Strategi A.S. dalam Dunia Islam Selepas 9/11

 

Pengenalan

Susulan serangan 9/11 serta Perang Terhadap Terorisme di Afganistan, Iraq dan kawasan-kawasan lain sejak tiga tahun lalu bukan sahaja mengesani Dunia Islam tetapi dikatakan turut memberi impak yang signifikan terhadap persepsi yang dilontarkan kepada Amerika Syarikat. Meskipun begitu, faktor yang mempengaruhi persekitaran dalam negara Islam telahpun memainkan peranannya sejak berdekad lalu, yang mana jika dibiarkan berterusan akan menyukarkan kawalan keselamatan dalam Dunia Islam pada masa akan datang. Hal ini juga mampu meningkatkan tuntutan sumber politik dan ketenteran A.S. Rentetan dari itu, A.S. telah mewujudkan pembentukan strategi terhadap Dunia Islam sebagai jalan penyelesaian kepada situasi yang mungkin akan mencetuskan fahaman ekstremis agama, politik dan sikap anti-A.S.

Kerangka berikut akan membantu penggubal dasar A.S. untuk memahami strategi politik dan ketenteraan yang sedia ada agar dapat memberi tindak balas terhadap perubahan kondisi dalam Dunia Islam.

 

Panduan Utama: Sikap Terhadap Demokrasi dan Anti-Keganasan

Dunia Islam merangkumi negara-negara dari Barat Afrika ke Selatan Filipina, selain diaspora komuniti seantero dunia. Para penyelidik A.S. telah membentuk tipologi bagi mengklasifikasikan arus keagamaan dan politik Muslim menurut : ideologi, kecenderungan politik dan perundangan, bentuk kerajaan pilihan, sikap terhadap hak asasi manusia, agenda sosial, hubung kait dengan terorisme, dan kecenderungan terhadap keganasan. Berdasarkan panduan tersebut, kumpulan-kumpulan Muslim dilihat berada dalam spektrum di antara penggemar demokrasi/penentang keganasan dan penolak demokrasi/penyokong keganasan. Klasifikasi inilah yang akan membantu penggubal polisi A.S. untuk mengenalpasti ‘rakan kongsi’ yang berpotensi untuk menjalin kerjasama dalam mendukung demokrasi serta menentang pengaruh ekstremis dan keganasan.

 

Perpecahan Dunia Islam: Antara Pancaroba dan Peluang

Selain perbezaan ideologi, perpecahan berikut turut memberi implikasi terhadap minat dan strategi A.S:·      

  • Sunni dan Syiah. Sunni membentuk majoriti penganut agama Islam. Sebahagian besar puak Syiah (yang mewakili 15% dari Muslim diseluruh dunia) berada di Iran, dan secara politiknya tidak termasuk majoriti di Bahrain dan wilayah timur Arab Saudi (kerana mereka berada di Iraq sebelum penghapusan Saddam Hussein). A.S melihat Syiah sebagai sebuah peluang kerana kumpulan ini mahukan lebih banyak penyertaan dalam kerajaan serta menuntut kebebasan beragama dan berpolitik. Sekiranya pihak A.S. dapat meletakkan polisi mereka sejajar dengan puak Syiah, ia dianggap dapat menghalang gerakan radikal Islam dan memberi asas yang stabil kepada kedudukan A.S. di Timur Tengah. 

 

  • Muslim Arab dan Muslim ‘Ajam. 20% dari populasi Islam terdiri daripada bangsa Arab. Dunia Arab kini memperlihatkan lebih banyak gangguan dari segi politik ekonomi dan sosial berbanding negara-negara membangun yang lain. Sebaliknya, sektor bukan Arab bersifat lebih inklusif dari segi politik, merangkumi majoriti dari kerajaan demokratik atau demokratik iliberal, serta berpandangan lebih sekular. Peranan Timur Tengah sebagai ‘teras Dunia Islam’ kini telah diambil alih oleh sektor bukan Arab, termasuklah kawasan Asia Tenggara iaitu antara kawasan yang membawa pemikiran paling inovatif tentang Islam. Kemajuan ini menjadi perhatian A.S. dalam usaha untuk menentang tafsiran ekstrem tentang Islam yang wujud dalam sebahagian Dunia Arab. 

