Kerajaan Malaysia TERLALU Optimis dengan TPPA – Penganalisis

 

Peta TPPA (Sumber: ustr.gov)
Peta TPPA (Sumber: ustr.gov)

 

Analisis kos dan manfaat TPPA telah pun dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini. Laporan tersebut telah dijalankan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia serta PricewaterhouseCoopers’ (PwC) (1).

Ramai yang sedia maklum walaupun dokumen analisis sebegini boleh diakses oleh masyarakat awam, namun bukan semua orang boleh memahami dan membaca laporan sebanyak 231 muka surat tersebut. Justeru, peranan media alternatif serta penganalisis yang tidak terikat dengan mana-mana pihak amat penting supaya rakyat Malaysia dapat memahami isu TPPA secara menyeluruh, seterusnya menentukan sama ada rakyat Malaysia mahu menerima TPPA atau tidak.

 

Komentar terhadap analisis ISIS

  1. Kurang penekanan terhadap perkembangan polisi luar Amerika Syarikat

Jika dilihat secara teliti pada bahagian penjelasan tentang bagaimana TPPA boleh menjejaskan kedaulatan negara dalam analisis tersebut (pada muka surat 19 hingga 24) (2) , skop penjelasan mereka kurang mengambil kira perkembangan strategi polisi luar Amerika Syarikat itu sendiri.

Malah, mereka hanya meletakkan skop yang sempit mengenai ancaman yang mampu terhasil daripada TPPA dengan menganggap ancaman yang bakal wujud hanyalah ancaman yang bersifat fizikal, jangka masa pendek, dan bersifat dominan dalam sesebuah perhubungan antara negara.

Sudah tentu strategi perluasan kuasa yang sebegitu tidak lagi menjadi fokus Amerika Syarikat dalam melaksanakan polisi luarnya untuk Asia. Lebih-lebih lagi setelah imej kuasa besar tersebut semakin tidak digemari oleh masyarakat dunia selepas Perang Dingin dan juga selepas pencerobohan yang mereka lakukan di Iraq pada tahun 2003 (3).

Justeru, penting untuk rakyat Malaysia tahu apakah rasional di sebalik keputusan Washington untuk menumpukan fokus polisi luar mereka kepada rantau Asia Pasifik, yang bakal melibatkan negara ini.

Hal ini dapat dilihat menerusi Polisi luar AS, “Pivot to Asia” yang diusulkan oleh Hillary Clinton ketika beliau bergelar Setiausaha negara tersebut. Ketika Clinton mengusulkan agar Amerika Syarikat menyemak semula polisi luarnya, mereka menyedari bahawa pendekatan yang digunakan kali ini haruslah berbeza dengan polisi luar mereka untuk Timur Tengah, “War on Terror”. Hal ini disebabkan konteks negara dan keadaan yang jauh berbeza antara Timur Tengah dan Asia Pasifik.

Realitinya kini mereka berhadapan dengan Malaysia sebagai kuasa besar Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi dan memegang antara laluan perdagangan terpenting di dunia iaitu Selat Melaka. Oleh yang demikian , Clinton mengusulkan agar polisi “Pivot to Asia” menggunakan pendekatan yang lebih komprehensif menerusi medium diplomasi, ekonomi, ketenteraan, perundangan, politik dan serangan budaya (4). Strategi pendekatan sebegini lebih dikenali sebagai “smart power” yang menggabungkan “hard power” seperti kuasa ketenteraan dan “soft power” seperti serangan budaya dan sebagainya.

TPPA merupakan salah satu langkah Amerika Syarikat dalam melaksanakan dasar Pivot 2.0; sebuah dasar luar Amerika dalam menjaga kepentingan dan pengaruh mereka di Asia. Melalui perjanjian ini, kepentingan pekerja dalam sektor perkhidmatan Amerika dapat dilindungi kerana pasaran eksport yang luas dapat dikuasai dan syarikat multinasional mereka dengan mudah dapat menembusi pasaran tempatan negara yang terbabit (5).

