Dikemaskini: 12 Julai 2019
Antara tahun 1992 dan 1995, lebih daripada 100,000 orang awam Bosnia yang tidak berdosa kehilangan nyawa mereka. Di bandar Srebrenica pula, hampir 8000 orang Islam telah dibunuh di antara 11 dan 13 Julai pada tahun 1995.
Ya, Srebrenica adalah ‘Safe Area’ yang dilindungi PBB. Terdapat pasukan pengaman Belanda yang ditempatkan di wilayah itu dan tugas mereka adalah untuk melindungi pelarian di dalam dan sekitar Srebrenica. Namun begitu, pasukan pengaman gagal memainkan peranan mereka. Pembunuhan beramai-ramai ini, tidak dapat dinafikan merupakan antara peristiwa yang paling teruk yang pernah disaksikan oleh Eropah selepas Perang Dunia Kedua, yang telah dilakukan oleh tangan-tangan pengganas Serbia yang diketuai oleh si laknat Jeneral Ratko Mladic.
Mangsa-mangsa telah ditembak dan dibuang ke dalam kubur besar, menjadikan proses mengenalpasti mangsa yang dibunuh sangat sukar. Setakat ini, International Commission on Missing Persons (ICMP) hanya berjaya mengenal pasti hampir 6500 mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica. Selebihnya kekal ‘tidak dikenali’.
Pasukan pengaman Belanda begitu gagal untuk menjalankan tugas dan peranannya. Malah, melihatkan petikan kata-kata Jeneral John Sheehan, Komander Agung NATO:
“The case in point that I’m referring to is when the Dutch were required to defend Srebrenica against the Serbs. The battalion was under-strength, poorly led, and the Serbs came into town, handcuffed the soldiers to the telephone poles, marched the Muslims off, and executed them. That was the largest massacre in Europe since World War Two.”
Tiada rusuhan di Srebrenica. Tidak juga wujud konflik antara dua pihak. Ia adalah pembunuhan beramai-ramai semata, seperti yang disebut International Criminal Tribunal for Former Yugoslavia dan International Court of Justice :
“By seeking to eliminate a part of the Bosnian Muslims, the Bosnian Serb forces committed genocide. They targeted for extinction the 40,000 Bosnian Muslims living in Srebrenica, a group which was emblematic of the Bosnian Muslims in general. The Appeals Chamber states unequivocally that the law condemns, in appropriate terms, the deep and lasting injury inflicted, and calls the massacre at Srebrenica by its proper name: genocide. Those responsible will bear this stigma, and it will serve as a warning to those who may in future contemplate the commission of such a heinous act.”
Ringkasan Tragedi Pembunuhan
Strategi Serbia membunuh secara selektif mengikut gender iaitu golongan lelaki adalah kekejaman sistematik yang paling teruk pernah tercatat dalam sejarah dunia. Secara umum, tragedi sedih ini adalah jenayah genocide terhadap Muslim Bosnia, dan secara khusus jenayah gendercide terhadap lelaki Muslim Bosnia.
Tragedi ini berlaku di sebuah bandar-perlombongan perak Bosnia terletak di Srebrenica pada Julai 1995, salah satu tindakan gendercide moden paling dahsyat yang pernah berlaku. Walaupun di bawah ‘pemantauan’ masyarakat antarabangsa dan pasukan pengaman PBB, namun tentera Serbia tetap boleh memisahkan golongan lelaki dari wanita dan membunuh beribu-ribu orang secara beramai-ramai, atau memburu mereka sehingga ke dalam hutan.
Seperti mana kejahatan yang sering dilakukan oleh satu-satu bangsa pelampau terhadap satu-satu bangsa yang ditindas termasuklah kemusnahan bandar-bandar dan rogol wanita beramai-ramai, tentera Serbia lebih menumpukan perhatian mereka secara sistematik kepada golongan lelaki “battle-age” iaitu umur antara 18-55 tahun. Sebagaimana yang diperincikan oleh Perdana Menteri Serbia, Hasan Muratovic, lelaki Bosnia ditangkap di mana sahaja mereka berada, kemudian mereka akan dibunuh terus atau ditahan di suatu tempat.
