Kesantunan Bendul Pintu Rumah Melayu dan Salah faham terhadap ‘langkah bendul’

Oleh: Tn Hamdi Hanapi

Gambar: rumahkayutradisional.blogspot.my

Pertama: Dari segi kesantunan, bendul di pintu muka (pintu depan) punyai fungsi sebagai ‘sempadan’ – yakni pemisah antara ‘luar’ dengan ‘dalam’ rumah. Dalam ungkapan Melayu lama, disebut ‘Pintu Muka menyambut adat’ – maka ada yang menyebut bendul muka ini sebagai ‘Batas Adat’.

Apabila rumah itu tiada orang laki-laki, maka, tetamu (laki-laki) yang datang ke rumah tidak masuk ke dalam. Sebaliknya, hanya duduk di bendul ini dengan kaki terjuntai di anak tangga. Demikian dapat mengelakkan sangkaan buruk atau fitnah terhadap anggota rumah (wanita) dan tetamu itu. Maka terpeliharalah maruah keduanya.

(Dalam W. Skeat (1900), dicatat petua mengukur bendul seperti berikut:

“Ini fasal ukoran bendul rumah ; MAKA AMBIL DEPA PEREMPUAN YANG AMPUNYA RUMAH ITU dua depa di-lipatkan tiga, buang sabhagi ; yang dua bhagi itu, itu lipatkan lipat delapan, buangkan tujoh ambil satu, ukorkan deripada kapala bendul itu sampei ujong bendul itu…”)

Kedua: Adat itu banyak kategorinya (Adat yang sebenar adat, adat yang teradat dan seterusnya). Namun, kesemuanya itu berkongsi satu maksud yang sama, iaitu ‘satu aturan’. Tentang ‘Langkah Bendul’ – adik berkahwin dahulu daripada kakak – bukanlah satu pantang larang dalam adat kita.

Langkah Bendul itu maksudnya ‘melangkau aturan, atau memotong susunan/giliran’ (bendul itu juga lambang bagi aturan). Jadi, mengikut susunan, sepatutnya yang tua berkahwin dulu.

Adik berkahwin dulu adalah sesuatu yang menyentuh perasaan bagi sesetengah kakak. Yalah, terpaksa menjawab soalan bertalu-talu orang lain “Bila nak kahwin? Adik sudah” – dan bermacam lagi yang ditanggung.

Maka diadakan satu bentuk aturan kebiasaan (adat resam), iaitu adik berilah hadiah kepada kakak sebagai TANDA PENGHORMATAN, TANDA KASIH!

Jadi, salah faham terhadap adat langkah bendul, sehingga muncul sangkaan bahawa ini sebagai satu pantang larang adalah tidak benar. Dan kakak pula, jika cemburu, janganlah membebani adik dengan meminta sebuah Ferrari. Para selebriti agama, janganlah pula mendakwa orang Melayu mendahulukan adat, membelakangi agama – sedangkan kedua-duanya jalan seiring:

“Syarak mengata, adat memakai.”

Salah faham ini berpunca daripada banyak sebab, antaranya kerana kita hari ini tidak dapat memahami maknawi kebudayaan orang terdahulu.

Yang perlu kita risaukan bukan langkah bendul, tetapi ‘Lurus Bendul’. Bendul itu balok kayu yang lurus, tak boleh bengkok dan letaknya melintang. Maka hari ini sesuailah terpakai pada kaum apologetik (naif, baik dan pemaaf tak bertempat) dan yang berfikiran literal (harfiah, tak faham lapis makna lebih dalam, hanya nampak kulit).

Pemikiran Lurus Bendul inilah yang mudah menjadikan kita mangsa tipu daya.

________________________

Rujukan:

1) Noor Faizah Aziz, Jamaluddin Md Jahi, Kadir Ariffin & Aziz Ujang, 2014. Pengaruh Adat Resam, Kepercayaan dan Kebudayaan terhadap Pembinaan Rumah Melayu Tradisional. Jurnal IMAN 2(2):105-111. Bangi: UKM.

2) Walter William Skeat, 1900. Malay Magic being an Introduction to the Folklore & Popular Religion of Malay Peninsula. London: McMillan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Previous Post

Landskap Edisi 9

Next Post

Anak Melayu Sarawak golongan paling terkesan dengan pemisahan Sarawak dari Malaysia

Related Posts