Sejarah Pendidikan Cina di Malaysia

Satu abad yang lalu, China merupakan negara yang miskin dan mundur ditadbir Dinasti Manchu yang dilanda pelbagai krisis kepimpinan. Keadaan di negara China pada ketika itu menyebabkan migrasi luar biasa rakyat China ke Asia Tenggara.

Penjajah kolonial British dengan rakusnya mengeksploitasi sumber tempatan dan memerlukan kuli pekerja yang banyak. Sekali gus  memberi ruang kepada puluhan ribu orang Cina mengambil bahagian didalam projek penjajahan British dan membentuk diaspora dengan misi hidup yang pelbagai.  

Hal ini mendapat perhatian Wang Gungwu, seorang pengkaji yang tidak asing dalam kajian diaspora Cina menyatakan bahawa kecinaan diaspora di Asia Tengara mempunyai dua karekteristik iaitu pendidikan dan ekonomi. Beliau percaya selagi mana Cina didalam sesebuah negara dijamin hak pendidikan, hak perundangan dan hak yang melindungi status minoriti, mereka kebal terhadap bangsa lain (Gungwu, 1991). Kajian Bhattacharya (2009) pula menunjukan bahawa kedatangan diaspora Cina ke sesebuah negara mendatangkan kesan hybrid kepada identiti diaspora mengikut 3 perspektif iaitu beridentitikan negara asal, beridentitikan tempat tinggal serta beridentitikan diaspora itu sendiri. Menerusi dua kajian ini, ianya memberi memberi indikator bahawa pendidikan dan identiti orang Cina adalah ciri intergral dalam pembinaan bangsa mereka.

Menelusuri garis masa sejarah, Pendidikan orang Cina mengalami evolusi dan bersifat resilient meskipun berhadapan dengan tekanan untuk berasimilasi dengan dasar pendidikan tempatan. British pada awalnya hanya melihat orang Cina sebagai kuli dan bangsa pendatang menyebabkan British berlepas tangan terhadap pendidikan Cina dan berangapan bahawa ia bukanlah satu dasar yang baik bagi kerajaan untuk memberi pelajaran kepada anak anak penduduk sementara yang asing (Cina) dalam bahasa ibunda mereka (Ariffin, Kamaruddin, & Jusoh, 1985). Perkembangan pendidikan Cina memberi kebimbangan kepada British kerana ia akan menimbulkan perasaan untuk mengasingkan diri mereka dengan penduduk asal Tanah Melayu serta menimbulkan anggapan bahawa negeri China dan India masih sebagai tanah air mereka dan taat setia mereka bukan terhadap Tanah Melayu (Board of Education., 1905). Meskipun berhadapan dengan dilema oleh pentadbiran kolonial, pendidikan Cina menerusi institusi pendidikannya tetap bergerak aktif.

Pada tahun 1911 ketika di era kemunculan Republik China yang baru ditubuhkan, kerakyatan Cina menjadi isu intergral kerana perlembagaan Republik China memperuntukan bahawa setiap bangsa Cina adalah warganegara China tanpa mengira tempat lahir. Situasi ini mendatangkan kesan domino apabila kerajaan China telah menghantar wakilnya untuk menyelia sekolah Cina di Tanah Melayu dan memperkenalkan sistem bantuan (Purcell, 1948). Kempen bahasa kebangsaan Cina juga digerakan dengan mengunakan bahasa Mandarin, menjadikan sekolah Cina sebagai ladang subur perkembangan politik Cina yang bernaung di bawah kerajaan Komunis dan bersikap anti-British. Sebagai respon kepada pergerakan pendidikan Cina, British memperkenalkan Ordinan Pendaftaran Sekolah 1920. Ordinan ini memberi kuasa kepada British untuk menutup sekolah yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bangsa Cina menentang ordinan ini dan menghantar petition kepada kerajaan British di Tanah Melayu dan Pejabat Luar Negeri di London bagi memansuhkan ordinan tersebut. Meskipun ordinan tersebut bersifat kuku besi, ia adalah satu pengiktirafan oleh British mengenai status pendidikan orang Cina di Tanah Melayu kerana ordinan tersebut akan memastikan semua sekolah Cina berkeadaan baik dan guru-gurunya akan diberikan latihan yang berkesan agar guru-guru yang bakal disediakan ‘tidak bertentangan dengan minat kerajaan kolonial’ (Ee, 1997).