Berikut merupakan ringkasan modus operandi tentera Serbia:
1. Concentration – Mengelilingi kawasan yang akan ‘dibersihkan’ dan selepas memberi amaran kepada penduduk – kerap mereka digesa untuk meninggalkan rumah atau sekurang-kurangnya menandakan rumah-rumah penduduk dengan bendera putih – menakut-nakutkan penduduk dengan tembakan meriam dan sewenang-wenangnya membunuh dan mengheret mereka keluar ke jalan-jalan.
2. Decapitation – Membunuh dan menyingkir pemimpin politik dan mereka yang mampu mengisi kerusi kepimpinan seperti peguam, hakim, pegawai-pegawai awam, penulis, atau ahli akademik.
3. Separation – Mengasingkan wanita, kanak-kanak, dan orang tua dari lelaki lingkungan ‘battle-age’ iaitu antara 16-60 tahun.
4. Evacuation – Mengangkut wanita, kanak-kanak, dan orang tua ke sempadan, membuang mereka ke wilayah atau negara jiran.
5. Liquidation – Membunuh lelaki lingkungan ‘battle-age’, dan melupuskan mayat-mayat mereka.
Dalang di sebalik jenayah pembunuhan
Kedua-dua dalang utama penghapusan bangsa Srebrenica yang masih dalam perbicaraan di The Hague adalah; bekas Presiden Republika Srpska, Radovan Karadzic, dan Ketua Tentera Republika Srpska, Ratko Mladic.
Sepanjang perbicaraan, Kolonel Luka Dragicevic yang turut terlibat dalam jenayah ini ada menyebut dalam keterangannya bahawa dia tidak menyesal langsung dengan jenayah yang dilakukannya pada 1995. Dia berasa bahawa “orang Serbia secara genetik lebih kuat, lebih baik, lebih indah dan lebih bijak” berbanding orang Bosnia.
Sikap perkauman yang melampau itu hanyalah sebahagian kecil daripada kebencian yang mendalam terhadap bangsa Muslim Bosnia. Anak perempuan Karadzic, Sonja Karadzic-Jovicevic, baru-baru ini mengumumkan bahawa dia akan menyertai pilihan raya parlimen Republika Srpska akan datang pada bulan Oktober tahun ini. Beliau secara terbuka menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, mempersoalkan kuasa Mahkamah Antarabangsa di The Hague, dan ingin mengembangkan ideologi mazhab.
Tambahan pula, Republika Srpska telah memperuntukkan lebih daripada $1 juta dari bajet kerajaan kepada sebuah NGO yang dimiliki dan dikendalikan oleh seorang peguam Serbia bernama Stephen Karganovic yang bercadang untuk membentangkan suatu kenyataan interpretasi berat sebelah dan palsu berkenaan pembunuhan beramai-ramai Srebrenica.
Kesimpulan
Sudah 20 tahun berlalu, namun parut tragedi masih segar. Kerajaan Serbia bercita-cita untuk menyertai EU. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa agenda mereka dalam ‘sikap acuh tak acuh’ terhadap kejahatan semalam bukanlah jalan yang betul.
Rakyat di Republika Srpska perlu sedar bahawa pemimpin mereka – sama ada sebelumnya Presiden Radovan Karadzic, anak perempuannya Sonja Karadzic-Jovicevic, atau Presiden Bosnia sekarang Milorad Dodik – perlu disingkirkan. Nasionalisme boleh diterima, tetapi sikap ultra-nationalisme hanyalah sia-sia dan tidak berguna.
Di sisi lain, rakyat Bosnia, mengalami trauma sakit peperangan dan menjadi saksi jenayah pembunuhan beramai-ramai ke atas saudara-mara mereka, ditambah sedang mengalami krisis penafian kewujudan bangsa mereka di tanah air sendiri. Tiada keganasan tidak bermakna tiada lagi rasa takut. Selepas semua siri kekejaman itu, rakyat Bosnia perlu sedar bahawa perjuangan mereka untuk keadilan masih belum berakhir. Mereka perlu mencari kekuatan untuk memiliki masa depan yang gemilang di tanah air sendiri. Bukan sahaja bagi orang-orang Bosnia, bahkan orang Islam secara keseluruhannya yang bersyahadah dengan kalimah yang sama!
Oleh:
Farris Hanafi
Rujukan : Politicalperiscope, Gendercide [1][2], Foreign Policy