 

  • Komuniti etnik, suku dan puak. Kegagalan pihak A.S. untuk memahami politik suku kaum tempatan adalah antara faktor utama kepada peristiwa buruk yang berlaku di Somalia. Jika dibandingkan jangka masa 10 tahun operasi ketenteraannya, kerajaan A.S. masih cetek ilmunya tentang dinamik politik kawasan tersebut.

 

Keadaan, Proses dan Pemangkin Radikalisme Islam

Para penyelidik A.S. mengenalpasti beberapa faktor jangka masa panjang dan pendek yang menyumbang kepada penyebaran radikalisme Islam sejak beberapa dekad yang lalu. Muslim yang telah dinafikan hak-hak mereka meluapkan api kemarahan tehadap Barat kerana menganggap polisi A.S. telah menyebabkan kegagalan model ekonomi dan politik negara-negara Arab. Tindak tanduk yang bersifat anti-Amerika sebegini tidak dialu-alukan sama sekali melalui cara politik mahupun diplomatik. Tambahan pula, perpecahan dalam kalangan penguasa Islam Sunni dikatakan telah membuka ruang bagi para ekstremis yang kurang berkelayakan agama, untuk memanipulasi agama bagi memenuhi keinginan peribadi.                      

Antara proses yang dilihat oleh A.S. sebagai penyumbang kepada radikalisme Islam termasuklah penyebaran dakyah tersebut dalam kalangan suku yang mana penguasa politik pusatnya bersifat lemah (seperti kawasan Pashtun di Pakistan dan Afghanistan). Hal ini telah mewujudkan percampuran fahaman dan membawa kepada ‘kelahiran’ Osama bin Laden. Puak radikal juga telah berjaya membentuk sebuah kesatuan yang menyokong fundamentalis dan aktiviti pengganas melalui aliran dana dan rekrutment. Kesatuan ini sukar untuk digempur kerana sering melaksanakan perkhidmatan sosial komuniti Muslim.

Akhir sekali, kewujudan media serantau seperti Al Jazeera kononnya turut memainkan peranan dalam memperkukuh stereotaip anti-Amerika dan memainkan agenda radikal yang membawa naratif pemangsaan Arab.                       

Disebalik faktor jangka masa panjang, beberapa buah peristiwa penting seperti Revolusi Iran, Perang Soviet-Afghanistan, Perang Teluk 1991 dan Perang Terhadap Terorisme setelah 9/11, menjadi pemangkin kepada perubahan senario politik Dunia Islam kearah radikalisme. Malah, kesan dari Perang Iraq dan penangkapan Saddam Hussein masih dapat dilihat hingga kini. Menurut perkiraan A.S., negara Iraq yang demokratik, pluralistik dan stabil akan dapat menyanggah pandangan anti-Barat di Timur Tengah dan dapat melemahkan hujah ekstremis. Sebaliknya, jika Iraq kembali berpecah mengikut suku, kredibiliti A.S. akan merosot lalu memberi peluang kepada kumpulan radikal untuk mengambil alih.          

 

Bantuan Rakan dan Sekutu A.S. Bagi Memperbaiki Trend Negatif dalam Dunia Islam

Penyelidik A.S. mencadangkan pilihan-pilihan sosial, politik dan ketenteraan berikut, sebagai tindakbalas terhadap peluang dan cabaran yang dihadapkan oleh Dunia Islam kepada pihaknya.      

  • Mempromosi kesatuan Muslim liberal dan Muslim sederhana (moderate Muslim). Golongan ini yang masih belum berjaya membentuk kesatuan se-efektif gerakan radikal, ingin dibantu oleh A.S. dalam usaha menyebarkan mesej-mesej mereka di peringkat antarabangsa.

 

  • Menggempur kesatuan radikal. Setelah mengenalpasti ciri-ciri kesatuan radikal, komuniti yang menyokong mereka, cara komunikasi dan rekrutmen serta kelemahan mereka, strategi ‘nodal disruption’ akan dijalankan. Ia mampu memecahbelahkan kumpulan ini sekaligus memberi kuasa kepada Muslim sederhana untuk mengambil alih. 

 

  • Memupuk reformasi masjid dan madrasah. Bagi mengelakkan institusi masjid menjadi platform penyebaran ideologi-ideologi radikal, A.S. mencari jalan untuk memancing pihak luar agar mendukung usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan Muslim sederhana. Disamping itu, sokongan A.S. dan komuniti antarabangsa terhadap Reformasi Madrasah merupakan satu keperluan yang mendesak mereka. Bagi memastikan pendidikan yang meluas dan moden disediakan oleh pihak madrasah, A.S. akan bertindak dengan memperkuat akreditasi pendidikan tinggi yang memantau dan mengkaji semula kurikulum sekolah-sekolah negeri dan swasta.  

