Presiden Tunisia, Kais Saied, pada 25 Julai lalu mengumumkan penggantungan Parlimen negara ini dan pemecatan Perdana Menteri, Hichem Mechichi, berikutan insiden tunjuk perasaan terhadap parti pemerintah. Terdahulu, ribuan rakyat Tunisia turun ke jalanan untuk menyertai tunjuk perasaan di beberapa bandar dengan mendakwa parti pemerintah telah gagal, termasuk dalam menangani pandemik COVID-19 di negara Afrika Utara ini.
Di Tunisia, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan Parlimen sambil melaungkan slogan bantahan terhadap parti pemerintah, Ennahdha, serta Mechichi. Tunjuk perasaan turut dilaporkan di bandar Gafsa, Kairouan, Monastir, Sousse dan Tozeur.
Persoalannya, mengapa pentadbiran Ennahda ditentang keras oleh kelompok parti sekular di sana?
Pasca Arab Spring
Fasa selepas Arab Spring telah memperlihatkan Ennahda muncul sebagai aktor dominan dalam pentas politik Tunisia. Mereka telah berjaya mendapatkan 89 kerusi daripada keseluruhan 217 kerusi (41% undi) dalam pilihanraya parlimen. Pilihanraya ini adalah pilihanraya bersih dan adil pertama yang dijalankan selepas Tunisia beroleh kemerdekaan.
Menurut Shadi Hamid, Pengarah di pusat Kajian Institut Brookings kejayaan Ennahda ini mengejutkan ramai pihak kerana mereka tidak seperti gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang punya grassroot yang kuat dalam masyarakat serta diharamkan di bawah pemerintahan regim diktator Zine el-Abidine Ben ‘Ali, dan juga Bourgeba.
Ennahda pada ketika itu (pasca Arab Spring) perlu bijak membaca percaturan politik yang ada kerana mereka bakal berhadapan dengan tekanan yang sangat hebat sama ada tekanan dari dalam negara daripada kelompok masyarakat Tunisia sendiri yang terdiri daripada aktivis hak asasi, gerakan sivil, ahli akademik dan parti politik yang berideologi sekular ekstrem yang bukan sahaja anti Islam, tetapi juga anti Ennahda, mahupun tekanan di pentas politik antarabangsa yang bersifat “unipolar” di bawah “Pax-Americana” yang mahu memaksakan hegemoni demokrasi Amerika Syarikat terhadap Tunisia dengan memastikan Tunisia memerintah sebagaimana Amerika.
Dalam keadaan situasi genting ini Ennahdha telah membuat beberapa percaturan politik. Mengambil kira sosiologi masyarakat Tunisia serta tekanan-tekanan yang dihadapi daripada kelompok sekular ekstrem yang memainkan peranan penting dalam hal penggubalan dasar serta polisi negara, perkara pertama yang perlu mereka pertahankan adalah kedudukan Islam sebagai agama negara dalam Artikel 1 perlembagaan sebelum mengambil kira implementasi syariah secara total yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang syariah.
Budaya Sekular mengakar dalam Masyarakat
Menurut Shadi Hamid lagi, suasana sekular di Tunisia adalah terlalu ekstrem dan jauh lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan negara-negara di rantau Arab yang lain. Perkara ini jelas kelihatan melalui jalan-jalan di bandar Tunisia, proses peleburan identiti arab Muslim rakyat Tunisia itu berlaku dengan berjaya oleh penjajah Perancis. Pembaratan identiti atau westernization telah mempengaruhi setiap aspek kehidupan masyarakat Tunisia.
Hal ini dapat dilihat melalui gaya hidup yang kebaratan, berbangga menggunakan bahasa Perancis dalam perbualan, dan juga pandangan terhadap agama yang harus dipisahkan daripada negara dan ini selari dengan istilah laïcité, ataupun dikenali sebagai pemahaman sekular agresif Perancis. Ennahda dianggap pelik oleh kebanyakan masyarakat Tunisia, kerana membawa agama dalam amalan politik.
Kesan pasca revolusi Jasmin (nama lain bagi Arab Spring di Tunisia) ini memperlihatkan kecenderungan masyarakat yang mahukan kebebasan dalam kehidupan selepas menghadapi tekanan yang dahsyat di bawah pemerintahan rejim diktator Ben Ali. Tiada kebebasan dalam aspek kenegaraan termasuklah dalam amalan berpolitik. Pembolotan terhadap hasil ekonomi Tunisia melalui kroni-kroni telah menjadikan Tunisia tidak dapat berkembang maju. Amalan rasuah berlaku secara berleluasa. Mengembalikan kehidupan beragama tidak dapat diterima oleh masyarakat terutama perlaksanaan syariah dalam perlembagaan dan undang-undang negara.
