Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016: Polisi Timur Tengah yang Baru

 

candidate

Calon-calon Republikan bagi jawatan Presiden Amerika pada tahun 2016 mempunyai pandangan yang berbeza apabila ditanya tentang Timur Tengah dan pendapat-pendapat tersebut banyak mengetengahkan isu-isu berkaitan Iran dan ISIS. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ISIS membina hotel empat bintang di Syria dan ada juga yang mengatakan penduduk Iraq itu sendiri merupakan sekutu kepada ISIS yang merupakan musuh utama mereka.

 

Walau bagaimanapun, tiada seorang calon pun yang ingin mengulang sejarah yang dicipta oleh George W. Bush semasa pemerintahan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat. Bagi mereka, peperangan di Iraq dan promosi demokrasi di Timur Tengah merupakan suatu perkara daripada masa lampau. Calon-calon Republikan ini lebih fokus dalam mengakhiri status “frenemy” (friend and enemy) dengan Iran, memperbaiki hubungan dengan negara-negara GCC dan Israel serta menjatuhkan ISIS.

 

Dalam sesi debat beliau baru-baru ini, Jeb Bush dengan pendiriannya mengatakan bahawa dia sama sekali mempunyai pendirian yang berbeza daripada abang beliau iaitu George W. Bush yang semasa pemerintahannya telah melancarkan dua peperangan dan pada akhirnya meletakkan jawatannya pada tahun 2009, meninggalkan Amerika Syarikat yang ketika itu mengalami krisis ekonomi yang paling teruk selepas ‘The Great Depression’ di negara tersebut. Jeb Bush juga mengakui bahawa peperangan dengan Iraq itu adalah satu kesilapan.

 

Kesan daripada peperangan dengan Iraq dan krisis ekonomi tersebut telah memberi peluang kepada Rand Paul, ketua bahagian libertarian untuk parti Republikan, untuk mengusulkan usul pengasingan kepada Timur Tengah menerusi dasar luar negara itu. Pengasingan yang dimaksudkan oleh Rand Paul termasuklah menghentikan bantuan ketenteraan kepada sekutu-sekutu Amerika Syarikat, bantuan senjata kepada kerajaan Iraq serta sokongan mereka kepada pemberontak Syria. Menurut Rand Paul, senjata yang dibekalkan kepada Baghdad berkemungkinan besar dirampas oleh ISIS. Beliau tidak mahu Amerika Syarikat menjadi sumber bantuan kepada musuh mereka.

 

Tindakan Presiden Barack Obama sebagai orang yang bertindak di belakang Libya dan Syria turut dikritik. Hilary Clinton yang merupakan calon daripada Parti Demokratik, menegaskan bahawa sikap pasif di Syria merupakan penyebab kenaikan ISIS. Idea tersebut sama sekali tidak memaparkan fikiran seorang ahli Parti Demokratik, menurut Schanzer menandakan bahawa idea Hilary Clinton berkemungkinan besar mempunyai pemikiran yang sama dengan calon Republikan yang lain.

 

Walaupun ramai antara calon-calon GOP tidak bersetuju dengan gerakan ketenteraan di Iraq atau idea mewujudkan zon selamat di Syria, mereka sebulat suara bersetuju dalam menolak perjanjian dengan Iran. Trump mengatakan bahawa perjanjian tersebut akan menjadikan Amerika Syarikat sebagai bahan ketawa orang-orang Iran. Kenyataan Trump itu, walau bagaimanapun, tidak mampu menandingi kenyataan oleh Mike Huckabee yang mengatakan bahawa Obama sedang membawa Israel ke arah kehancuran. Sementara itu, kata sepakat masih belum dapat dicapai antara calon tentang bila dan bagaimana caranya untuk mereka menghentikan perjanjian dengan Iran.

 

Isu perjanjian ini, menurut Schanzer, akan menjadi satu beban kepada bakal Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 nanti. Pelbagai persoalan akan dikemukakan, lebih-lebih lagi jika perjanjian ini gagal. Tugas presiden yang baharu dalam mengimbangkan semula peranan Amerika Syarikat di Timur Tengah akan menjadi suatu cabaran.

 

Terjemahan: Shamimi Amlee

Sumber: al-Arabiya

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh (Siri 2)

Next Post

Hubungan Mesir-Israel Semakin Erat Sejak al-Sisi Memerintah

Related Posts
Skip to content