Pengenalan
Dalam siri yang lalu, kita telah membincangkan mengenai faktor dalaman dan faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan Ringgit Malaysia. Antara faktor luaran yang dibincangkan adalah mengenai isu kejatuhan harga komoditi seperti minyak mentah. minyak sawit mentah serta harga getah. Faktor luaran yang lain adalah faktor jangkaan kenaikan kadar interest oleh Amerika di mana ia telah menyebabkan permintaan untuk USD meningkat dan melemahkan matawang negara lain. Kita juga ada membincangkan mengenai faktor dalaman yang menyumbang kepada kejatuhan Ringgit seperti Fitch negative outlook terhadap kemampuan ekonomi Malaysia untuk memenuhi tuntutan kewangan (financial obligation) terhadap pemegang hutang negara.
Pada siri kali ini, kita akan melihat sedikit isu 1MDB dan perkaitannya dengan kestabilan ekonomi dan politik negara sebelum beralih kepada impak kejatuhan Ringgit Malaysia terhadap ekonomi Malaysia dan jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi negara – antara jangkaan positif atau negatif.
Isu 1MDB dan pengaruh sentimen negatif
Sepertimana yang kita ketahui bahawa Malaysia sedang dilanda sebuah skandal yang sangat kontroversi di mana ia membabitkan syarikat milikan penuh Kementerian Kewangan, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kadar hutang yang sangat tinggi sehingga mencecah RM42 Billion. Situasi politik dan ekonomi yang melanda Malaysia membabitkan 1MDB ini turut mempunyai kesan kepada tukaran matawang Malaysia namun kesannya tidak begitu ketara kerana ia hanya memberi kesan yang berbentuk jangka masa pendek (short term) dan dalam jangka masa panjang, pasaran akan menyesuaikan (adjust) mengikut situasi semasa.
Pada mulanya, skandal 1MDB ini tidak memberi impak kepada pelabur asing kerana pelabur asing lebih berminat untuk melabur ke negara yang mempunyai rating yang bagus dan juga melabur ke syarikat yang secara asasnya kukuh. Namun apabila skandal 1MDB mula menjadi perhatian orang ramai terutama sekali apabila terdedahnya kes dana RM2.6Billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia, situasi ekonomi dan politik di Malaysia mula berubah.
Para penganalisis mula berbeza pendapat mengenai impak yang dibawa oleh skandal dana RM2.6Billion dan perkaitannya dengan 1MDB serta pasaran dan ekonomi negara di mana ada yang mengatakan bahawa impaknya sangat minima. Terdapat juga penganalisis yang memberi pendapat bahawa ia memberi impak yang sangat besar kepada pasaran dari segi keyakinan pelabur (investor confidence). Di sini kita akan mengambil pendekatan berbeza dengan menulis pendapat dari kedua-dua blok penganalisis supaya lebih neutral.
Sebelum itu, pasaran saham Malaysia merekodkan penurunan mendadak dan sejak 14 minggu yang lepas, para pelabur asing telah mula menjadi penjual bersih (net sellers) di Bursa Malaysia, suatu tempoh yang agak panjang semenjak krisis 2008 dan ia kemungkinan besar disebabkan oleh kehilangan kepercayaan kepada Malaysia oleh pelabur asing. Terdapat beberapa definisi pelabur asing dan di sini kita merujuk kepada foreign fund managers yang mempunyai dana yang besar dan membuat pelaburan di dalam Bursa Malaysia. Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) membuat analisa di mana lebih RM11 billion telah dikeluarkan dari Malaysia oleh pelabur asing disebabkan oleh sentimen negatif yang melanda negara ini, berbanding hanya RM6.9 Billion sepanjang tahun 2014.
Pengerusi CIMB Group Holdings, Datuk Seri Nazir Razak berpendapat bahawa exodus of foreign capital ini adalah dipengaruhi oleh sentimen negatif kerana secara fundamental, Ringgit Malaysia sepatutnya diniagakan pada kadar RM3.70 untuk setiap 1USD, namun kini ia mencecah RM4.135 untuk setiap 1USD. Sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memulihkan kembali kepercayaan pelabur asing, maka kita akan melihat kejatuhan Ringgit Malaysia akan berterusan sehingga mencecah RM4.20 untuk setiap 1USD.