Hal ini berlaku kerana rejim diktator telah memberi tekanan terhadap perkembangan Islam di bumi Tunisia. Sebagaimana Turki, masjid dan pusat-pusat pengajian agama telah ditutup, poligami telah diharamkan, hijab dilarang untuk dipakai di sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan, agamawan difitnah dan diburuk-burukkan melalui media massa yang telah dikawal oleh rejim diktator Ben Ali. Usaha terancang selama lebih 30 tahun ini berjaya membentuk pandangan masyarakat yang negatif terhadap Islam.
Bezanya, Tunisia ada beberapa kelebihan berbanding Turki jika mahu mengimplementasikan Islam dalam pemerintahan kerana disebut di dalam perlembagaan negara menyatakan bahawa Islam adalah agama negara, berbeza dengan Turki, Islam telah dibuang terus sebagai agama negara dan sekular telah digazetkan sebagai identiti baru negara. Ini menyukarkan proses mengembalikan Turki sebagai sebuah negara Islam. Golongan Islamis menempuh halangan yang lebih panjang. Menyedari kepentingan itu, Ennahda tampil mengemukakan beberapa strategi politik yang akan kita telusuri dengan lebih terperinci.
Gerakan Sekular/Civil Society didanai Amerika Syarikat mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat Tunisia.
Dalam satu kajian ringkas yang ditulis oleh Dr. K R Bolton seorang pengkaji politik antarabangsa telah menulis tentang Tunisian Revolt: Another Soros/NED Jack-Up?. Beliau dengan jelas menyebut campur tangan Amerika Syarikat dalam revolusi yang berlaku di Tunisia. Revolusi Jasmin menunjukkan corak yang sama dengan tema warna revolusi yang lain seperti “Green, Saffron, Velvet, Rose, Orange dan Tulip revolutions”.
Dr. K R Bolton menyebut, Soros melalui Open Society Institute dan Amerika Syarikat melalui NED (National Endowment for Democracy) terlibat langsung dalam perancangan meruntuhkan rejim diktator dan memastikan hagemoni Amerika Syarikat terlaksana di negara-negara yang menjadi sasaran mereka iaitu negara-negara Timur Tengah, Amerika Latin, Eropah Timur, Afrika dan juga negara-negara dunia ketiga.
Colin S Cavell menulis dalam bukunya Exporting Made in America Democracy – The National Endowment for Democracy & U.S Foreign Policy bahawa Amerika Syarikat semenjak kejatuhan Soviet pada 1991, telah mula meluaskan hegemoni mereka terhadap dunia melalui pakej kapitalisme (penjajahan ekonomi) dan juga demokrasi cara Amerika yang bergerak menyusup masuk ke dalam negara-negara sasaran8. Semasa pentadbiran rejim diktator Ben Ali, parti-parti politik sekular, gerakan sivil, kumpulan feminisme, NGO berideologi sekular telah berkembang dengan cukup pesat. Kebanyakan daripada NGO itu mendapat dana daripada Amerika Syarikat. Salah satu badan yang memberi dana kepada ngo-ngo sekular itu adalah NED.
NED diasaskan pada tahun 1983 yang melibatkan 10 daripada 22 orang lembaga pengarah NED juga adalah ahli lembaga pengarah Council on Foreign Relations (CFR). CFR merupakan badan pemikir yang merangka dasar luar untuk dilaksanakan oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui David Rockefeller Studies Program. Keanggotaan CFR termasuklah Carl Gershman seorang Yahudi Amerika, juga Presiden NED, Nadia Diuk, Naib Presiden, bagi program demokrasi di negara-negara Afrika, Eropah Tengah, Eurasia, Amerika Latin dan Caribbean, Louisa Greve, Naib Presiden program demokrasi di Asia, Timur Tengah, Afrika Utara dan kawasan serantau. Hillary Clinton dalam salah satu ucapannya mengakui keterlibatan CFR secara langsung dalam menentukan polisi luar kerajaan Amerika Syarikat.
