Kebergantungan Malaysia terhadap China dalam pembangunan pendidikan TVET

Ringkasan Eksekutif

Kebergantungan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada ekosistem negara asing seperti China dilihat masih berterusan dalam memastikan ketersediaan tenaga kerja kepada industri pada masa akan datang. Kerjasama TVET Malaysia-China yang meneruskan Dasar Pandang ke Timur oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyaksikan penubuhan Malaysia-Cina Institute (MCI), tawaran biasiswa dan lawatan ke institusi TVET di China. Kerjasama Malaysia-China dalam bidang TVET ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan tenaga buruh tempatan yang cekap dan memenuhi kehendak China kerana inisiatif antarabangsa Belt and Road Initiative (BRI) didominasi oleh pemain industri China. Kerjasama TVET Malaysia-China boleh memberi implikasi kepada negara seperti kebergantungan kepada pengetahuan dan teknologi asing serta meningkatkan pengaruh China dalam ekosistem pendidikan dan ekonomi negara. Akhirnya, Malaysia kekal terperangkap dalam pembangunan mengikut acuan asing yang tidak menguntungkan negara.

Apakah isu yang berlaku?

Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat masih bergantung kepada ekosistem negara asing seperti China untuk memastikan ketersediaan tenaga kerja kepada industri pada masa akan datang. Pada bulan Mei yang lalu, kerajaan Malaysia-China memperluaskan skop kerjasama dua hala Malaysia-China, merangkumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital. Ia bersempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia baru-baru ini[1]. Susulan dari itu, sebanyak 5,125 kuota diberikan oleh China kepada pelajar Malaysia untuk menjalani Latihan TVET tajaan industri oleh 114 Institusi berkenaan di negara itu[2]. Kebergantungan Malaysia terhadap China dapat dilihat melalui pendanaan pelajar, latihan, penyediaan modul dan tenaga pengajar dari China, serta penyediaan tenaga kerja daripada graduan TVET Malaysia kepada syarikat-syarikat China. Dasar TVET Negara 2030 menyatakan kerajaan Malaysia berhasrat menjadikan TVET sebagai pemacu utama atau ‘game changer’ dalam usaha melahirkan tenaga mahir tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Walaubagaimanapun, pelaksanaan dasar TVET ini dilihat masih kekal mengikut kehendak industri asingkhususnya China[3]. Banyak tawaran biasiswa diberikan kepada pelajar Malaysia untuk menyambung pelajaran ke China, malah mereka juga akan menjadi tenaga kerja bagi syarikat-syarikat China yang menjayakan projek BRI di Malaysia. Justeru, isu kerjasama TVET China-Malaysia dilihat lebih menguntungkan China.

Mengapa isu ini timbul?

Kebergantungan Malaysia terhadap negara asing seperti China adalah disebabkan negara masih terperangkap dalam perancangan asing yang ingin bangunkan modal insan mengikut keperluan industri asing. Apabila landskap perindustrian secara global berubah, Malaysia turut terkejar-kejar untuk mengikuti peralihan industri supaya kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan tenaga buruh industri global. Dasar TVET Negara 2030 sendiri dibangunkan berdasarkan laporan-laporan yang telah dibuat oleh institusi-institusi antarabangsa seperti World Economic Forum Global Agenda Council on Employment, World Bank, International Labour Organization (ILO) dan lain-lain untuk mengatasi masalah ketidakpadanan kemahiran dan reformasi program TVET mengikut kehendak industri[4]. Justeru, kerjasama dengan China untuk memajukan TVET negara ini dilihat sebagai langkah reaktif bukannya proaktif dalam menghadapi peralihan industri global. Kejayaan China mengembangkan ekosistem TVET berskala besar yang berkualiti tinggi dalam tempoh masa yang secara relatifnya lebih singkat menjadikan Malaysia ingin mengikuti pendekatan serupa. Kecenderungan terhadap China ini lebih jelas dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2023, yang menyebut Dasar Pandang ke Timur (DPT) kini adalah termasuk China[5]. Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1982 oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi, terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan. Kini DPT memberi lebih tumpuan terhadap China dan usaha membangunkan semula pendidikan TVET Malaysia dengan kerjasama China semakin rancak dengan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, program TVET Malaysia dilaksanakan secara bersendirian dengan piawaian yang berbeza bagi setiap institusi mengikut kementerian, agensi atau pemilikan swasta yang menaungi institusi tersebut[6]. Malah pengurusan TVET juga menghadapi pertindihan bidang kuasa disebabkan tiada badan tunggal yang menyelaraskan dan memperjuangkan agenda TVET negara[7]. Apabila kerjasama TVET dibuat, Majlis TVET Negara telah diaktifkan semula untuk penyelarasan program TVET pada Disember 2023 yang lalu. Selepas itu, pada 10 Jun 2024, Majlis TVET Negara telah melancarkan Dasar TVET Negara 2030 dalam usaha untuk menyelaraskan program TVET ini.