Bagi sebuah negara yang baru hendak merdeka, memiliki sifat kebangsaan yang jelas adalah satu prasyarat pembinaan negara. Disebabkan negara Malaysia by design adalah sebuah negara yang berbilang kaum, asimilasi budaya adalah sesuatu yang perlu kerana ia adalah satu jaminan keselamatan terhadap perpaduan kaum. Namun mengasimilasikan kaum Cina menerusi pendidikan bermakna satu ancaman terhadap jati diri bangsa Cina. Menyebabkan pluralisme pendidikan adalah sesuatu pilihan yang lebih adil mengikut perspektif bangsa Cina.

Pada pandangan yang lebih menjurus, memencilkan pendidikan dan bahasa Cina adalah satu bentuk penindasan kaum majoriti dan Bahasa Cina adalah bahasa yang mempunyai nilai ketamadunan yang telah hidup dizaman lampau. Hal ini menyebabkan penentangan terhadap laporan Barnes. Laporan Barnes  1951 yang menyeru kepada pemansuhan sekolah vernakular dan mengantikannya dengan sekolah kebangsaan dengan mengunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Perkara ini ditentang kuat oleh bangsa Cina dengan membentuk kekuatan sosial yang menjadi tunjang kepada pendidikan Cina sehingga ke hari ini iaitu Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Se-Malaya (Jiao Zong). Jiao Zong ditubuhkan dengan tiga misi utama iaitu mengembangkan budaya Tionghua dan memelihara pendidikan Cina, bekerjasama dengan pihak kerajaan dan bersama sama memajukan pendidikan Cina dan menjaga kepentingan dan meningkatkan taraf hidup golongan guru sekolah Cina (Jioa Zong, 1987).

Pada peringkat awal, Malayan Chinese Association (MCA) menjadi jambatan penting diantara Jiao Zong dan kerajaan pada ketika itu. Kerjasama MCA dan Jiao Zong akhirnya membentuk Malayan Chinese Association Chinese Education Central Comittee (MCACECC) pada 1952. Kerjasama ini menjadi pertahanan paling ampuh bangsa Cina terhadap 3 cubaan asimilasi budaya iaitu Laporan Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Kertas Putih 1954. Gabungan Persatuan Lembaga Pengurrus Sekolah-sekolah Cina Persekutuan Malaya (Dong Zong) juga ditubuhkan melalui MCACECC pada tahun 1953. Tan Cheng Lock pada ketika itu menjadi president MCA menyebut “The MCA would definitely support the cause of Chinese education. … Those who did not support it were not Chinese.” (Ee, 1988).

Fleksibiliti perjuangan pendidikan Cina mempamerkan sisi resilient pada tahun 1954 apabila Jiao Zong mengeluarkan deklarasi untuk membantu mana mana parti atau calon persendirian yang sanggup menolong Jiao Zong mencapai matlamatnya iaitu memperjuangkan pendidikan sama rata bagi pendidikan Cina dan menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi (Jioa Zong, 1987).

Pendidikan Tinggi

         Pada tahun 1967 sistem pendidikan Cina seterusnya mengalami evolusi apabila bangsa Cina melancarkan kempen untuk menubuhkan Universiti Merdeka, sebuah universiti yang mengunakan bahasa mandarin sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun usaha itu gagal kerana ia bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa bagi sesebuah universiti yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti, baik universiti swasta mahupun universiti awam   ia merupakan badan awam dan dengan ini ia perlu mengunakan bahasa Melayu dalam tujuan rasminya (Azlan Shah, 1986).

Pada tahun 1997, ditengah kancah krisis kewangan negara serta perpecahan UMNO, Dong Jiao Zong telah menghantar permohonan untuk menubuhkan sebuah kolej swasta yang bernama Kolej New Era.  Keong (2013) memperihalkan proses penubuhan tersebut dengan menyatakan “ permohonan penubuhan Kolej New Era tiba- tiba menjadi mudah dan licin”. Menteri Pendidikan pada ketika itu ialah Dato Seri Najib Bin Abdul Razak dan Timbalan Menteri Pendidikan ialah Tan Sri Fong Chan Ong (MOE, 2017).