Perjanjian ini dilihat sebagai alat yang paling ideal untuk digunakan oleh Amerika Syarikat bagi meluaskan pengaruhnya di rantau ini. Perjanjian ekonomi yang memberikan platform sepenuhnya kepada syarikat multiasional mereka sudah tentu membuka lagi peluang bagi proses Amerikanisasi dilakukan di negara ini yang bakal menyentuh isu-isu sensitif budaya dan agama masyarakat Malaysia.

Contoh yang paling ideal bagi menggambarkan hal ini adalah usaha AS dalam mempromosikan idea liberal demokrasi, masyarakat sivil dan hak asasi manusia. Mungkin sesetengah pihak pro-liberalisasi dan yang menyokong civil society seperti Islamic Renaissance Front (IRF), BERSIH dan Sister in Islam (SIS) berpendapat bahawa pengaruh AS yang lebih kuat di rantau ini merupakan sesuatu yang baik untuk negara. Tetapi jika kita lihat pada teras perjuangan mereka, banyak antara tuntutan yang diperjuangkan menyalahi prinsip Agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Sebagai contoh, “SIS, Empower dan Tenaganita merupakan antara ahli utama gabungan Comango yang membuat sejumlah tuntutan berkaitan hak asasi melampau dan juga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan semasa sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) kelolaan PBB baru-baru ini. CCM pula ialah pertubuhan yang dinaungi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang turut merupakan ahli gabungan Comango” (6).

Justeru amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mengambil tahu sifat polisi luar negara asing yang sentiasa berubah-ubah dan mengapa TPPA yang bernaung di bawah polisi “Pivot to Asia” ini wajar ditolak. Kerajaan juga perlu memberikan penjelasan yang lebih relevan kepada rakyat, bersesuaian dengan hakikat sifat dinamik polisi luar kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Secara ringkasnya ancaman daripada TPPA ini harus dilihat dari aspek yang lebih menyeluruh, bersifat jangka masa panjang dan mengambil kira faktor prinsip asas negara kita sebagai sebuah negara Islam.

 

  1. Tiada kayu ukur yang jelas mengenai konsep “balancing” atau “menyeimbangkan” pengaruh China dan Amerika Syarikat.

Antara rasional yang diberikan oleh ISIS untuk rakyat memahami dan menyokong agenda mereka untuk menandatangani TPPA, adalah bertujuan untuk menyeimbangkan antara pengaruh China dan AS di negara ini. Berikut merupakan petikan analisis mereka yang menyatakan pendirian tersebut:

 

“Rather than opt for the classical balancing of (hard military) power, Malaysia has opted for a policy of equidistance or what might be termed a ‘balancing of benefits’ by strengthening its ties with both China and the US, not only in the defence but also in the economic and social fields. In doing so, Malaysia avoids overdependence on, and domination by, any one party and is better placed to defend its sovereignty and equality (2).”

 

Sejak tahun 1960, Malaysia sudah pun mengadakan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat, termasuklah latihan tentera bersama dan akses kepada pelabuhan dan pusat ketenteraan di negara ini. Bahkan sepanjang lawatan Obama ke negara ini pada tahun lepas, hubungan bilateral Malaysia-AS telah ditingkatkan menerusi Comprehensive Partnership dan Proliferation Security Initiative (PSI).

Untuk China pula, kerjasama ekonomi lebih menyerlah apabila negara tersebut merupakan pasaran eksport Malaysia yang terbesar selain Singapura. Bahkan, China banyak melakukan kerjasama dengan negara ini menerusi ASEAN. Antara kerjasama yang sedang dijalankan adalah seperti Asean Plus One dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) (7).

Selain aspek ekonomi, kerjasama ketenteraan antara China dan Malaysia lebih dilihat sebagai sebuah kerjasama yang baru. Sebagai contoh pada tahun 2005, kedua-dua negara menandatangani Memorendum of Understanding on Bilateral Defence Cooperation dan pada tahun 2012, persidangan pertama Security Defence and Strategic Consultations diadakan.

Berdasarkan senarai fakta tersebut, analisis ISIS cuba memberi gambaran bahawa Malaysia kekurangan kerjasama ekonomi dengan AS. Oleh itu, atas sebab itulah tindakan Malaysia menyertai TPPA melihatkan negara ini lebih adil dan seimbang dalam mengadakan hubungan dengan AS dan China.