Peningkatan kerjasama Malaysia-China dalam TVET ini adalah disebabkan Malaysia tidak mempunyai perancangan dan visi yang tersendiri dalam membangunkan pendidikan TVET negara sehingga perlu mengambil modul dan tenaga pengajar asing untuk dilaksanakan di Malaysia[8]. Malaysia-Cina Institute (MCI) yang ditubuhkan dengan modul sepenuhnya dari China ini bukanlah pertama kali berlaku, sebelum ini telah ada German Malaysia Institute (GMI), Malaysia-Japan Industrial Institute, Malaysia-France Institute dan lain-lain menggunakan silibus negara asal masing-masing[9]. Setakat ini, sebanyak 17 institusi TVET China bersetuju untuk membantu penubuhan MCI di China dengan menawarkan 2,000 tempat latihan dalam setahun[10]. Selepas pengajian TVET berjaya diselesaikan, 100% graduan TVET ini akan diserap untuk bekerja dengan syarikat-syarikat China di Malaysia[11].

Kebergantungan Malaysia terhadap China juga disebabkan Malaysia tiada kapasiti untuk menyediakan ekosistem TVET yang kukuh dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Di China, terdapat kerjasama yang kukuh antara kolej vokasional dan syarikat dalam industri. Institusi TVET digalakkan untuk membangunkan jenama sendiri dan menghasilkan graduan yang kompeten. Pihak Syarikat dan industri bekerjasama dengan kolej vokasional dalam perancangan, pembangunan kursus, pengajaran, latihan praktikal, pendedahan industri, dan penilaian program. Kerajaan tempatan memberi insentif kepada syarikat untuk menggalakkan kerjasama ini. Syarikat juga merasa berkepentingan dalam menghasilkan tenaga kerja yang kompeten[12]. Malaysia berusaha untuk mempelajari pelaksanaan TVET di China melalui penubuhan institusi kerjasama MCI serta penghantaran pelajar, pengajar dan pegawai eksekutif ke China untuk kembali melaksanakan TVET di Malaysia. Sebanyak 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan TVET bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang[13].

Setakat ini hanya GiatMARA Bagan Datuk telah dinaik taraf menjadi MCI dengan tenaga pengajar China untuk melatih pelajar TVET tempatan[14]. Selain itu, 30 CEO institusi TVET swasta yang bernaung di bawah Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FEMAC) telah dihantar ke institusi TVET di China pada 13 Mei sehingga 19 Mei 2024[15]. Lawatan ini adalah usaha Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) bersama TANG International Education Group (China) untuk merealisasikan penubuhan MCI dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima buah institusi TVET China iaitu Chengdu Industrial Vocational Technical College, Sichuan Vocational and Technical College of Communications, Chengdu Agricultural College, Sichuan Polytechnic University, Sichuan College of Architectural Technology[16]. Jabatan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan Kolej Vokasional (KV) Bintulu turut menghantar sekumpulan pelajar dan pengajar menyertai kursus TVET di GSK CNC Equipment Co. Ptd, Guangzhou China pada 3 hingga 7 Jun lalu[17]. Hasil usaha ini, syarikat tersebut menawarkan latihan industri pengaturcaraan dan lengan robotik kepada pensyarah dan pelajar KV Bintulu[18].