Menurut Cavell lagi, pada tahun 2000, peruntukan yang diberikan kerajaan Amerika Syarikat kepada NED hanyalah 0.2% daripada keseluruhan jumlah dana luar Amerika Syarikat. Selepas 9/11, dana khas telah diberikan kepada negara-negara majoriti Muslim untuk melebarkan lagi hegemoni demokrasi sekular liberal Amerika Syarikat. Negara-negara itu termasuklah negara Timur Tengah, Afrika dan juga Asia. Organisasi-organisasi yang disenaraikan di bawah adalah penerima dana daripada NED di Tunisia bagi tahun 2009:
1. Al-Jahedh Forum for Free Thought (AJFFT) $131,000
Modus operandi Al Jahedh adalah untuk melahirkan kader muda, melalui bengkel intensif pembentukan kefahaman demokrasi gaya Amerika. Memupuk budaya demokrasi melalui forum, debat dalam hal isu-isu semasa, ceramah akademik tentang kefahaman Islam moderat, membicarakan polisi ekonomi awam, bedah buku dan modus ini adalah sama seperti yang digunakan oleh NED dan Soros dalam siri colour revolutions yang lain.
2. Association for the Promotion of Education (APES) $27,000
Untuk memperkukuhkan lagi, kompetensi guru-guru sekolah menengah di Tunisia dengan nilai civil dan demokrasi di dalam kelas. APES akan mengadakan seminar dan juga latihan untuk menerapkan pedagogi ilmu berteraskan toleransi, relativisme, pluralisme dalam sistem pendidikan menengah di Tunisia.
3. Mohamed Ali Center for Research, Studies and Training (CEMAREF) $33,500
Melatih aktivis pemuda Tunisia dalam soal kepimpinan, profesionalisme kerja dan melatih mereka untuk menjadi aktivis masyarakat, dan melatih lebih ramai pemuda seperti mereka dengan pelajaran-pelajaran dan nilai demokrasi acuan barat.
4. Moroccan Organization for Human Rights (OMDH) $60,000
Melatih aktivis pemuda Tunisia untuk mengerakkan masyarakat sivil. OMDH ini akan melatih 20 orang peguam Tunisia tentang cara bagaimana untuk membuat mobilisasi awam seperti rusuhan, rapat umum dan sebagainya. Dapat dilihat penglibatan secara terus Amerika Syarikat dan Israel terhadap situasi yang berlaku di Mesir melalui proksi-proksi dalam kalangan kelompok sekular dan liberal untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Dr Mursi. Dana NED juga disalurkan di Mesir.
Krisis dalaman Ennahda dan tekanan daripada Salafi
Krisis dalaman Ennahda terbahagi kepada kumpulan kiri (moderat) dan kanan (konservatif) di dalam parti. Krisis dalaman lebih berkait soal ideologi dan perlaksanaan manhaj kenegaraan antara golongan konservatif dan moderat dalam Ennahda. Golongan moderat dipelopori oleh Syeikh Abdul Fattah Moru tidak bersetuju untuk meletakkan undang-undang syariah sebagai rujukan kepada Artikel 1 dalam perlembagaan buat masa ini sementara golongan konservatif pula diwakili Habib Elouz dan Sadek Chorou mengundi untuk dimasukkan undang-undang shariah sebagai rujukan kepada Artikel 1 perlembagaan.
Jurang yang ketara antara dua blok ini semakin ketara, dan menyebabkan kestabilan parti tergugat dalam masa yang sama turut ditekan oleh kumpulan Salafi di Tunisia. Kelompok Salafi di Tunisia memberi tekanan kepada Ennahda dalam dua keadaan; 1) perdebatan Artikel 1, dan juga 2) penglibatan Ennahda secara demokrasi dalam politik Tunisia. Tekanan ini merumitkan lagi proses transisi sementara menunggu draf perlembagaan baru siap untuk digubal.
Kekacauan politik yang dicetuskan oleh pembangkang golongan kiri
Kekacauan politik terus memuncak di Tunisia apabila pembunuhan Mohamed Brahmi selaku ketua pembangkang di sana. Rakyat yang menyokong pembangkang mendesak agar Ennahda menyerahkan tampuk pemerintahan kerana tidak berupaya melindungi seteru politik mereka3. Pihak Salafi ekstremis dituduh sebagai dalang pembunuhan ini, tetapi berdasarkan dapatan yang agak konsisten, pembunuhan ahli politik, pergolakan dalam negara merupakan petunjuk awal Amerika Syarikat melalui CIA untuk mengambil alih pemerintahan negara.