Walaubagaimanapun, sekiranya kita faham dan amati perkembangan konflik dunia, usaha “balancing” antara dua kuasa besar tidak semestinya meletakkan kedua-duanya pada tahap dan kadar yang sama. Ada ketikanya kerjasama ekonomi atau ketenteraan perlu dibezakan kadarnya mengikut negara mana yang sedang kita hadapi.

Sekiranya kerjasama ekonomi dengan China itu lebih selamat dan keselamatan polisi dalaman kita akan lebih terjamin, maka itu yang perlu kerajaan tumpukan. Berbanding memilih untuk menyertai perjanjian yang belum tentu melindungi kepentingan rakyat namun dilaksanakan atas syarat “balancing” dua kuasa.

Sebagai contoh, Malaysia boleh memilih untuk menumpukan perhatian kepada RCEP berbanding TPPA memandang RCEP merupakan perjanjian perdagangan serantau yang lebih adil melihatkan tahap pembangunan negara terlibat yang tidak jauh berbeza dari segi tahap pembangunan dan ekonomi. Berbanding TPPA yang mengumpulkan negara maju dan mempunyai ekonomi yang sudah sedia kuat seperti Kanada, New Zealand, Australia dan AS sendiri bersama-sama dengan negara membangun seperti Malaysia dan Vietnam (8).

Bahkan, Malaysia masih boleh meneruskan proses perdagangan FTA bersama AS yang tergendala setelah AS membuat keputusan untuk terlibat dalam TPPA dan menumpukan sepenuhnya kepada kepentingan ekonomi sekiranya itu adalah objektif utama negara dalam hubungan AS-Malaysia ini.

 

TPPA_270414_TMINAZIRSUFARI_06

TPPA dan geopolitik dunia

Bagi memahami situasi semasa dunia dan bagaimana langkah Malaysia dalam merangka polisi luar negara, amat penting bagi kita untuk mengambil kira percaturan geopolitik dunia yang menampilkan dua kuasa besar ekonomi; China dan Amerika Syarikat.

Justeru, dalam isu TPPA kali ini kita bakal merungkai apa signifikan usaha Amerika Syarikat dalam menembusi pasaran Asia Pasifik, dan apa kaitannya dengan kemunculan kuasa ekonomi baru dunia iaitu China. Seterusnya dapat kita lihat bagaimana keputusan Malaysia dalam menentukan sama ada kita bakal menandatangani perjanjian tersebut ataupun tidak bakal mempengaruhi lanskap geopolitik di rantau ini.

 

1.Perjanjian TPP yang mengecualikan China dan India, menambah lagi konflik US-China dalam menguasai pasaran Asia. Malah tindak balas China dalam usaha mengusulkan cadangan perlaksanaan Free Trade Area of the Asia-Pacific (FTAAP) pada sidang kemuncak APEC November lepas dilihat sebagai satu usaha China bagi menangani usaha TPPA Amerika.

 

2.Selain daripada usaha FTAAP, China turut mengorak langkah dalam menjadikan negara mereka diterima sebagai negara yang mengetuai rantau Asia dari sudut ekonomi mahupun politik. Dalam hal ini, langkah China diperkuatkan lagi dengan pelan ekonomi berprofil tinggi; Silk Road Economic Belt dan Maritime Silk Road, dan usaha penguasaan politik melalui  Shanghai Cooperation Organization dan  Conference on Interaction and Confidence-Building Measures in Asia (CICA). Kesemuanya dilaksana bagi mengekang pengaruh Amerika Syarikat di rantau Asia dari sudut ekonomi mahupun politik.

 

3. Namun, berikutan konflik Laut China Selatan yang berlaku awal tahun ini malah berterusan sehingga sekarang, menyaksikan China dan Amerika memulakan strategi mereka ke tahap yang seterusnya melalui usaha ketenteraan bagi menguasai perairan tersebut. Malah, tindakan Ash Carter, Setiausaha Pertahanan AS yang giat meraih sokongan negara-negara sekitar Laut China Selatan ternyata berkesan melihatkan campur tangan Amerika Syarikat yang semakin mengganggu gugat kuasa China.

