BARAT PAPUA – Menurut sumber berita MetroTV Indonesia, pelampau Kristian di Indonesia telah menyerbu dan menyerang masjid pada hari pertama Aidilfitri.
Pelampau Kristian di Tolikara, Papua (Indonesia) menyerbu masjid pada hari perayaan umat Islam ketika umat Islam sedang melaksanakan solat sunat Aidilfitri kemudian membakar masjid tersebut dan menyerang orang yang sedang beribadah dengan membaling batu. Pelampau Kristian juga turut membakar 6 buah rumah dan 11 deretan kedai; dan memaksa umat Islam untuk melarikan diri ke bandar.
Pasukan keselamatan melepaskan tembakan amaran untuk menyuraikan orang ramai kira-kira 200 orang selepas umat Islam telah beredar dari situ, berlari ke arah pos tentera berhampiran untuk berlindung. Dilaporkan juga disebabkan tindakan polis yang mula melepaskan tembakan, keadaan menjadi bertambah teruk.
Orang ramai yang kebanyakannya Kristian melaungkan “tiada ibadat [Islam] di daerah Tolikara” dan menggesa perhimpunan umat Islam di hari perayaan itu dileraikan. Solat hari raya, untuk meraikan berakhirnya bulan Ramadan, diadakan di pejabat perintah tentera daerah kecil Karubaga pada kira-kira pukul 7 pagi.
Menurut laman web Bringislam, surat yang telah dikeluarkan oleh GIDI (Kristian Evangelical) yang sendiri menyebut dan mengeluarkan larangan solat hari raya, pemakaian tudung dan lain-lain di bandar tersebut memaksa umat Islam untuk meninggalkan bandar – meskipun sebenarnya mereka tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk berbuat demikian. Pelampau Kristian menunggu mereka sehingga memulakan solat dan kemudian menyerang mereka apabila sedang bersolat.
Papua ingin berpisah dari Indonesia manakala penguasaan kerajaan pula lemah di Papua, maka berlakulah pertempuran. Kumpulan pelampau berusaha sedaya upaya untuk menjadikan Papua sebuah bandar yang dikuasai orang Kristian. Mereka mencipta peraturan mereka sendiri untuk mencapai apa yang dikehendaki namun apabila umat Islam melanggar undang-undang yang dibuat oleh mereka, maka pertempuran berlaku.
Naib Presiden Jusuf Kalla menyatakan kekesalan beliau tentang kejadian yang berlaku, sambil menambah bahawa insiden itu berlaku disebabkan penggunaan pembesar suara di masjid dan gereja yang berhampiran antara satu sama lain.
Jeneral Badrodin Haiti, Ketua Polis Negara, mengesahkan bahawa konflik itu berpunca dari pembesar suara tetapi ia telah diselesaikan.
Indonesia terdiri daripada majoriti rakyat beragama Islam dan menyumbang populasi terbesar umat Islam di dunia. Walau bagaimanapun barat Papua dikongsi bersama Papua New Guinea, dengan jumlah penduduk Kristian sebanyak 95 peratus. Satu bancian pada tahun 2000 menunjukkan bahawa hampir 80 peratus adalah Kristian.
Di kawasan-kawasan di mana terdapat majoriti Kristian, wujud tekanan ke atas umat Islam, mengancam atau memberi ‘rasuah’ kepada mereka untuk murtad dan menganut agama Kristian.
Australia mengiktiraf kedaulatan Indonesia ke atas wilayah-wilayah Papua, seperti yang digariskan oleh Perjanjian Lombok antara Australia dan Indonesia pada 2006.
Susunan : Farris Hanafi
Sumber : Worldbulletin, JakartaGlobe [1][2]