Meskipun Kolej New Era mematuhi peraturan yang dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia namun ia perlu menyuaikan diri sebagai institusi pengajian tinggi swasta dengan mengunakan bahasa Cina sebagai bahasa pentadbiran dan perhubungan serta mewujudkan persekitaran yang mengutamakan budaya Cina (Keong, 2013). Secara tidak langsung, perjuangan pendidikan Cina untuk mewujudkan satu sistem pendidikan lengkap berteraskan kebudayaan Cina telah berhasil dengan usaha selama 40 tahun semenjak merdeka.

Tuntutan Suqiu dan Pakatan Rakyat

Ketika perpecahan politik Melayu masih belum reda, pada tahun 1999 perjuangan pendidikan Cina kian mencengkam melalui  tuntutan kumpulan Suqui. Kumpulan ini mengeluarkan 83 tuntutan yang pelbagai dan dipersetujui lebih 2095 buah persatuan Cina di Malaysia. Antara tuntutannya dilihat bakal mengancam kedudukan bumiputera ialah

  1. Tindakan affirmatif harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latarbelakang sosial dan kaum.
  2. Mengambil langkah untuk memansuhkan perbezaan di antara bumiputera dangan bukan bumiputera dalam semua bidang.
  3. Membahagikan tanah secara adil kepada petani – petani yang memerlukan tanpa mengira kaum.
  4. Hapuskan sistem kuota yang berasaskan kaum dan mengantikannya dengan sistem pengagihan yang berasaskan “kebolehan”.
  5. Hapuskan sistem kuota untuk kemasukan universiti.
  6. Memberi layan yang adil bagi badan badan agama yang berlainan dalam hal penyebaran, perkembangan, mendapat kemudahan rasmi kerajaan serta dilayani secara saksama oleh media rasmi.
  7. Kenalkan sistem pinjaman dan bantuan kewangan pelajar dengan mengagihkannya mengikut kemampuan keluarga pelajar tanpa mengira kaum.

Meskipun tuntutan ini tidak diterima, koaliasi Parti Pemerintah ketika itu, Barisan Nasional bersikap lunak dengan menambah pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C)), menambah peruntukan SRJK (C) dan meningkatkan bilangan guru terlatih SRJK (C) (Yek, 2003)

Tsunami Pilihan Raya Umum 2008 ternyata memberi kemenangan besar kepada perjuangan pendidikan Cina apabila kerajaan negeri perak menerusi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) telah menawarkan tanah seluas 1000 hektar kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina untuk mereka membangunkan tanah tersebut dan membiayai sekolah mereka dan negeri negeri lain yang ditadbir oleh PR (Keong, 2013).

Terkini, perjuangan pendidikan Cina sekali lagi menimbulkan kontroversi melalui Dong Zong dengan mencadangkan ujian Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja dijadikan syarat untuk mendapat pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Kesimpulan

Meneliti sejarah panjang perjuangan pendidikan Cina memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa Cina berkehendak jati diri kecinaan mereka kekal meskipun berlaku perubahan lokaliti kerakyatan. Ini merupakan sebuah persaingan ideologi chauvisnistic melawan aspirasi negara kerana secara semula jadi, pendidikan Cina di Tanah Melayu adalah sebuah cawangan bagi pendidikan Cina di negara China.

Bahkan, sekolah Cina didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan China di Peking dan diberikan bantuan kewangan (Hui, 1987). Kuasa tawar menawar bangsa Cina menjadi kuat disebabkan perpecahan politik Melayu yang dapat dilihat pada tahun 1997 dan 2008. Kerjasama strategik NGO Cina dan parti politik Cina menzahirkan kerjasama ampuh untuk menjayakan agenda pendidikan Cina , dan ia dilakukan secara rentas parti.