 

4. Melihat kepada reaksi China dalam menangani isu Laut China Selatan yang kini fokus terhadap usaha ketenteraan bagi mempertahankan kawasan yang dituntut mereka. Strategi perluasan kuasa Amerika Syarikat bagi mengekang mana-mana kuasa yang menyaingi mereka dapat dicapai dengan mengfokuskan negara terbabit dalam usaha ketenteraan. Seterusnya menghabiskan perbelanjaan negara ke arah tersebut dan menjejaskan usaha pemantapan ekonomi kuasa pesaing.

 

5. Strategi sebegini sudah pun digunakan ketika Amerika Syarikat mahu mengekang kuasa Rusia. Berikutan keterlibatan Amerika dalam konflik di Ukraine, langkah tersebut sebenarnya bertindak bagi melemahkan usaha rancangan Rusia dalam melaksanakan integrasi ekonomi EU-Russia yang bakal mengganggu gugat kuasa hegemoni mereka.

 

6. Malah peranan Ash Carter bagi mengumpul proksi Amerika di rantau Asia seakan-akan sama peranannya dengan apa yang dilakukan oleh George F.Kennan, orang yang bertanggungjawab dalam mengatur strategi Amerika bagi mengekang kuasa Soviet Union.

 

7. Keputusan Malaysia sama ada mahu menandatangani TPPA atau tidak semestinya akan mengubah lanskap geopolitik di rantau ini. Rundingan TPPA antara Amerika Syarikat dan Malaysia dijangka akan selesai sebelum tahun 2017 memandangkan sesi pentadbiran Obama bakal berakhir.

 

8. Sekiranya Malaysia bersetuju dengan TPPA, kemungkinan besar akan menjejaskan peranan ASEAN dalam menerajui rantau ini, melihatkan perbezaan dari sudut kepentingan antara negara yang terlibat; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dengan negara ASEAN lain yang tidak terlibat dengan TPPA. Malah, Malaysia perlu mengambilkira dan menjaga kepentingan pasaran tempatan dalam memastikan hak-hak rakyat terutama golongan bumiputera supaya tidak terjejas dengan TPPA.

 

9. Memang tidak dapat dinafikan akan adanya kelebihan menyertai TPPA dari sudut perkembangan ekonomi Malaysia, namun alternatif lain seperti pelan ekonomi Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang menjadi fokus ASEAN buat masa sekarang perlu dimanfaatkan Malaysia sepenuhnya dalam usaha pemantapan ekonomi negara.

 

Laksana-TPPA-01

Kesimpulan

Pelbagai manfaat ekonomi yang bakal dinikmati Malaysia setelah TPPA ditandatangani telah dibentangkan kepada rakyat.

Memang benar manfaat ekonomi akan diperoleh oleh negara yang melakukan proses liberalisasi terhadap ekonominya. Namun dalam situasi Malaysia, kerajaan gagal untuk menerangkan kepada rakyat bahawa manfaat tersebut hanya dapat dinikmati selepas tempoh masa 10-20 tahun setelah TPPA dilaksanakan (berdasarkan kepada teori dan model ekonomi yang digunakan).

Persoalan  yang timbul kini adalah – adakah rakyat Malaysia sanggup menggadaikan 10-20 tahun untuk melihat hasil liberalisasi ekonomi TPPA? Atau kita mahu mengambil pengajaran daripada fakta kes Mexico dan NAFTA yang setelah 20 tahun dilaksanakan, ianya ternyata gagal untuk membangunkan Mexico, dan AS baru mengakui kesilapan percaturan mereka?

Kerajaan juga gagal untuk menerangkan kepada rakyat bahawa golongan miskin dan mereka yang tidak berkemahiran adalah antara golongan yang akan tertinggal setelah TPPA dilaksanakan. Memang benar peluang pekerjaan akan meningkat, tetapi hanya terhad kepada jenis pekerjaan yang berkemahiran tinggi. Lantas, persoalannya –  apa yang akan terjadi kepada golongan rakyat yang tidak mampu bersaing dalam situasi negara yang bakal menjadi semakin kompetitif pasca TPPA?

