Rohingnya: Mangsa Percaturan British dan Burma

Kebelakangan ini, negara kita kembali dikejutkan dengan isu pelarian Rohingya yang terkandas di dalam bot dan dibiarkan hanyut tanpa bekalan air dan makanan yang mencukupi. Ramai tertanya-tanya mengenai cerita sebenar di sebalik isu Rohingnya di Myanmar ini.

1

Pelarian Rohingnya yang tidur dalam keadaan bersesak-sesak setelah diselamatkan oleh pihak berkuasa Acheh Darussalam.

Berlaku pertikaian mengenai susur-galur etnik Rohingnya di wilayah Arakan. Ahli sejarah yang memihak kepada etnik Rakhine menyatakan bahawa etnik Rohingnya tidak pernah muncul dalam lipatan sejarah di Myanmar. Malah, ada pendapat juga mengatakan pecahan etnik Rohingnya langsung tidak wujud dalam banci yang dibuat oleh penjajah British pada 1824.

2

Wirathu, ketua sami Buddha yang ekstrem dan anti-muslim Rohingnya

Bertitik-tolak daripada kefahaman bahawa etnik Rohingnya berniat untuk merampas tanah milik Buddha Rakhine, beberapa siri keganasan telah dicetuskan oleh mereka. Wirathu, yang merupakan simbol kepada perasaan kebencian terhadap masyarakat Muslim di Myanmar telah bertanggungjawab sebagai batu api kepada serangan dan penganiayaan Buddha Rakhine kepada etnik Muslim Rohingnya. Akibat ucapan ekstremis Wirathu, wilayah Arakan telah bergolak dan menyebabkan kematian hampir 200 orang dan 100,000 hilang tempat tinggal. [1]

Konflik membabitkan etnik Rohingnya juga telah menyebabkan kerajaan Myanmar bertindak mengalihkan laluan paip gas daripada Myanmar ke wilayah Kolkata di India melalui laluan yang lebih singkat, iaitu, melalui perairanMaungdaw dan Teknaf, kepada laluan yang sangat panjang merentasi kawasan pergunungan di Utara Arakan,Mizoran dan Tripura yang terletak di Timur laut India. [2] Hal ini tidak lain tidak bukan kerana kegagalan mereka mengatasi pergolakan di wilayah Arakan.

Siapa Etnik Muslim Rohingnya?

Konflik ini secara permukaannya boleh dilihat melalui kemunculan majoriti masyarakat Rohingnya di wilayah Arakan, bahagian barat laut Myanmar. Konflik ini secara asasnya boleh dipertanggungjawabkan di atas tindakan koloni British di wilayah Burma (Myanmar), yang telah secara sengaja melepaskan wilayah Arakan yang dihuni majoriti Rohingnya kepada Burma. Hal ini secara rasminya terjadi selepas Burma diberikan kemerdekaan pada tahun 1948.

Wilayah Arakan yang sebelum ini dikenali sebagai Rohang, terletak di barat laut Myanmar. Wilayah ini berkongsi sempadan laut dan darat dengan Negara Bangladesh sepanjang hampir 269km. Masyarakat Rohingnya hidup sebagai golongan majoriti di wilayah Arakan bersama masyarakat Buddha Rakhine dan orang Burma yang lain. Walaupun begitu, etnik Rohingnya langsung tidak diiktiraf oleh kerajaan Junta dan dianggap pendatang haram yang datang semasa pemerintahan koloni British.

‘In the time of the British government, it was that the British brought Bengalis and Indians of India (now Pakistan, India and Bangladesh) into the nation with various intentions. ….The British ruled Rakine State (Arakan) for 123 years from 1827 to 1948. During that period, Bengalis entered the nation en masse.’

(The New Light of Myanmar, 30 Januari 2009).

3

Kedudukan wilayah Arakan yang terletak di antara Bangladesh dan Myanmar

Pada hakikatnya, masyarakat Rohingnya  merupakan penduduk asal di Wilayah Arakan. Ini dapat dilihat menerusi pengiktirafan oleh kerajaan Burma sebelum tahun 1962, iaitu sebelum dikuasai oleh Junta Tentera yang dipimpin oleh Ne Win. Selain itu, terdapat pengkaji sejarah yang menyatakan susur-galur etnik Rohingnya ialah daripada masyarakat Arab yang terdampar di Pulau Ramree sejak abad ke-8 M lagi. .

