Pilihanraya Turkiye 2023: Pemimpin Seterusnya Mungkin Pro-Barat Tetapi Bukan Anti-Rusia

Sumber: Financial Times

Majlis perasmian loji kuasa nuklear pertama Turkiye menyaksikan Vladimir Putin menyifatkan projek itu sebagai projek flagship dalam mengukuhkan hubungan Rusia-Turkiye, yang merupakan sentimen yang diuar-uarkan oleh presiden Turkiye, Recep Erdoğan dengan merujuk kepada loji itu sebagai ‘pelaburan bersama terbesar’ dengan Rusia.

Projek bernilai $20 bilion ini sedang dibina – dan dimiliki untuk 25 tahun pertamanya – oleh syarikat tenaga Rusia, Rosatom dengan syarikat Turkiye, Akkuyu sebagai operator tempatan. Putin mendakwa bahawa ini adalah ‘projek pembinaan nuklear terbesar di dunia’ – tetapi masa pelancarannya juga patut diberikan perhatian.

Perasmian itu berlangsung menjelang pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye, dan umum mengetahui bahawa Rusia lebih cenderung untuk Erdoğan menang. Calon pembangkang, Kemal Kilicdaroglu telah menggesa Rusia supaya tidak campur tangan dalam pilihan raya – melalui kempen propaganda dan video palsu – jika mereka mahu mengekalkan persahabatan selepas pilihan raya.

Tiada pemimpin Turkiye yang berjaya mempunyai hubungan rapat dengan Rusia seperti Erdoğan, walaupun hampir semua pemimpin Turkiye telah meneroka bidang kerjasama dan hubungan dengan Moscow – walaupun semasa zaman kegemilangan Perang Dingin, Ankara bekerjasama dengan Moscow dalam industri berat.

Tetapi semua kerjasama sebelum ini terhenti daripada melibatkan bidang strategik seperti industri pertahanan dan geopolitik – dan inilah sebabnya Erdoğan berbeza.

Hubungan peribadi yang mengekalkan diplomasi yang lebih erat

Hubungan Turkiye-Rusia memasuki era baharu selepas 2016, didorong oleh keperluan geopolitik dan berkongsi protes terhadap Barat, dan disokong oleh hubungan peribadi yang kukuh antara Erdogan dan Putin. Walaupun sukar untuk membezakan antara hubungan Ankara-Moscow dan Erdoğan-Putin, adalah jelas bahawa inisiatif peribadi kedua-dua pemimpin tersebut adalah kunci bagi hubungan kedua-dua negara tersebut.

Bagi industri pertahanan, Turkiye telah membeli sistem peluru berpandu S-400 buatan Rusia, yang mendorong AS mengenakan sekatan Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA) dan penyingkiran Ankara daripada program jet pejuang F-35.

Bagi kerjasama geopolitik, Ankara dan Moscow telah terlibat dalam pengurusan konflik serantau, dari Syria, ke Libya, dan Nagorno-Karabakh. Krisis Syria terutamanya telah menjadi nadi dalam pembentukan hubungan semasa Turkiye-Rusia.

Proses Astana – yang dilancarkan oleh Moscow, Ankara dan Tehran pada 2016 telah mengenepikan proses Geneva yang diketuai PBB dan mereka bentuk semula peta ketenteraan Syria. Kini terdapat mesyuarat kuartet antara Turkiye, Rusia, Iran dan Syria yang bertujuan untuk merangka jalan untuk menormalisasikan hubungan Ankara-Damsyik, dan Moscow telah meletakkan dirinya sebagai perunding dalam proses ini.

Kemenangan pembangkang tidak akan mengubah pendekatan perdagangan Turkiye

Sekiranya pembangkang menang, berkemungkinan berlaku perubahan dalam kerjasama industri pertahanan yang mana Turkiye akan mengelak daripada membenarkan tindakan tertentu daripada Rusia.

Selain itu, kerjasama mengenai krisis serantau tidak akan menjadi keutamaan memandangkan pihak pembangkang tidak mempunyai hubungan antagonis dengan rejim Assad seperti yang dilakukan oleh kerajaan Erdogan, maka Turkiye tidak akan memerlukan Moscow sebagai perantara dengan Damsyik. Walau bagaimanapun pihak pembangkang mungkin masih perlu melibatkan diri dengan Rusia berkenaan dengan kehadiran tentera Turkiye di utara Syria.

Sekiranya pihak pembangkang berkuasa, Ankara masih tidak akan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia. Tetapi kuasa itu akan lebih tegas dalam mematuhi sekatan antarabangsa terhadap Rusia lantas mengurangkan prospek Moscow untuk mengelak sekatan melalui Turkiye.

Rakyat Rusia masih membentuk kumpulan pelancong terbesar di Turkiye, dan Ankara mahu mengekalkan trend ini. Terdapat makluman bahawa terdapat sistem pembayaran baharu untuk memudahkan pelancong Rusia apabila bank Turkiye menerima sistem pembayaran Mir Rusia untuk memudahkan urusan perdagangan dan pelancongan.

Tetapi disebabkan oleh tekanan antarabangsa, terutamanya dari AS, menyaksikan bank swasta seterusnya bank awam Turkiye bertindak menarik diri daripada sistem itu. Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada Ankara dan Moscow akan berjaya menemui dan mempertahankan sistem bayaran yang baru. Sekiranya pihak pembangkang menang, Ankara mungkin akan mengelak daripada mencipta sistem alternatif yang sedemikian.

Apa yang pasti ialah pihak mana yang memenangi pilihan raya Turkiye esok akan berusaha untuk mengekalkan hubungan ekonomi yang kuat. Justeru, tidak mungkin Turkiye akan, secara aktif menyertai sekatan antarabangsa – sebaliknya kuasa itu akan terus memanfaatkan dan mengambil keuntungan daripada pengasingan Barat terhadap Rusia.

Sumber: Chatham House

Diterjemah dan disunting oleh:
Hanis Noor
Ketua Editor Fokus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Projek Pulau Pinang Selatan: Pembinaan 2 Pulau Dibatal, Hanya ‘Silicon Island’ Diteruskan

Next Post

Bagaimana ‘Nine Cardinal principles’ Menyediakan Sarawak Untuk Tadbir Urus Sendiri

Related Posts
Skip to content