Gerakan pendidikan Cina juga menjadi pelobi undi parti Cina yang utama. Kesemua keadaan ini adalah satu bom jangka kepada perpaduan rakyat dimana intergrasi kaum berlaku dalam sphera yang berbeza meskipun berkongsi kawasan yang sama. Ironinya, cadangan cendiakawan bangsa Cina yang terkenal Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim menyatakan bahawa perpaduan nasional hanya boleh dicapai melalui pendidikan dan bahasa sahaja (Malaysia Digest, 2015) tidak diterima pakai hanya menyerlahkan sisi chauvinistic agenda perjuangan pendidikan Cina. Justeru itu, perjuangan untuk menegakan sistem sekolah satu aliran adalah satu perjuangan yang valid kerana sistem sekolah Cina adalah sebuah elemen yang bergerak diluar kerangka perlembagaan dan aspirasi negara.

Menyedari bahawa ia adalah sebuah sistem yang menjadi duri dalam daging, strategi jangka panjang perlu diatur dengan mengadakan kajian komprehensif terhadap keberkesanan sistem sekolah aliran Cina terhadap semangat patriotism kerana tiada gunanya pendidikan tanpa perasaan cinta akan negara. Perintah mahkamah juga perlu didapatkan bagi mengesahkan lagi status sekolah Cina yang bersifat asing (Mohd Noor Abdullah, 2013) . Prestasi sekolah Cina juga perlu dinilai dari sudut pencapaian akademik dan integrasi kaum. Selain daripada itu, sekolah kebangsaan juga perlu diperkasakan dengan kebudayaan Melayu yang kuat agar generasi yang dididik menjadi susuk yang mempunyai identiti yang jelas. Ternyata ia merupakan satu perjuangan panjang untuk menyatukan seluruh pihak dengan harmoni dan ia perlu bermula dari sekarang.

Oleh:

Luqman Abd Hamid
Penyelidik IRIS INSTITUTE

Rujukan

Ariffin, K., Kamaruddin, M. K., & Jusoh, A. (1985). Perbandingan Pendidikan Cina dan Pendidikan India Era British di Tanah Melayu, 3, 29–38.

Azlan Shah. (1986). Judgments of HRH Sultan Azlan Shah with commentary / Visu Sinnadurai ; with a foreword by Tun Mohamed Suffian. Kuala Lumpur: Professional (Law) Books Publishers.

Bhattacharya, A. (2009). The Chinese Diaspora in Southeast Asia: Chinese Nationalism Reinforced. Diaspora Studies, 2(2), 119–142. https://doi.org/10.1080/09739572.2009.10597332

Board of Education. (1905). London.

Ee, T. L. (1988). Tan Cheng Lock and the Chinese Education Issue in Malaya. Journal of Southeast Asian Studies, 19(1), 48–61.

Ee, T. L. (1997). The Politic Of Chinese Education In Malaya. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Gungwu, W. (1991). China and the Overseas Chinese. Singapore: Times Academic Press.

Hui, L. T. (1987). Chinese Education In Malaya 1894 -1911 – Nationalism in the first chinese school. In The 1911 Revolution: The Chinese in British and Ducth South East Asia (pp. 48–65). Singapore: Heinemann Asia.

Jioa Zong. (1987). Jiaozong Sanshisannian. Kuala Lumpur.

Keong, C. Y. (2013). Gerakan Pendidikan Di Malaysia Satu Kajian Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002). Petaling Jaya: Strategic Development and Research Development Center.

Malaysia Digest. (2015). Wajarkah Sekolah Satu Aliran Di Malaysia? Retrieved July 26, 2017, from http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/573753-wajarkah-sekolah-satu-aliran-di-malaysia.html

MOE. (2017). Senarai Menteri Pendidikan – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Retrieved July 26, 2017, from http://www.moe.gov.my/index.php/my/korporat/senarai-menteri-pendidikan

Mohd Noor Abdullah. (2013). Perlembagaan Tak Iktiraf Sekolah Jenis Kebangsaan – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan 12/5/2013 – YouTube. Retrieved from https://www.youtube.com/watch?v=LLuAPO5LZZk&feature=youtu.be

Purcell, V. (1948). The Chinese in Malaya. London: Oxford University Press.

Yek, S. K. (2003). Kedudukan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan, 1956-2000. University of Malaya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Benarkah kos ECRL sebanyak 81 bilion? Rakyat perlukan penjelasan

Next Post

Pemaju Forest City kukuh kedudukan dalam Fortune 500

Related Posts
Skip to content