Selain itu, ketiadaan dana untuk menanggung pelajar TVET menjadikan Malaysia seperti orang mengantuk disorongkan bantal apabila China menawarkan biasiswa kepada pelajar TVET tempatan untuk menyambung pelajaran ke China. Sebanyak tiga kali tawaran biasiswa diumumkan oleh China, pertama, pada 16 Januari 2024 Kerajaan China telah menawarkan sebanyak 1000 biasiswa kepada graduan universiti di bawah jaringan Malaysian Technical University Network (MTUN). MTUN terdiri daripada Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)[19]. Kedua, pada 20 April 2024 Zahid Hamidi mengumumkan China meningkatkan tawaran biasiswa penuh kepada 2,000 orang yang mana 500 daripadanya dikhaskan untuk pelajar dari Sabah[20]. Ketiga, pada 19 Jun 2024, China sekali lagi meningkatkan tawaran biasiswa penuh secara percuma kepada 5,000 orang yang diumumkan melalui Premier Republik China, Li Qiang[21].

Siapakah aktor yang terlibat?

Aktor utama yang menggerakkan kerjasama TVET ini adalah Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara. Beliau telah mengaktifkan semula Majlis TVET Negara dan menubuhkan institusi TVET dengan kerjasama China di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta menaik taraf GiatMara di kawasan parlimen beliau iaitu GiatMara Bagan Datuk [22].

Institusi TVET China iaitu TANG International Education pula dilantik sebagai Ketua Koordinator Malaysia-China Institute (MCI) yang akan memantau MCI ini. Institusi TVET China lain yang terlibat dalam kerjasama ini adalah Chengdu Industrial Vocational Technical College, Sichuan Vocational and Technical College of Communications, Chengdu Agricultural College, Sichuan Polytechnic University, Sichuan College of Architectural Technology[23].

Sebanyak 220 buah syarikat China di Malaysia mendapat manfaat tenaga kerja daripada graduan TVET tempatan[24]. Setakat ini, hanya 10 syarikat kerjasama TVET tempatan yang terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta seperti Petronas, Berjaya Corporation Bhd, Sunway Group, Gamuda Bhd, Redbeat Academy Sdn Bhd (Air Asia), DRB-Hicom, Daikin Malaysia Sdn Bhd dan lain-lain[25].

Apakah Implikasi Isu ini?

Kerjasama TVET ini akan menyebabkan negara terus bergantung kepada ekosistem industri asing khususnya dalam aspek pengetahuan dan teknologi. Kerjasama TVET dengan negara-negara asing, seperti China atau Jerman, sememangnya membolehkan Malaysia mengakses pengetahuan dan teknologi canggih namun Malaysia kekal sebagai pengguna teknologi bukan pencipta teknologi. Kerjasama TVET dengan China ini dilihat sebagai sebahagian daripada penerusan inisiatif BRI di Malaysia apabila Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) yang kini dikenali sebagai Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan menyatakan inisiatif BRI merupakan peluang buat Malaysia dan China meningkatkan kerjasama pembangunan TVET[26]. Projek-projek di bawah BRI dikatakan menjadi medium utama pemindahan teknologi bagi setiap negara yang terlibat menjadikan sesebuah negara tersebut terus bergantung kepada teknologi China[27].

Secara umum, keseluruhan pendidikan Malaysia merupakan warisan pendidikan zaman kolonial British walaupun berlaku perubahan dan adaptasi mengikut keperluan semasa. Struktur pendidikan sekolah rendah, menengah rendah, menengah atas, pra-universiti adalah merupakan model British, begitu juga asal usul pendidikan teknikal dan vokasional. Walaupun banyak berlaku perubahan dalam garis masa perkembangan TVET, ia masih tidak lari daripada pengaruh asing dalam perancangan dan pelaksanaannya. Kerjasama Malaysia-China dalam program TVET ini menunjukkan pelaksanaan TVET di Malaysia bakal mengikut acuan China walaupun tidak semua institusi menggunakan silibus TVET China. Adapun kurikulum sedia ada sudah tentu akan disesuaikan mengikut piawaian asing untuk memastikan pelajar mendapat latihan yang diiktiraf oleh syarikat asing.