Secara kesimpulan, skandal 1MDB ini walaupun pada mulanya tidak memberi impak yang besar kepada kejatuhan Ringgit Malaysia, namun ia berubah menjadi sebuah masalah yang perlu diambil tindakan dengan segera sebelum ia membawa kepada masalah kelembapan ekonomi (economic slowdown) dan pembetulan minor (minor correction) terhadap pasaran tempatan.
Impak kejatuhan Ringgit Malaysia kepada ekonomi – Eksport
Secara teori, kejatuhan Ringgit Malaysia akan menjadikan produk eksport lebih kompetitif berbanding sebelumnya. Ini adalah disebabkan dengan kejatuhan Ringgit Malaysia berbanding matawang asing, harga eksport kita lebih murah dan tidak menjejaskan kualiti produk. Sebagai contoh, pada Januari 2015, James dari US membeli produk eksport dari Malaysia yang berharga RM35 (USD10) namun pada August 2015, produk yang sama kini berharga USD 8.50.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berpendapat bahawa kejatuhan Ringgit Malaysia akan membawa faedah kepada pengusaha eksport. Beliau juga berpendapat bahawa kejatuhan Ringgit Malaysia ini hanya bersifat sementara (short term) kerana fundamental ekonomi Malaysia yang kukuh menjadi sebab utama pelabur luar memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Definisi ‘pelabur luar’ di sini adalah Foreign Direct Investment, di mana syarikat asing meluaskan sayap perniagaan mereka di sesebuah negara, samada melalui pemilikan majoriti atau memulakan syarikat baru.
Bagi membuktikan kekukuhan ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bahawa terdapat pertambahan sebanyak 152.6% kepada RM33.6 billion jumlah pelaburan pada suku pertama tahun ini berbanding dengan hanya RM13.3 billion pada tahun lepas dan kebanyakannya disumbangkan oleh 189 buah projek pengilangan (manufacturing)
Impak kejatuhan Ringgit Malaysia kepada ekonomi – sektor pelancongan
Sektor Pelancongan adalah antara penyumbang tertinggi KDNK (GDP) iaitu sebanyak RM161billion (14.9% dari GDP)pada tahun 2014 dan dijangka meningkat kepada 20.2% pada tahun 2015. Sektor ini juga adalah sumber pendapatan terbesar tukaran matawang asing (foreign exchange) kepada negara. Kejatuhan Ringgit Malaysia akan memberi sebuah pemangkin (catalyst) kepada sektor pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia kerana para pelancong merasakan yang mereka mempunyai kuasa membeli (purchasing power) yang lebih besar berbanding sebelum ini. Para pelancong juga merasakan Malaysia kini lebih murah (affordable) berbanding sebelum ini.
Ini dapat dilihat dengan kebanjiran pelancong negara jiran, Singapura yang berpusu-pusu memasuki Malaysia pada bulan Jun yang lepas dan kadar permit kemasukan yang baru tidak menghalang mereka dari memasuki Malaysia. Dengan kebanjiran rakyat Singapura di Malaysia, ia akan memberi faedah kepada perusahaan kecil dan serdahana kesan daripada spillover industri pelancongan. Walaupun terdapat banyak faedah dari kejatuhan Ringgit Malaysia, Presiden MATTA, Hamzah Rahmat berpendapat bahawa krisis politik di Malaysia yang sedang berlaku ini sekiranya tidak diperbetulkan akan menjadi faktor yang menyebabkan pelancong asing menjauhkan diri dari Malaysia.
Secara mudah, terdapat beberapa kesan positif dengan kejatuhan Ringgit Malaysia kepada sektor pelancongan negara; namun sepertimana pelabur asing yang sentiasa mahukan kestabilan politik dan ekonomi, begitu juga dengan pelancong asing yang kebanyakannya hanya akan ke negara yang stabil politik dan ekonominya.
