Pada 25 Julai 2021 yang lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengadakan latihan ketenteraan bersama United Kingdom Carrier Strike Group 2021 (UKCSG21) iaitu armada tentera laut dari United Kingdom (U.K.) dan turut disertai tentera laut Amerika Syarikat dan Belanda. Tumpuan pada Eksesais (latihan) bersama ini adalah Kapal HMS Queen Elizabeth iaitu kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) tercanggih milik U.K. yang melakukan pelayaran sulung ke rantau Asia.
Tiga buah aset TLDM telah terlibat iaitu kapal-kapal friget KD Jebat dan KD Lekiu serta helikopter Super Lynx yang mengadakan Eksesais “Passage Exercise (PASSEX) dengan HMS Queen Elizabeth, HMS Kent, USS The Sullivans, HNMLS Evertsen dan beberapa pesawat pejuang seperti pesawat F-35B Lightning di Selat Melaka. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan ‘interoperability’ dan mengukuhkan keselamatan maritim dan kerjasama serantau di antara negara-negara terlibat.
Selain latihan bersama tentera laut Malaysia, UKCSG21 juga telah mengadakan latihan bersama Tentera Laut Thailand, Singapura dan Brunei. Selepas memulakan pelayarannya daripada U.K., armada tersebut telah singgah di Laut Mediterranean dan Lautan Hindi. Selepas berada di Asia Tenggara, ia akan meneruskan pelayarannya ke Laut China Selatan sebelum ke Jepun.
Ketumbukan UKCSG21 terdiri daripada:
- HMS Queen Elizabeth (Kapal pengangkut pesawat)
- USS The Sullivans (Kapal Destroyer)
- HMS Defender (Kapal Destroyer)
- HMS Kent (Kapal Friget)
- HMS Richmond (Kapal Friget)
- HNLMS Evertsen (Kapal Friget)
- HMS Artful (Kapal selam nuklear)
- RFA Tidespring (Kapal oiler replenishment)
- RFA Fort Victoria (Kapal oiler replenishment)
UKCSG21 juga akan mengadakan latihan dengan kapal-kapal perang sekutu di Laut Filipina, sebelum kembali ke Singapura untuk mengadakan latihan Eksesais Bersama Gold dengan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand. Latihan itu adalah sempena ulang tahun ke-50 perjanjian FPDA (Five Power Defence Arrangement).
Seperti dijangka, kehadiran UKCSG21 ini mengundang kemarahan China. Sebagai reaksi balas, China turut mengadakan latihan tentera di Laut China Selatan (LCS) dalam kawasan Chuandao dan Maoming. Kapal pengangkut pesawat Shandong juga telah dikerah bersama beberapa kapal pengiring ke LCS sebagai tindakan untuk mencabar kehadiran UKCSG21. China turut melaungkan amaran agar armada UKCSG21 tidak menghampiri pulau-pulau buatan China di LCS.
Tindakan U.K. ini adalah hasil dasar pasca-Brexit. Selepas keluar secara rasmi dari Kesatuan Eropah (EU), U.K. mula memasuki era baharu yang memecah kerangka terhad di Eropah. U.K. mahu kembali menjadi pemain politik dunia yang kuat dengan melancarkan dasar luar baharu bernama “Global Britain” pada Mac 2021. Polisi baru ini seperti mahu mengembalikan zaman empayar kolonial British yang memainkan peranan sebagai kuasa dominan di serata dunia. Oleh itu, rantau Indo-Pasifik menjadi fokus utama dasar Global Britain. Identiti U.K. yang baharu ini mengalihkan tumpuannya dari Eropah ke Asia. Bagi membuktikan komitmennya, U.K. juga akan menempatkan dua kapal perangnya secara kekal di Asia.
Dalam dasar Global Britain, U.K. mahu memperkasakan kuasa keras (hard power) dengan menambah puluhan bilion Pound dalam bajet ketenteraan bagi membolehkan modenisasi angkatan tenteranya, dan pemerkasaan keupayaan senjata nuklear. Sebagai sekutu lama dan utama bagi Amerika Syarikat (A.S.), U.K. terus menjunjung orde dunia yang dicorak dengan acuan Barat. Oleh itu, tumpuan kepada Indo-Pasifik bersama dengan A.S. adalah bagi membendung kebangkitan China. Pelayaran UKCSG21 adalah demonstrasi kepada visi Global Britain yang diperkenalkan ini.