Malaysia terus bergantung kepada penyelesaian luar dalam membangunkan negara. Pengalaman China dalam pelaksanaan TVET yang sudah kukuh menjadi rujukan utama kepada Malaysia untuk menyelesaikan masalah pengurusan TVET Malaysia. Selain itu, kerjasama Malaysia-China dalam TVET ini telah meningkatkan pengaruh China dalam pendidikan dan pekerjaan TVET Malaysia melalui syarikat dan institusi pendidikan yang terlibat. Melalui institusi pendidikan seperti MCI, Malaysia bergantung sepenuhnya kepada China menyediakan tenaga pengajar dan modul[28]. Manakala syarikat-syarikat dari China menjadi tempat menyediakan latihan serta peluang pekerjaan graduan TVET.

Kesimpulan

Kerjasama Malaysia-China dalam TVET dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran dan menambah peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Namun, kerjasama ini menunjukkan negara masih bergantung kepada ekosistem industri asing dan tidak memiliki hala tuju sendiri dalam membangunkan keupayaan industri dan kemandirian ekonomi.

Rujukan

Ahmad, F.A. (19 Jun 2024). TVET: China tawar 5,000 biasiswa percuma. Utusan Malaysia.

Astro Awani. (14 Mei 2024). 30 CEO TVET swasta Malaysia adakan lawatan ke China.

Aziz, F. A., & Subramaniam, N. (2023). TVET in Malaysia: Current Situation, Challenges and Recommendations. Penang Institute.

Berita Harian. (19 Disember 2023). Dasar Pandang ke Timur kini termasuk China – PM.

Berita Harian. (31 Mei 2024). Pendidikan eratkan hubungan Malaysia-China – Anthony Loke

Bernama. (8 Jun 2024). Govt Approves Additional Allocation of RM 200 mil to Boost TVET.

Bernama. (9 November 2023). Malaysia, China Setuju Wujud Institusi TVET Tawar Kemahiran Bidang Baharu. Kementerian Belia & Sukan: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Khairi, M.L. (12 Mei 2024). Program TVET kekal dikendali 12 kementerian, agensi. Harian Metro.

KOSMO. (21 April 2024). 500 pelatih Sabah bakal dihantar ke China ikuti latihan TVET.

MalayMail. (April 19, 2024). DPM Zahid: GiatMARA Bagan Datuk upgraded to Malaysia-China Institute.

Mohd Husni, M.N. (9 November 2023). Malaysia-China setuju wujud institusi TVET. Utusan Malaysia.

Majlis TVET Negara. (2024). Dasar TVET Negara 2030.

MalaysiaGazette (3 Julai 2024). China beri lebih 5,000 kuota kepada pelajar Malaysia ikuti TVET

Noor, A.S. (16 Januari 2024). 17 institusi TVET China setuju tubuhkan Malaysia-China Institute. Berita Harian.

Shahrul, S. (16 Januari 2024). Beijing to sponsor 1,000 TVET grads to further studies in China. Free Malaysia Today.

Tvet Madani. (N.d). Syarikat Kerjasama TVET

UMNO Online. (24 Mei 2024). MCI Beri Fokus Program TVET, Hantar Pelajar Lanjut Pengajian Di China – Dr Asyraf.

Utusan Borneo. (27 Jun 2024). PENSYARAH, PELAJAR KV BINTULU IKUTI KURSUS TVET DI CHINA. TVET Madani.

Utusan Borneo. (30 Mei 2024). 220 syarikat China tawar lebih 5,000 latihan TVET kepada pelajar Malaysia.

Utusan Borneo. (27 Jun 2024). PENSYARAH, PELAJAR KV BINTULU IKUTI KURSUS TVET DI CHINA. TVET Madani.

