Anjakan strategi ke arah kerjasama yang lebih kuat antara China dan Rusia baru-baru ini ternyata mampu memberi cabaran sengit buat Amerika Syarikat. Malah konflik yang berlaku di Laut China Selatan memberi gambaran jelas kepada masyarakat dunia bahawa China dan Rusia kini lebih serius dalam hubungan diplomatik mereka.
Hal ini dibuktikan dengan lawatan Xi Jinping, Presiden China ke Moscow awal bulan lepas yang menyaksikan beliau telah dijemput sebagai Tetamu Kehormat dalam Moscow’s Victory Parade. Malah, selang beberapa hari selepas lawatan tersebut, China dan Rusia memulakan latihan ketenteraan laut bersama di Lautan Mediterranean.
Latihan selama sepuluh hari itu berjaya membuktikan bahawa China mampu menyaingi Amerika Syarikat dalam pengaruh ke atas perairan antarabangsa apabila latihan tersebut dilakukan di Laut Mediterranean yang menghubungkan Eropah, Afrika dan Timur Tengah. Bahkan tindakan mereka itu memberi petanda kepada Amerika bahawa China juga mampu meluaskan pengaruh ketenteraannya sehingga ke perairan Eropah, sama seperti apa yang telah dilakukan musuhnya itu di Asia Pasifik.
Namun, mari kita lihat apa persamaan kedua-dua buah negara ini; China dan Rusia sehingga mereka kini selesa duduk semeja.
- Kedua-duanya adalah negara yang berpaksikan kepada satu parti politik yang melihat Amerika Syarikat sebagai ancaman kepada kuasa dunia mereka.
- Mereka juga berkongsi matlamat yang sama dalam menuntut hak ke atas negara-negara berhampiran mereka, serta mengadakan hubungan diplomasi secara senyap dalam menjayakan matlamat mereka yang sama dalam menguasai kawasan seperti Ukraine, Tibet, Jepun, dan Filipina.
- China dan Rusia turut bersama-sama dalam usaha meningkatkan perbelanjaan ketenteraan dan pertahanan mereka, sedangkan sekutu NATO mereka sedang dalam usaha mengurangkan perbelanjaan tersebut.
- Kedua-dua negara juga merupakan ahli dalam kumpulan pasaran BRICS, Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB), dan Shanghai Cooperation Organization (SCO).
Maka, tidak hairanlah jika China memilih untuk bekerjasama dengan Rusia kali ini, walaupun sejarah ada mencatat berlakunya perpisahan Sino-Soviet pada era pemerintahan Jeneral Mao. Namun, melihatkan kepada manfaat yang bakal China peroleh daripada hubungan mereka, kini sejarah silam bukan lagi penghalang. Antara manfaat yang bakal China peroleh daripada hubungan diplomatik ini adalah:
1. Rusia memberi laluan buat China dalam menguasai Lautan Mediterranean dengan melihatkan kepada tuntutan yang tinggi negara ini terhadap sumber tenaga, perairan Mediterranean yang memiliki 70 peratus sumber tenaga dunia pasti menjadi rebutan China.
2. Perairan ini juga menyokong hasrat China dalam mengembangkan pasarannya, serta membantu mereka dalam strategi ekonomi dan kepentingan mereka ke luar Asia dan menembusi pasaran ke kawasan timur Eropah, kawasan utara Afrika, dan Teluk Parsi.
3. Perairan ini juga merupakan penamat China’s New Silk Road di sebelah Barat dan dengan menguasainya syarikat-syarikat kepunyaan China dapat meluaskan pasaran merentasi Asia Tengah dan menembusi Eropah dan Timur Tengah. Malah, China sudahpun memulakan langkah dengan membina laluan keretapi yang menghubungkan Tel Aviv dan Haifa di perairan Mediterranean ke Eilat, kawasan utara yang cukup strategik dan penting untuk Laut Merah, satu lagi laluan yang menghubungkan tiga benua penting.
4. Langkah China tidak terhenti sampai situ sahaja, mereka juga telah memajukan pelabuhan Sudan di Afrika bagi membangunkan kemudahan perkapalannya di Laut Merah, Afrika Timur dan kawasan Horn of Africa.
5. Maka, dengan kukuhnya hubungan China dengan Rusia kini, mereka dapat memastikan China mampu bersaing dengan tentera laut negara Barat yang lain di Lautan Mediterranean.
6. Selain dari laluan ke pasaran Eropah, China juga berminat dengan sumber minyak di Kazakhstan, sumber mineral milik Kyrgyzstan, dan gas asli keluaran Turkmenistan. Maka, dengan adanya hubungan ini ia mampu memberi sebab kepada China untuk menumpukan pelaburannya di Asia Tengah yang merupakan jaringan kepada sumber-sumber tersebut.
7. China turut membina laluan paip gas yang menghubungkan negara itu dengan Asia Tengah yang mana bermula di Turkmenistan dan melalui Uzbekistan, Kyrgyzstan, dan Kazakhstan, sebelum berakhir di wilayah Barat daerah Xinjiang yang terletak di utara-barat China.
8. Tahun lepas sahaja, China telah memulakan kerja membina laluan gas dari Tajikistan ke Xinjiang, yang bakal menyalurkan sumber minyak Kazakhstan ke daerah tersebut.
Mungkin atas sebab itulah China masih berkeras dan terus melakukan penindasan terhadap kaum minoriti Muslim Uighur di daerah Xinjiang hanya kerana risaukan kepentingan sumber tenaga mereka bakal diganggu gugat.
Rujukan: The Diplomat