatan dan kedaulatan wilayah negara juga perlu untuk mengambil kira kepentingan ekonomi dan perdagangan yang merupakan nadi pendapatan negara. Buat perwira ESSCOM, jasa pengorbanan anda tetap disanjungi.

Oleh:

Abdul Muein Abadi

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Arab Saudi dan Rusia setuju beku pengeluaran minyak

Next Post

The Game Changer for Islamic Banking

Related Posts
Skip to content