World Bank. (September 8, 2018). Technical and Vocational Education and Training: Lessons from China. World Bank Group.

Nota Kaki

  1. Berita Harian. (31 Mei 2024). Pendidikan eratkan hubungan Malaysia-China – Anthony Loke
  2. MalaysiaGazette (3 Julai 2024). China beri lebih 5,000 kuota kepada pelajar Malaysia ikuti TVET

  3. Majlis TVET Negara. (2024). Dasar TVET Negara 2030.

  4. Majlis TVET Negara. (2024). Dasar TVET Negara 2030.

  5. Berita Harian. (19 Disember 2023). Dasar Pandang ke Timur kini termasuk China – PM.

  6. Aziz, F. A., & Subramaniam, N. (2023). TVET in Malaysia: Current Situation, Challenges and Recommendations. Penang Institute.

  7. Ibid

  8. Mohd Husni, M.N. (9 November 2023). Malaysia-China setuju wujud institusi TVET. Utusan Malaysia.

  9. UMNO Online. (24 Mei 2024). MCI Beri Fokus Program TVET, Hantar Pelajar Lanjut Pengajian Di China – Dr Asyraf.

  10. Noor, A.S. (16 Januari 2024). 17 institusi TVET China setuju tubuhkan Malaysia-China Institute. Berita Harian.

  11. Mohd Husni, M.N. (9 November 2023). Malaysia-China setuju wujud institusi TVET. Utusan Malaysia.

  12. World Bank. (September 8, 2018). Technical and Vocational Education and Training: Lessons from China. World Bank Group.

  13. Utusan Borneo. (30 Mei 2024). 220 syarikat China tawar lebih 5,000 latihan TVET kepada pelajar Malaysia.

  14. MalayMail. (April 19, 2024). DPM Zahid: GiatMARA Bagan Datuk upgraded to Malaysia-China Institute.

  15. Astro Awani. (14 Mei 2024). 30 CEO TVET swasta Malaysia adakan lawatan ke China.

  16. Ibid

  17. Utusan Borneo. (27 Jun 2024). PENSYARAH, PELAJAR KV BINTULU IKUTI KURSUS TVET DI CHINA. TVET Madani.

  18. Utusan Borneo. (27 Jun 2024). PENSYARAH, PELAJAR KV BINTULU IKUTI KURSUS TVET DI CHINA. TVET Madani.
  19. Shahrul, S. (16 Januari 2024). Beijing to sponsor 1,000 TVET grads to further studies in China. Free Malaysia Today.

  20. KOSMO. (21 April 2024). 500 pelatih Sabah bakal dihantar ke China ikuti latihan TVET.

  21. Ahmad, F.A. (19 Jun 2024). TVET: China tawar 5,000 biasiswa percuma. Utusan Malaysia.

  22. Bernama. (9 November 2023). Malaysia, China Setuju Wujud Institusi TVET Tawar Kemahiran Bidang Baharu. Kementerian Belia & Sukan: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

  23. Ibid

  24. Utusan Borneo. (30 Mei 2024). 220 syarikat China tawar lebih 5,000 latihan TVET kepada pelajar Malaysia.

  25. Tvet Madani. (N.d). Syarikat Kerjasama TVET

  26. Astro Awani. (23 Mei 2023). Institusi TVET perlu rebut peluang BRI dengan China – PKPB.

  27. Jennings, R & Nulimaimaiti,M. (17 March 2024). China’s technical expertise touted as new vehicle for progress on embattled, global belt and road. Archived.

  28. Mohd Husni, M.N. (9 November 2023). Malaysia-China setuju wujud institusi TVET. Utusan Malaysia.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center (KMC)
IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hutang matang dan defisit sebab utama hutang dalam negeri kerajaan persekutuan meningkat kepada RM1.22 trilion

Next Post

Pembangunan Pusat Data di Johor beri manfaat kepada singapura

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Pakej Asas

RM200 / tahun

Pakej Perak

RM500 / tahun

Pakej Premium

Bermula RM1000

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content