Bukti lain yang menyokong bahawa etnik Rohingnya adalah penduduk asal di sana ialah dengan penggunaan Bahasa Rohingnya sebagai Bahasa pertuturan utama di sana, digunakan oleh etnik Rohingnya dan Buddha Arakan. Wilayah Arakan juga memiliki kerajaan tersendiri dan hanya mula berada di bawah cengkaman Kerajaan Burma (Myanmar) pada tahun 1784. [3] Di samping itu, etnik Rohingnya dikatakan telah wujud sebelum penubuhan kerajaan dinasti Mrauk-U yang berkuasa di Arakan sekitar tahun 1430 sehingga 1785. Dinasti ini memperlihatkan pengaruh Islam yang dapat dibuktikan melalui nama Raja-raja yang memerintah. Antaranya ialah seperti, Ali Khan Meng Khari (1434-1459), Ilias Shah Kasabadi (1523-1525) dan Jalal Shah Meng Saw Oo (1525). [4]

Percaturan Jahat British

Bahagian utara Arakan sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada wilayah Bengal (Bangladesh) semasa pemerintahan British-India. Sempadan yang ditetapkan hari ini sebenarnya telah diubah semasa Burma dipisahkan daripada British-India. [4] Tahun 1937 adalah waktu yang amat kritikal dalam isu Rohingya yang berlaku sehingga ke hari ini. Ini adalah tahun di mana berlaku pemisahan Burma dan British-India dan wilayah Arakan yang dihuni oleh majoriti etnik Muslim Rohingnya dipisahkan daripada pemerintahan British-India yang menjadikan mereka terpisah dengan penduduk di wilayah-wilayah Bengal yang jauh lebih rapat dengan mereka.

Malah, etnik Rohingnya pernah menghantar wakil mereka untuk berjumpa dengan presiden Pakistan, Muhammad Ali Jinnah untuk meminta beliau memasukkan Arakan menjadi sebahagian wilayah Pakistan yang baru merdeka. Walaubagaimanapun, usaha ini gagal dan Arakan terus berada dalam cengkaman Burma (Myanmar).

Semasa British menguasai wilayah Arakan, wilayah itu padat dengan penduduk. Potensi Arakan sebagai tempat pertanian telah mendorong Syarikat India Timur British yang telah berpengaruh di kawasan Bengal untuk mengeksport orang Bengal khususnya di wilayah Chittagong di Timur Bengal ke wilayah Arakan. Hal ini menjadi lebih mudah kerana pada masa itu tiada sempadan antarabangsa yang jelas antara Bengal dan Arakan. [3] Faktor seperti upah yang lebih tinggi di Arakan berbanding upah di Bengal telah menggalakkan penghijrahan tersebut.

Pendudukan Jepun di Arakan (1942-1945) menjadi antara punca yang menyumbang kepada pergolakan antara etnik Muslim Rohingnya dan Buddha Rakhine. Tindakan Jepun yang memberikan senjata kepada Buddha Rakhine untuk menentang British telah menyemarakkan api permusuhan dengan Muslim Rohingnya. Ini adalah kerana British telah bertindak dengan mempergunakan Muslim Rohingya sebagai benteng untuk mempertahankan serangan oleh Buddha Rakhine. British pernah berjanji untuk mengiktiraf penubuhan wilayah Rohingnya yang tersendiri, namun tidak pernah ditunaikan.