Naom Chomsky menulis di dalam buku “What uncle SAM really wants” telah mendedahkan modus operandi Amerika Syarikat di negara-negara seperti perang saudara El Savador (1979-1992), Greece pada tahun 1947, Guatemala 1954, Iran 1953, Republic Dominic (1963-1965), Brazil 1964, Indonesia 1965 dan juga Chile, 19734.
Koalisi dengan parti politik sekular
Sukar bagi parti Islamis seperti Ennahda untuk memerintah negara yang sudah berakar dengan sekular. Dengan suasana negara yang tidak stabil pasca revolusi, banyak kemungkinan buruk boleh berlaku. Selepas memenangi 41% jumlah kerusi dalam pilihan raya parlimen yang berlangsung pada 23 Oktober 2011, Ennahda merangka strategi dengan mengambil kira tekanan-tekanan yang ada dari dalam mahupun luar negara. Koalisi yang dinamakan Troika ini adalah persepakatan bersama Ennahdha dengan dua lagi parti sekular iaitu, Congress for the Republic (CPR) yang memenangi 29 kerusi dan Democratic Forum for Labor and Liberties (Ettakatol) yang memenangi 20 kerusi. Koalisi itu memberikan jawatan presiden kepada Moncef Marzouki daripada CPR dan jawatan perdana Menteri kepada Hamdi Jebali juga merangkap setiausaha agung Ennahdha.
Mempertahankan kedudukan Islam dalam perlembagaan
Majlis perlembagaan Tunisia, atau Majlis Perlembagaan Negara (NCA) adalah badan yang bertanggungjawab bagi merangka perlembagaan Tunisia yang baru selepas kejatuhan Ben Ali. Perlembagaan baru ini siap dirangka selama 2 tahun, 3 bulan dan 3 hari yang mana bukanlah satu tempoh yang sekejap. Perlembagaan itu ditulis kembali huruf demi huruf dan artikel demi artikel. Penulisan ini menjadi tumpuan dan mendapat tekanan daripada masyarakat sivil, media dan komentator. Pelbagai tekanan tersebut benar-benar mencabar kerajaan pemerintah Ennahda dan mengganggu proses tersebut. Strategi dan solusi yang berkesan diperlukan untuk mempertahankan kedudukan Islam dalam perlembagaan seperti mana yang tertulis dalam Artikel 1 perlembagaan Tunisia sekali gus memastikan kestabilan negara pulih seperti sediakala. Secara ringkas, terdapat 4 isu utama yang diberi penekanan sepanjang proses penggubalan perlembagaan; 1) hubung kait antara agama dan negara, 2) kebebasan bersuara, 3) hak wanita dan juga 3) pemilikan kuasa sama ada kepada presiden atau majoriti parlimen.
Perlembagaan Tunisia masih mengekalkan identiti negara sebagai negara Islam melalui 3 peruntukan yang terdapat di dalam 1) Artikel 1 yang merujuk Islam agama negara, 2) Artikel 72 yang menyebut calon presiden mestilah seorang Muslim dan 3) Artikel 136, menyediakan perlindungan dengan menyatakan bahawa penggubalan undang-undang tidak boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kedudukan Islam sebagai agama negara. Selepas Ben Ali dijatuhkan dan Ennahdha memerintah, pengamalan Islam di ruangan awam semakin berkembang.
Walaupun begitu, undang-undang syariah tidak dapat dimasukkan ke dalam perlembagaan Tunisia, kerana mendapat tentangan yang kuat daripada kelompok-kelompok sekular di sana. Ketidakstabilan Tunisia dari aspek ekonomi yang mundur, rakyat tiada sumber pendapatan menyebabkan ramai yang berhijrah ke negara-negara berhampiran seperti Itali. Walaupun menghadapi tekanan yang kuat daripada pihak sekular, Ennahda mengambil langkah bijak dengan mempertahankan kedudukan Islam yang telah sedia ada dalam perlembagaan sebagai identiti negara. Hal ini kerana, jika kedudukan Islam ini digubal dan digugurkan daripada perlembagaan, maka proses islamisasi masyarakat di Tunisia akan menjadi semakin sukar.
Asyraf Farique
Ketua Editor Fokus & Penganalisis IRIS Institute