Lima Kapal Perang China Dikesan Beroperasi di Laut Berring, Alaska.

 

chinanavy2

Sebanyak lima kapal perang milik China sedang beroperasi di Laut Berring berhampiran perairan Alaska, kata wakil dari Pentagon pada Rabu yang lalu, menandakan kali pertama pihak ketenteraan AS mengesan aktiviti Tentera Laut China di kawasan itu.

Sejak beberapa hari yang lalu, wakil tersebut telah menjejak pergerakan tiga kapal perang milik China, sebuah kapal pembekal dan sebuah kapal pendaratan amfibia selepas memerhatikan mereka bergerak menuju ke Kepulauan Aleutian yang memisahkan antara pengawalan AS dan Rusia.

“Ini merupakan kali pertama perkara ini berlaku di persekitaran Kepulauan Aleutian,” kata  seorang wakil pertahanan mengenai kapal perang tersebut, yang telah beroperasi di lautan antarabangsa. “Saya tidak merasakan bahawa kami mengkategorikan apa yang mereka buat sebagai suatu yang mengancam keselamatan,” kata wakil tersebut.

Seorang jurucakap di Kedutaan China di Washington tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.

Wakil dari China telah berkali-kali menuntut agar pihak AS membatalkan operasi pengawalan berhampiran perairan China, dan pada Mei yang lalu kata pihak dari Washington telah membuat kekacauan dalam urusan sulit mereka dengan menghantar jet pejuang berdekatan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang merupakan kawasan pertikaian pelbagai pihak.

Keberadaan kapal China berdekatan perairan AS adalah sebagai demonstrasi bagi mempamerkan ketenteraan China yang mengembangkan operasi mereka dengan pantas, jauh dari perairan mereka bagi meninjau kepentingan global negara tersebut yang semakin berkembang.

Wakil AS berada dalam ketidakpastian dalam menjelaskan pergerakan Tentera Laut China yang datang ketika lawatan Obama ke Alaska dan kawasan Artik selama tiga hari berucap mengenai perubahan iklim.

Operasi ketenteraan terbabit berlaku sejurus sebelum Presiden China Xi Jinping bersiap sedia untuk mengetuai perarakan Kemenangan Perang Dunia Kedua pada hari Khamis di Beijing, sebuah acara yang mana membuatkan AS dan sekutunya risau sebagai suatu usaha bagi China untuk mempamerkan kekuatan ketenteraanya.

Xi Jinping juga akan mengadakan lawatan negara ke AS pada akhir bulan ini bagi, yang mana telah dibayangi dengan pelbagai tekanan atas aktiviti ketenteraan China, termasuk serangan siber ke atas AS dan pembinaan pulau di Laut China Selatan.

China telah beberapa kali mengulangi bahawa aktiviti ketenteraanya tidak bertujuan untuk mengancam mana-mana negara tetapi ia perlu dikembangkan selari dengan kekuatan ekonomi China dan atas dasar kepentingan dan tanggungjawab terhadap dunia.

Wakil dari Pentagon pada hari Rabu telah menyatakan bahawa kapal perang China tersebut masih berada di kawasan tersebut, tetapi menolak untuk memperincikan bila kapal-kapal tersebut mula dikesan dan berapa jarak mereka dari perairan AS, di tempat Obama melakukan lawatannya pada hari yang sama.

Wakil Pentagon juga menyatakan bahawa tiada maklumat yang menunjukkan kapal-kapal China terbabit telah merentasi Selat Bering, sebuah laluan air yang sempit yang terletak di utara laut yang menjadi sempadan Alaska.

“Kami menghormati kebebasan semua negara untuk melaksanakan operasi ketenteraan di perairan antarabangsa mengikut peraturan antarabangsa,” kata Cmdr. Bill Urban, jurucakap Pentagon, menekankan, “Inilah kali pertama kami melihat kapal (People’s Liberating Army Navy) di Laut Berring.”

Wakil kerajaan AS mengakui bahawa kedatangan kapal China ke perairan Alaska adalah pada waktu yang janggal iaitu ketika Presiden Obama berada di kawasan tersebut, tetapi jurucakap Rumah Putih John Earnest berkata bahawa tujuan Beijing masih kurang jelas.

Wakil Pentagon tersebut menyatakan bahawa terdapat “beberapa pendapat” untuk mentafsir kedatangan kapal perang dari China.

“Ia suatu yang sukar untuk diterangkan, tetapi ia menunjukkan bahawa terdapat kepentingan di kawasan Artik,” kata wakil tersebut. “Ia berbeza.”

China telah menunjukkan niatnya dengan jelas untuk menjadi “blue water navy”, yang merentasi jauh dari perairan mereka, kata Bonnie Glaser, seorang penasihat kanan di Asia for the Center for Strategic and International Studies di Washington.

“Kita perlu membiasakan diri dengannya,” ujar Glaser. “Pihak ketenteraan laut China telah menunjukkan watak meneroka mereka…ketenteraan laut mereka akan menjadi global.”

 

Ringkasan oleh: Aiman Radzman

Sumber: WSJ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konflik Laut China Selatan: Bukti Sejarah Melayu Champa Kuasai Perairan

Next Post

Kepentingan Geostrategik dan Peranan Kuasa Asing dalam Konflik Syria

Related Posts
Skip to content