Kejatuhan matawang – Forward outlook in long term
Kejatuhan matawang sesebuah negara boleh dianggap sebagai penunjuk utama (leading indicator) untuk berlakunya krisis ekonomi sekiranya ia tidak dikawal dengan baik.
Walaupun KDNK Malaysia untuk separuh tahun pertama ini menunjukkan kenaikan melebihi jangkaan iaitu 4.9%, terdapat kemungkinan lain bahawa ekonomi negara masih belum merasakan impak penurunan harga komoditi utama seperti minyak mentah, minyak sawit mentah, getah, penurunan permintaan terhadap eksport negara, serta kelembapan ekonomi (economic slowdown) di kebanyakan negara besar seluruh dunia.
Kelembapan ekonomi rakan dagang terbesar Malaysia, China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia berpotensi untuk menyebabkan penurunan permintaan terhadap eksport Malaysia. China sedang mengalami kelembapan ekonomi dan untuk memulihkan kembali ekonominya, China telah mencuba beberapa strategi; antaranya adalah dengan menurunkan kadar interest, menggunakan Quantitative Easing strategi, dan RMB Devaluation. Pada penghujung tahun 2014, China telah menurunkan kadar interest sebagai langkahnya untuk merancakkan kembali ekonomi domestiknya daripada 3.0% kepada 2.75% di mana ia adalah kali pertama China menurunkan kadar interest sejak tahun 2012. Namun impak yang dibawa hanya minima dan menyebabkan China menurunkan lagi kadar interest di mana secara keseluruhannya, China telah membuat 4 kali penurunan kadar interest dalam masa 7 bulan.
Penurunan kadar interest tersebut masih belum memberi kesan yang diinginkan oleh Public Bank of China (PBOC), maka China sekali lagi mengejutkan dunia dengan menggunakan Quantitative Easing versi China. Perbezaan QE China berbanding QE yang dilakukan di Amerika adalah PBOC tidak terus mengepam duit ke program khusus yang hendak diselamatkan tetapi PBOC mengepam dana kepada policy banks untuk membiayai sebarang projek di bawah seliaan kerajaan China, membantu dana kerajaan yang sedang membuat sokongan harga (price support) terhadap pasaran saham China dan menggalakkan bank untuk membeli Municipal Bonds.
Terbaru China menurunkan nilai (devalue) matawangnya sebanyak 3% untuk menarik kembali pelabur luar ke China dengan menjadikan eksport China lebih kompetitif demi meningkatkan semula aktiviti ekonominya. Namun impak terhadap polisi tersebut masih terlalu awal untuk diketahui samada ia berjaya mengembalikan ekonomi China seperti sebelum ini atau ia tidak.
Kesemua ini adalah antara peristiwa penting yang kita perlu fahami kerana ia menunjukkan bahawa ekonomi rakan dagang Malaysia yang terbesar sedang mengecut (contract). Ia juga menandakan bahawa terdapat kemungkinan permintaan terhadap eksport Malaysia daripada China akan mula berkurangan. Menurut Markits Nikkei Malaysia Purchasing Manager’s Index (PMI) bacaan data untuk tahun 2015 memberi signal bahawa permintaan hasil perkilangan (manufacturing) Malaysia semakin berkurang kepada 47.7 (bawah 50) disebabkan oleh kekurangan permintaan luar dan dalam serta cabaran kondisi ekonomi negara. Namun daripada informasi ini, kita tidak dapat membuat kesimpulan bahawa pengurangan permintaan tersebut berasal dari China atau dari rakan dagang utama Malaysia yang lain.
Secara ringkas, jangkaan ekonomi Malaysia di masa depan masih positif walaupun ekonomi dunia sedang berada di dalam keadaan yang tidak menentu. Walaupun terdapat beberapa bacaan penganalisa tentang data kemungkinan penurunan permintaan eksport negara, namun faktor slowdown yang berlaku di China adalah di luar kawalan Malaysia dan kita tidak mampu untuk mempengaruhi ekonomi China, tetapi kita boleh meletakkan fokus yang menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara seperti keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia, mengurangkan penggunaan barang import, dan membuat bacaan yang lebih banyak serta cuba untuk memahami situasi sebenar yang berlaku di Malaysia.