Kesimpulannya, TPPA bukan sekadar perjanjian ekonomi semata-mata, malah ia patut dilihat sebagai satu langkah Amerika Syarikat dalam menguasai rantau ini seterusnya menghalang niat China dalam menjadi kuasa besar dunia. Malaysia, sebagai salah satu negara yang terpilih untuk perjanjian ini perlu mengambil langkah berhati-hati dalam melaksanakan percaturan agar kedaulatan negara dapat dipertahankan. Pelbagai kepentingan rakyat juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Semua pihak berkepentingan perlu mendesak kerajaan Malaysia agak menolak daripada menandatangani perjanjian ini. Tekanan domestik perlu diwujudkan untuk kerajaan Malaysia menyedari kebimbangan rakyat terhadap ancaman geopolitik yang dihadapi negara.

 

Asyraf Farique, Ketua Editor FOCUS

Nur Hanis, Penganalisis IRIS

 

RUJUKAN

  1. Analisis Kos Faedah TPPA Siap, Akan Dikeluarkan Di Parliamen Minggu Ini – Mustapa. Bernama.com. [Online] Disember 1, 2015. [Cited: Disember 11, 2015.] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1195358.
  2. Malaysia’s Free Trade Agreements. MITI. [Online] Disember 3, 2015. [Cited: Disember 11, 2015.] http://fta.miti.gov.my/miti-fta/resources/ISIS_The_Grand_Finale.pdf.
  3. Iraq War. Encyclopedia Brittanica. [Online] [Cited: Disember 11, 2015.] http://www.britannica.com/event/Iraq-War.
  4. Joseph S.Nye Jr. Get Smart. Foreignaffairs.com. [Online] August 2009. [Cited: Disember 10, 2015.] https://www.foreignaffairs.com/articles/2009-07-01/get-smart.
  5. The Tran-Pacific Partnership Agreement. USTR.gov. [Online] [Cited: Disember 12, 2015.] https://ustr.gov/tpp/.
  6. Farique, Asyraf. OBAMA berjumpa lagi dengan proksi Amerika di Malaysia. FOCUS. [Online] November 21, 2015. [Cited: Disember 12, 2015.] http://focuss.my/obama-berjumpa-lagi-dengan-proksi-amerika-di-malaysia/.
  7. Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) Joint Statement The First Meeting of Trade Negotiating Committee. ASEAN.org. [Online] Mei 10, 2013. [Cited: Disember 12, 2015.] http://www.asean.org/news/asean-statement-communiques/item/regional-comprehensive-economic-partnership-rcep-joint-statement-the-first-meeting-of-trade-negotiating-committee.
  8. 9 Ways TPP is bad for developing countries. Foreignpolicy.com. [Online] July 7, 2015. [Cited: Disember 12, 2015.] http://foreignpolicy.com/2015/07/07/9-ways-the-tpp-is-bad-for-developing-countries/?utm_content=buffer8b060&utm_medium=social&utm_source=facebook.com&utm_campaign=buffer.
  9. http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/tppa-8216-boneka-as-8217-tidak-berasas-1.167325
  10. http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1198063
  11. http://www.globalresearch.ca/us-china-confrontation-beware-of-us-smart-power-in-asia/21862
  12. http://www.globalresearch.ca/us-pivot-sends-asia-fleeing-toward-china/5433668
  13. http://foreignpolicy.com/2015/07/07/9-ways-the-tpp-is-bad-for-developing-countries/?utm_content=buffer8b060&utm_medium=social&utm_source=facebook.com&utm_campaign=buffer
  14. http://themalaysianreserve.com/new/story/concerted-effort-needed-explain-tppa-says-ideas
  15. http://www.bbc.com/news/world-29536648
  16. http://digitalcommons.sacredheart.edu/cgi/viewcontent.cgi?article=1278&context=wcob_fac
  17. http://www.diplomacy.edu/resources/books/reviews/soft-power-means-success-world-politics
  18. http://www.prnewswire.com/news-releases/newsweek-cover-why-america-scares-the-world-and-what-to-do-about-it—by-fareed-zakaria-74682272.html
  19. https://www.foreignaffairs.com/articles/2009-07-01/get-smart
  20. http://csis.org/program/smart-power-us-china-relations
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiga Bot Nelayan Malaysia Dikaramkan oleh Indonesia

Next Post

Pendedahan Rahsia: Singapura membantu Amerika mengintip Malaysia

Related Posts
Skip to content