Singapura Perhebat Carian Arkeologi Untuk Bawa Naratif Temasik Bukan Kota Melayu

Jumpaan bangkai kapal karam yang berusia sekitar dua abad ditemui pada tahun 2015 secara tidak sengaja oleh penyelam komersial di perairan berdekatan Pulau Pedra Branca (Pulau Batu Putih).

Setahun kemudian pada tahun 2016, National Heritage Board (NHB) telah mengarahkan Unit Arkeologi ISEAS – Yusof Ishak Institute untuk menjalankan kerja ekskavasi terhadap jumpaan kapal karam tersebut sehingga pertengahan tahun 2021.

Hasil ekskavasi telah menemukan dua bangkai kapal lama yang dipenuhi artifak-artifak.

Jumpaan bangkai kapal pertama yang ditemui 100 meter arah barat laut Pulau Pedra Branca yang di dalamnya terdapat seramik Cina yang mungkin wujud sejak abad ke-14 Masihi ketika nama asal Singapura adalah Temasik, kata pusat penyelidikan itu (CNA, 16 Jun 2021).

Penemuan penting lain termasuk piring, mangkuk Longquan, balang, serpihan porselin biru-putih dengan motif peony dan teratai dari Dinasti Yuan (1271-1368).

Kapal ini juga dipercayai membawa lebih banyak porselin biru-putih daripada jumpaan kapal karam lain yang didokumentasikan di dunia, kata Dr Michael Flecker.

Manakala bangkai kapal kedua ditemui kira-kira 300 meter di sebelah timur Pulau Pedra Branca itu dikenal pasti adalah kapal Shah Munchah, iaitu sebuah kapal milik seorang pedagang dari India yang dipercayai karam pada tahun 1796 ketika pelayaran dari China ke India (BH Online, 16 Jun 2021).

Hasil ekskavasi mendapati terdapat sejumlah artifak seramik dan bukan seramik Cina seperti aloi tembaga, objek glass sand agate, empat sauh dan sembilan meriam pada kapal tersebut.

Penemuan lain juga terdapat serpihan balang yang bercorak motif naga, tembikar berupa itik, patung-patung kepala Guanyin, patung Happy Buddha dan a boy of fortune, patung berupa anjing dan makhluk mitos laut Makara, patung pasangan Cina yang memegang kipas, figura kuda Qingbai, dan side-saddle rider (CNA, 16 Jun 2021).

Setelah kerja pemulihan, penyelidikan dan dokumentasi selesai, NHB akan berusaha mempamerkan artifak tersebut kepada orang ramai menjelang hujung tahun 2021.

Di sini, ISEAS berperanan untuk menerbitkan laporan penyelidikan dan mengadakan sesi penerangan atau ceramah ilmiah kepada orang ramai.

Yeo Kirk Siang, Pengarah Penyelidikan dan Penilaian Warisan NHB berkata penemuan ini sangat penting dalam mengungkap sejarah Singapura sebelum tahun 1819 dimana terdapat kelompangan peristiwa atau ketidakjelasan sejarah dalam tempoh tersebut.

Dengan memahami sejarah maritim ini, diharap dapat membantu pihaknya memahami konteks dan kedudukan hubungan Singapura dengan dunia luar, kepentingan kedudukan geografinya, dan sebab-sebab kewujudan dan kejayaannya (CNA, 16 Jun 2021).

Jika meninjau semula sejarah Singapura, sememangnya tidak jelas tarikh spesifik penemuan pulau tersebut, tetapi dalam karya Sejarah Melayu, nama Singapura yang asalnya Temasik itu sudah wujud sebelum kedatangan Seri Teri Buana dan Demang Lebar Daun dari Bukit Siguntang untuk berbuat negeri.

Ketika Seri Teri Buana sampai ke Temasik, beliau telah mengarahkan rakyatnya untuk menebas pokok dan tiba-tiba seekor binatang yang besar sedikit dari kambing randuk keluar dengan pantas dan menghilang selepasnya.

Seri Teri Buana / Sang Nila Utama kehairanan melihatnya dan bertanya nama haiwan tersebut, maka Demang Lebar Daun menjawab sifat binatang itu seperti singa berdasarkan cerita orang, dan akhirnya nama pulau tersebut dinamakan Singapura (Shellabear, 2016).

Seri Teri Buana telah bersemayam di istananya di Singapura dimana ketika itu aktiviti perdagangan sudah berjalan;

“Maka Seri Teri Buana pun semanyamlah di istana sebuah seorang dengan Wan Seri Beni kerajaan dalam Singapura. Terlalulah makmurnya negeri itu, adalah labuhan dagang dari Teluk Tanjung Ru, sampailah ke parit, kampung orang; dari negeri itu sampai ke Tanah Merah bertemu bumbungan rumah-nya, dan Demang Lebar Daunlah yang memerintahkan negeri itu.” (A.Samad Ahmad, 2015)

Selepas Seri Teri Buana membina kerajaan di Singapura terdapat pelbagai kisah-kisah yang terjadi di pulau tersebut seperti yang diperlihatkan dalam Sulalatus Salatin yang menunjukkan bahawa penghuni asal pulau Singapura adalah orang Melayu.