Bagi Malaysia, latihan bersama ini adalah penerusan kepada polisi luar yang bersifat neutral dan tidak bercondong (equidistance). Dalam hal ekonomi dan perdagangan, Malaysia lebih cenderung ke China. Ini dapat dilihat dalam hubungan dagangan yang rapat dengan China. Tanpa disangkal lagi, Malaysia adalah penerima yang signifikan dalam pelaburan berskala mega iaitu Belt and Road Initiative (BRI) dari China. Dalam data dagangan, China juga adalah rakan dagangan terbesar Malaysia selama 12 tahun berturut-turut sejak 2008.
Manakala dalam isu keselamatan, Malaysia mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan blok A.S. dan sekutunya. Ini dapat dilihat dengan pelbagai Eksesais seperti yang telah dijalani dengan UKCSG21. Malah, Malaysia juga merupakan penandatangan (signatory) kepada Five Powers Defence Arrangement (FPDA) sejak 1971. Kehadiran UKCSG21 ini memperkukuhkan kerjasama dengan U.K. dalam kerangka FPDA tersebut.
FPDA dianggotai Malaysia, Singapura, U.K., Australia dan New Zealand. FPDA adalah perjanjian yang bersifat konsultasi segera dengan negara-negara anggotanya sekiranya Malaysia diserang atau diancam dengan serangan. Konsultasi ini akan menentukan tindakan susulan yang akan diambil secara bersama atau berasingan selepas diserang. Justeru, ia bukanlah ikatan komitmen yang spesifik sehingga menjadikan Malaysia sekutu kepada U.K. Selain menjadi tanda hubungan sejarah kolonial dengan U.K. yang masih tinggal, perjanjian ini juga menjadi bukti hubungan keselamatan rapat antara Malaysia dan blok Barat.
Malaysia melihat FPDA sebagai elemen keselamatan nasional dan serantau. Malah penubuhannya bertujuan memberi keselamatan luaran kepada Malaysia. Sebagai Kerjasama pertahanan, FPDA telah bertindak sebagai pencegahan konvensional (conventional deterrence) bagi Malaysia dalam menghadapi ancaman keselamatan dari luar. Melalui FPDA juga, Malaysia secara tidak langsung berada dalam lingkungan keselamatan A.S. kerana hubungan Malaysia dengan U.K. Manakala U.K. pula dijamin keselamatannya andai ia diserang kerana mempunyai perjanjian keselamatan (treaty ally) dengan A.S. Justeru, sebarang ancaman kepada Malaysia akan memungkinkan penglibatan A.S.
Dengan penglibatan U.K. dalam geopolitik Laut China Selatan (LCS), maka perairan ini dijangka semakin menjadi titik panas bagi pertembungan di antara A.S., U.K., negara anggota Quad (Jepun, Australia dan India) dengan lawan mereka, China. Dengan gabungan negara-negara penentang China ini, pastinya potensi reaksi keras dari China bakal meningkat apabila ia dikepung dan diancam.
Malaysia hendaklah sentiasa memerhati rapat setiap perkembangan di LCS serta bersedia dengan segala kemungkinan ia menjadi arena perang. Sebarang konflik atau pertempuran yang tercetus pasti akan mengheret Malaysia dengan sangat mudah. Apatah lagi, Malaysia sudah pun diancam China seperti pencerobohan pesawat-pesawat China ke ruang udara Sarawak pada Jun lalu. Dalam masa yang sama, Malaysia harus memastikan kuasa pertahanannya diperkasakan dalam cabaran dan risiko yang semakin tinggi ini. Hal ini termasuklah menambah aset-aset ketenteraan terutamanya dalam keupayaan kuasa maritim. Malaysia masih lagi ketinggalan dalam kuasa pertahanan berbanding negara-negara jiran dan situasi ini mesti diubah dengan segera.
Hasan Syahidi
Lepasan Ijazah Sarjana Sains Sosial – Strategi dan Diplomasi (UKM-IDFR)
*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my