Kesimpulan
Daripada 3 siri yang telah ditulis, kita telah melihat apakah teori yang perlu kita ketahui untuk memahami isu kejatuhan Ringgit Malaysia, faktor yang menyebabkan kejatuhan Ringgit Malaysia serta impak terhadap ekonomi Malaysia dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Dalam siri yang pertama, kita telah melihat secara teori mengenai faktor yang berkaitan dengan foreign exchange seperti:
- Kadar inflasi yang tinggi untuk sesebuah negara menyebabkan kejatuhan nilai matawang
- Kadar Hutang Awam sesebuah negara mempunyai hubung kait dengan kejatuhan nilai matawang negara
- Kestabilan ekonomi dan politik sesebuah negara
- Interest rates yang tinggi akan menjadikan matawang tersebut kukuh
Dalam siri yang kedua, kita telah membuat aplikasi daripada faktor yang disebutkan secara umum dalam siri pertama dengan menjadikan Malaysia sebagai contoh spesifik:
- Faktor Luaran – Kejatuhan harga komoditi dan rancangan The Feds menaikkan interest rates dalam masa yang terdekat
- Faktor Dalaman – Credit Rating Agency – Fitch membuat jangkaan untuk menurunkan rating Malaysia daripada stabil kepada negatif
Dalam siri yang terakhir, kita melihat implikasi dari kejatuhan Ringgit Malaysia terhadap keadaan ekonomi semasa
- 1MDB dan impak terhadap pasaran kewangan Malaysia
- Impak terhadap sektor pelancongan – positif
- Impak terhadap sektor eksport – positif
- Jangkaan ekonomi pada masa depan
Dari sini kita dapat lihat bahawa Malaysia akan berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar selagi mana kesemua faktor luaran tidak menunjukkan tanda tanda perubahan yang positif serta faktor dalaman di mana pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan dan mengembalikan semula persepsi negatif pelabur asing kepada Malaysia tanpa mengira apa jua kos yang terlibat.
Orang awam juga boleh membantu dengan terus berfikiran positif terhadap ekonomi negara dan tidak terlalu mempercayai dengan khabar angin yang mengatakan ekonomi kita sedang berada di ambang krisis. Sentimen negatif yang disebarkan melalui mulut ke mulut mempunyai impak yang merbahaya (contagious) dan ia adalah peranan kita semua bersama untuk memastikan perkara tersebut tidak belaku.
Muhamad Nur Farhan
Penganalisis CAPE
Rujukan
http://www.theedgemarkets.com/my/article/%E2%80%98foreign-investors-unmoved-local-1mdb-concerns%E2%80%99
http://www.bloomberg.com/news/articles/2015-08-06/malaysia-scandal-triggers-fastest-foreign-exodus-as-stocks-slide
http://www.theedgemarkets.com/my/article/nazir-razak-ringgit-weakening-sentiment-driven-should-trade-around-370-vs-us-dollar
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/ringgit-to-hit-4.20-against-dollar-by-year-end-says-bmi-research
http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/weaker-ringgit-will-boost-exports-investments-says-minister
http://www.wttc.org/-/media/files/reports/economic%20impact%20research/countries%202015/malaysia2015.pdf
http://www.channelnewsasia.com/news/asiapacific/weak-ringgit-poses/2057654.html
http://www.bbc.com/news/business-30141669
http://www.bloomberg.com/news/articles/2015-08-09/quantitative-easing-with-chinese-characteristics-takes-shape
http://store.bmiresearch.com/catalog/product/view/id/3824
Penulisan yang sangat bagus, mudah difahami dan telus pada pendapat saya.
Masyarakat awam perlu memahami keadaan sebenar sebelum membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan semasa dengan mengetahui perkara sebenar.
Terima kasih diucapkan kepada Encik Muhamad Nur Farhan diatas penulisan dan perkongsian ini.