 

  • Mengembangkan peluang ekonomi. Sokongan yang semakin meluas terhadap organisasi radikal dapat dikaitkan dengan kemampuan mereka menangani masalah politik dan sosial yang telah berakar umbi. Oleh itu, pihak A.S. menganggap bahawa penyediaan perkhidmatan sosial alternatif di beberapa tempat, terutamanya inisiatif yang meningkatkan prospek ekonomi golongan muda, dapat melonggarkan sokongan ini. Program yang mempromosikan perkembangan ekonomi dan bersifat ‘self-sufficient’ akan menutup peluang bagi golongan radikal yang dilihat sering mengeksploitasi kesulitan ekonomi. 

 

  • Menyokong “Islam sivil”. Polisi A.S. yang menggembleng tenaga bersama Islam sivil- pertubuhan Muslim yang menggalakkan kesederhanaan dan kemodenan- merupakan komponen penting bagi membantu golongan Muslim sekular dan sederhana dari aspek pendidikan dan aktiviti adat. Usaha pembinaan institusi masyarakat sivil dan demokratik juga terus disokong oleh A.S. dan sekutunya.

 

  • Penafian sumber kepada ekstremis. Taktik ini bakal memutuskan putaran dana golongan radikal di negara-negara yang membiayai puak ekstremis sama ada melalui pemberian sumber asal (cth. Arab Saudi) atau penyaluran sumber (cth. Pakistan). 

 

  • Mengimbangi Perang Terhadap Terorisme dengan keperluan untuk mempromosikan kestabilan negara-negara Islam sederhana. Puak radikal menganggap pembanterasan tersebut sebagai perang terhadap Islam. Oleh itu, pihak A.S. ingin menampakkan bahawa inisiatif tersebut bukanlah bermaksud untuk memperkuat rejim penindas tetapi bagi membawa perubahan demokratik. 

 

  • Melibatkan Islamis dalam politik. Parti politik islamis yang dianggap tiada kelayakan berpolitik dilihat sebagai ancaman kerana mampu menyimpang dari kebebasan demokratik. Namun begitu, penglibatan mereka dalam politik juga berkemungkinan besar mampu mendorong kesederhanaan dalam jangka masa panjang. Oleh itu, penglibatan parti Islamis didasarkan kepada syarat agar komited dengan proses demokrasi dan anti-keganasan.        

 

  • Menarik Muslim diaspora. Komuniti diaspora merupakan pintu gerbang untuk membentuk rangkaian sekutu dan membawa nilai dan minat A.S. kehadapan. Misalnya, memberi respon kepada krisis kemanusiaan melalui kerjasama dengan badan NGO muslim merupakan antara usaha yang mereka lakukan. 

 

  • Membina semula hubungan ketenteraan dengan negara-negara utama. Hubungan ketenteraan adalah penting dalam pembentukan strategi di Dunia Islam kerana bagi A.S., ia akan terus menjadi ‘pelakon politik’ yang berpengaruh. Mereka ingin agar pegawai tentera dalam negara-negara Islam berteraskan A.S. Program seperti Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) bukan sahaja melahirkan pemimpin tentera yang mengamalkan nilai-nilai militari Amerika tetapi juga meluaskan akses dan pengaruh A.S.       

 

  • Membina prasarana ketenteraan yang berkebolehan. A.S. perlu mengurangkan kehadiran tentera dalam kawasan sensitive di negara-negara Islam dan menambahkan keberadaan dalam pelbagai aspek lain (risikan, operasi psikologi dan urusan sivil seperti bantuan perubatan). Risikan kebudayaan perlu diperbaiki melalui pertambahan pakar bahasa dan kawasan di Arab, Parsi dan Afrika.

 

 

Laporan ini diterjemahkan oleh:

NUR ‘ATHIRA BINTI FAISAL SABRI,

Ahli,

Network of Muslim World Youth Thinkers (WORTH).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu Mahathir-China dan Erdogan-Amerika

Next Post

Ucapan penuh Tun Dr. Mahathir di UNGA ke-73

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content