Konflik antara Muslim Rohingnya dengan Buddha Arakan tidak menghalang kerajaan U Nu yang memerintah Myanmar selepas kemerdekaan 1948 sebagai salah satu etnik rasmi di Myanmar. Pemisahan Burma (Myanmar) daripada British India telah menyaksikan pertumpahan darah etnik Rohingnya yang berterusan sehingga ke hari ini.  Operasi yang bertujuan untuk menghapuskan dan menghalau etnik Rohingnya termasuklah Operasi Pogrom (1942), Operasi Dragon King (1978) dan Operasi 1991/92. [4]

Hari ini, terdapat hampir 52 juta penduduk Myanmar.  Daripada jumlah tersebut, 3.5 juta daripada mereka adalah orang Rohingnya di wilayah Arakan. Tekanan berterusan oleh Kerajaan Myanmar semenjak tahun 1948 telah menyebabkan lebih 1.5 juta etnik Rohingnya lari meninggalkan Myanmar, khususnya dari wilayah Arakan. Tahun 1974, secara rasminya kerajaan Myanmar dibawah pimpinan Ne Win menafikan hak kerakyatan etnik Rohingnya. [2] Semenjak dari itu, etnik Rohingnya menjadi mangsa tekanan politik, eksploitasi ekonomi dan keganasan perkauman di bumi yang mereka duduki berabad-abad lamanya. [4]

Pengajaran Serupa di Tanah Melayu

Isu Rohingnya bukanlah isu yang tersendiri atau hanya satu-satunya isu yang berlaku. Tanah Melayu turut menjadi mangsa percaturan oleh penjajah British. Kehilangan Wilayah besar Patani pada hari ini masih dirasai, terutamanya oleh orang-orang Melayu yang masih kuat jati dirinya di sana. Penjajah seperti British mempunyai agenda untuk mengawal tanah jajahannya, hatta selepas mereka secara rasminya dimerdekakan. Konflik yang berterusan akan menjadikan kehadiran dan pengaruh mereka sebagai keperluan yang tidak boleh ditolak.

Kesultanan negeri Kedah yang pernah gemilang suatu ketika dahulu turut dicaturkan oleh Siam dan British. Sejarah telah mencatatkan tindakan kerajaan Thai dinasti Chakri yang  telah bertindak memecahkan pentadbiran negeri Kedah dengan memisahkan wilayah Satun daripada Kedah. Antara tujuan utama pemecahan negeri-negeri Melayu ini ialah supaya mereka akan menjadi lemah dan mudah dikawal oleh Siam.

4

Peta Negeri Kedah tahun 1909M. Wilayah Satun (Muang Satun) yang asalnya di bawah kesultanan Melayu Kedah  berada di bawah penguasaan Thailand pada hari ini.

Selepas serangan Siam, kesultanan Kedah kembali berkuasa menjelang tahun 1842. Walaupun begitu,  wilayah-wilayah asal kekuasaan Kedah telah dipecahkan menjadi Kedah, Perlis, Kubang Pasu dan Setul. [5] Hari ini, wilayah Setul (Satun) yang asalnya berada di bawah kedaulatan Sultan Kedah telah jatuh di bawah penguasaan Thailand.

Kesimpulan

Isu Rohingnya tidak sekadar difahami dengan isu keganasan Buddha Rakhine terhadap etnik Muslim Rohingnya. Sebaliknya, catatan sejarah telah membawa bukti percaturan yang jelas antara penjajah dan pihak yang diberikan kuasa selepas mereka merdeka. Jika di Rohingnya, jelas mereka dicaturkan oleh British sehingga menjadi mangsa kezaliman Buddha Rakhine. Manakala, di Tanah Melayu, daerah Satun yang majoritinya ialah penduduk Melayu Kedah, telah dikuasai oleh Siam. Kedua cerita ini berkongsi skrip yang sama, tidak jauh berbeza seperti mana nasib umat Islam yang menjadi huru-hara akibat percaturan British seperti Puak Kurdish di Iraq, Turki, Iran dan Afghanistan.

 

Fahmi Bahrudin, Penganalisis IRIS Institute

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia Temui Kubur yang Dipercayai Tertanamnya Pelarian Rohingya dan Bangladesh

Next Post

Amerika Syarikat Beri Dana, Bantu Suu Kyi Hapus Rohingya?

Related Posts

Pivot 2.0

CSIS (Centre for Strategic & International Studies) pada awal tahun ini mengeluarkan dokumen bertajuk “Pivot 2.0” menyenaraikan peluang…
Read More
Skip to content