Menurut Linehan (1947), Singapura diperintah oleh raja-raja Melayu hampir selama 100 tahun.

Gambar 1: Raja-raja Melayu yag memerintah Singapura (W. Linehan,1947)

Namun, apa yang berlaku kini hanyalah mengangkat naratif Singapura yang bermula sejak 1819 dan selepasnya apabila Dr. John Miksic, seorang pakar kaji purba mengatakan bahawa sejarah Singapura tidak lagi dinilai selepas kedatangan Stamford Raffles (1781-1826) pada tahun 1819.

Berdasarkan penemuan arkeologi beliau jelas menunjukkan bahawa Singapura bukanlah sekadar sebuah kampung nelayan dan Seri Teri Buana sebagai suatu mitos, tetapi sebaliknya Singapura memiliki pelabuhan yang agak sibuk sebelum kedatangan Raffles lagi (Berita Harian, 4 Mei 2015).

S. Rajaratnam, salah seorang pemimpin pengasas Singapura moden berpendapat memandangkan tidak banyak diketahui tentang sejarah Singapura silam, maka wajarlah sejarah Singapura dipelajari dari sejak zaman penjajahan Barat.

Tambah beliau, terdapat banyak risiko jika menggunakan kayu ukur penjajah dimana antara lain Raffles bukanlah seorang tokoh pengasas Singapura tetapi hanya sekadar memenuhi kehendak imperialisme British (Berita Harian, 4 Mei 2015).

Gambar 2: Gambar Dr John Muksic dan bukunya Singapore The Silk Road of The Sea (Berita Harian, 4 Mei 2015)

Apabila melihat realiti Singapura hari ini, naratif kolonial lebih diangkat dan diperingati berbanding dengan naratif Singapura sebagai sebuah kepulauan Melayu.

Ketika sambutan Hari Kebangsaan Singapura pada tahun 2019, kedatangan Stamford Raffles 200 tahun lalu di Padang lebih diperingati sebagai tempat termeterainya perjanjiannya dengan Tengku Long atau Sultan Hussein kerana membenarkan British menduduki Singapura secara rasmi pada tahun 1819 (Sinar Harian, 9 Ogos 2019).

Bagi memperkukuhkan naratif tersebut, pelbagai kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi dijalankan oleh NHB dengan kerjasama ISEAS-Yusof Ishak Institute bagi menemukan sebarang bukti kukuh melalui jumpaan artifak-artifak.

Antara projek yang telah atau sedang dijalankan adalah di Victoria Concert Hall, Ulu Pandan, National Gallery Singapore, Fort Canning Spice Garden, Empress Place, Adam Park dan ekskavasi marin Pedra Branca (ISEAS, 2020).

Oleh itu, berdasarkan kegiatan-kegiatan ekskavasi dan penyelidikan yang dijalankan, mampukah naratif asal Singapura diangkat semula sebagai sebuah kota Melayu?

Irfan Izhar
Kolumnis Fokus dan Penyelidik IRIS

Rujukan

  1. CNA Singapore Edition. (16 Jun 2021). 2 Historic Shipwrecks and their artefacts found in Singapore’s territorial waters. 2 historic shipwrecks and their artefacts found in Singapore’s territorial waters – CNA (channelnewsasia.com)
  2. ISEAS-Yusof Ishak Institute. (2020). Archaeology Unit. Temasek History Research Centre. Archaeology Unit Archives – ISEAS-Yusof Ishak Institute
  3. Berita Harian Online. (16 Jun 2021). Bangkai Kapal karam berusia 2 abad ditemui di Singapura. https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/06/828666/bangkai-kapal-karam-berusia-2-abad-ditemui-di-singapura
  4. Berita Harian. (4 Mei 2015). Perlu bijak pelajari sejarah. https://www.nus.edu.sg/newshub/news/2015/2015-05/2015-05-04/SEJARAH-bh-p8-4may.pdf
  5. Sinar Harian. (9 Ogos 2019). Singapura Rai Hari Kebangsaan ke-54. https://www.sinarharian.com.my/article/42412/GLOBAL/Singapura-rai-Hari-Kebangsaan-ke-54
  6. A.Samad Ahmad. (2015). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  7. W. G. Shellabear. (2016). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  8. W. Linehan. (1947). The Kings of 14th Century Singapore. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. Vol. 20. No.2 (142). pp: 117-127.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Siswazah Bumiputera Paling Ramai Menganggur

Next Post

Projek ECRL Terima Mesin Pengorek Terowong Pertama dari China

Related Posts
Skip to content