Pertama sekali, kita perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan budi dalam kebudayaan Melayu. Budi adalah satu konsep struktural yang berpaksikan elemen batiniah (dalaman) yang dipancarkan melalui elemen lahiriah.
Elemen batiniah membawa maksud kepercayaan jiwa (al-qalb) dan akal fikiran (al-aql) untuk membuat keputusan dan pertimbangan yang tepat. Manakala elemen lahiriah yang terzahir pula adalah seperti perlakuan, pertuturan, kesopanan dan kesantunan itu dirangkumkan dalam kategori budi bahasa dan budi pekerti.
Peradaban Melayu lebih terkenal dengan aspek adab dan budi berbanding aspek material yang biasanya disandarkan kepada tamadun-tamadun selain Melayu. Peradaban Melayu lebih masyhur dengan persoalan tatasusila, moral, dan etika yang dilengkapkan dengan aspek keagamaan yang mendasari jiwa dan roh peradaban Melayu.
Adab dan budi Peradaban Melayu ini jelas terpancar dalam hikayat-hikayat dan prosa sastera tradisional Melayu. Banyak pepatah yang menggambarkan worldview orang Melayu tentang akhlak seperti “hutang emas dibawa belayar hutang budi dibawa mati” serta hancur badan di kandung tanah, budi baik terkenang jua”, serta pelbagai lagi peribahasa yang lain.
Bahkan istilah peradaban itu sendiri, yang merupakan istilah bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa-bahasa lain, menggambarkan kefahaman orang Melayu silam terhadap konsep kemajuan berasaskan adab dan budi ini.
Peradaban bukan sekadar persoalan tentang kemuncak pencapaian dan penghasilan manusia dalam aspek politik, ekonomi, sains serta teknologi, namun ianya juga adalah satu manifestasi ketinggian akal dan budi yang diterapkan kepada kelompok manusia berpaksikan ajaran agama.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga diceritakan bagaimana sepatutnya akhlak dengan sultan dan pemerintah. Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah, kerana Hang Jebat melakukan keganasan dalam istana yang ditawannya. Antara mesej tersirat daripada peristiwa ini adalah “penderhakaan” kepada negara/sultan merupakan satu jenayah serta anarki (yang dilakukan oleh Hang Jebat) mesti dibanteras demi kestabilan negara.
Namun begitu, ilmuwan Melayu tidak berhenti di situ. Bahkan mereka juga mengatakan bahawa prinsip keadilan mesti ditegakkan hatta kepada pemerintah melalui pepatah “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Keadilan mesti berlaku kepada semua kelompok masyarakat seperti dalam prinsip syariat Islam.
Selain itu, terdapat juga karya-karya yang membincangkan tentang ilmu ketatanegaraan ataupun bahasa modennya good governance seperti Tajus Salatin, Bustanus Salatin dan Thamarat Al Muhimmah, sama seperti karya Ghiyathul Umam karya Imam Al Haramain Al-Juwayni rhm.
Inilah mesej agung tentang peradaban yang dapat kita analisis daripada pepatah dan karya-karya ilmuwan Melayu silam. Namun sayangnya selepas kedatangan penjajah, kita telah mengambil sudut pandang Barat mengenai kemajuan dan ketamadunan. Ini menyebabkan kita menjadikan Barat sebagai model, lalu menjauhkan kita daripada hakikat peradaban yang pernah dikecapi oleh nenek moyang kita suatu masa dahulu.
Kita perlu mengembalikan semula peradaban kita yang telah hilang, dengan cara dan manhaj kita sendiri. Takkan Melayu hilang di dunia.
Rujukan:
1. Hassan Ahmad: Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman
2. Zainal Abidin Borhan: Memantapkan Peradaban Melayu
Oleh:
Amar Ismat
Kolumnis Fokus/ Pegawai IRIS