Isu Mahathir-China dan Erdogan-Amerika

TERKINI ISU MAHATHIR-CHINA DAN ERDOGAN-AMERIKA

1. Kejutan besar berlaku sewaktu lawatan Tun Dr. Mahathir ke China apabila kapal Coast Guard China Haijing 3401 secara terbuka mencerobohi kawasan berhampiran Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di Beting Patinggi Ali (laman Malaysian Defence and Security Community).

2. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan laman Malaysia Military Power menghantar dua kapal Kelas Kedah untuk memantau kapal China tersebut iaitu KD Selangor dan KD Kelantan.

3. Tindakan China ini jelas mengisyaratkan sesuatu kepada lawatan Tun Mahathir ke China – malah menolak sama sekali seruan Tun Dr Mahathir dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu agar kapal perang tidak lagi memasuki Laut China Selatan.

4. Peristiwa ini turut menimbulkan persoalan mengenai pembatalan projek Pesawat Rondaan Maritim (MPA) oleh Menteri Pertahanan yang memberi impak ke atas keupayaan angkatan negara untuk memantau situasi di Laut China Selatan.

5. Segalanya kelihatan sukar buat Tun Dr. Mahathir apabila pakej kerjasama Jepun tidak kunjung tiba, projek kereta nasional ketiga bersama Indonesia dan ASEAN ditentang pemimpin Pakatan sendiri, dan kini China pula bakal menekan Malaysia dengan pampasan di meja rundingan (khususnya isu pampasan ECRL, saluran paip gas, dan Jho Low) dan juga di Laut China Selatan. Akhbar terkemuka Wall Street Journal (WSJ) pada 17 Ogos jelas menyebut mengenai keberadaan Jho Low di China dan taktik China untuk menjadikan beliau sebagai rundingan dengan Tun Mahathir (https://www.wsj.com/…/malaysia-says-china-harbors-1mdb-fugi…).

6. Saat ini dua negara umat Islam yang berpengaruh sedang berhadapan dengan dua kuasa besar dunia. Jika di Timur kita melihat bagaimana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berdepan dengan China, di Barat pula kita dapat saksikan bagaimana Presiden Turki Recep Tayyip Erodgan berhadapan dengan sekatan ekonomi dan juga ketenteraan yang terbaru dari Amerika.

7. Pertembungan Turki-Amerika bermula rentetan keengganan Presiden Erdogan untuk tunduk kepada desakan Trump agar membebaskan seorang warga Amerika bernama Andrew Brunson yang ditahan Turki sejak cubaan kudeta 2016.

8. Brunson ialah seorang Paderi Evengelis yang disabitkan hukuman oleh Mahkamah Turki kerana melakukan aktiviti perisikan dan bekerjasama dengan pengganas untuk melakukan rampasan kuasa ke atas Presiden Erdogan dan AKP pada 2016.

9. Berang dengan ketegasan Erdogan, Trump akhirnya melakukan ke atas Turki perkara sama yang dilakukannya dalam ‘Perang Perdagangan’ dengan China – menggandakan tarif ke atas besi keluli dan aluminium yang diimport dari Turki.

10. Akibat daripada tarif setinggi 50% ke atas besi keluli dan 20% ke atas aluminium Turki, mata wang Lira Turki menjadi mangsa pengunduran permintaan besar-besaran para pelabur. Dalam tempoh seminggu sahaja, nilai Lira menyusut kepada 7 Lira berbanding 1 Dollar Amerika.

11. Dengan kadar inflasi melonjak ke 15 peratus dan pasaran saham menjunam 17 peratus, Erdogan membalas dengan menaikkan tarif ke atas produk Amerika: 140% ke atas produk minuman alkohol, 120% ke atas kereta, dan 60% ke atas tembakau. Malah produk elektronik keluaran Amerika turut diseru untuk diboikot.

12. Tidak cukup dengan tekanan perdagangan yang mengimpak permintaan mata wang Lira, kuasa ketenteraan Turki turut telah disasarkan sebelum itu dengan halangan penjualan pesawat pejuang F-35 Amerika kepada Turki oleh Senat. Pentagon telah diarahkan Senat untuk menyediakan laporan kepada mereka dalam tempoh 90 hari bagi menyemak semula sekatan itu.

13. Turki merancang untuk membeli 100 unit pesawat F-35 buatan Lockheed Martin Corp ini, bahkan turut terlibat dengan program pembinaannya sejak 1999 lagi melalui firma Turkish Aerospace Industries. Mengapa Senat bertindak demikian?

14. Jawapannya kerana tindakan Turki yang membeli sistem pertahanan udara berkuasa dari Rusia iaitu S-400. Turki ialah satu-satunya anggota NATO yang memiliki sistem tersebut. Ironinya, Turki menerusi Menteri Luarnya Mevlut Cavusoglu bertegas bahawa mereka terpaksa membeli dari Rusia kerana keengganan Amerika – iaitu sekutu NATO – untuk menjual sistem pertahanan Patriot kepada Ankara.

15. Pertembungan Tun Dr Mahathir dengan China pula berlangsung dengan lebih ‘halus’, tetapi tidak kurang dahsyatnya. Akan tetapi, bukankah lawatan beliau ke China kelihatan berlangsung dalam suasana yang harmoni?

17. Benar, lawatan lima hari Perdana Menteri ke China berlangsung baik dan produktif dengan beberapa dokumen dan MoU dimeterai: Perjanjian Lanjutan bagi Pengaturan Tukaran Mata Wang Dua Hala, Protokol Pemeriksaan dan Keperluan Kuarantin bagi Eksport Durian Sejukbeku, Pembangunan dan Promosi Biofuel Minyak Sawit Malaysia, Teknologi Jalan Bitumen Berturap Getah dan Automasi dan Mekanisme Torehan Getah, serta Kerjasama Kawal Selia Perakaunan dan Audit.

18. Malah, Tun Dr. Mahathir sebelum itu turut melawat gergasi perdagangan China, iaitu Alibaba dengan diiringi Jack Ma sendiri di Hangzhou serta menyaksikan Perjanjian Dasar Induk antara Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group. Perjanjian Proton-Geely itu menyaksikan Proton berjaya menembusi ruang pemasangan dan pemasaran kereta di China sekali gus berpotensi besar melonjakkan eksport Proton.

19. Namun lain benar situasinya dalam kes pembatalan ECRL dan saluran paip gas, Jho Low, dan isu di Laut China Selatan. Kunjungan Tun Mahathir tidak membuahkan apa-apa hasil dalam isu keberadaan Jho Low di China, malah pembayaran pampasan akibat pembatalan projek ECRL juga belum dibincangkan. Tentulah kos pembayaran pampasan projek gergasi itu akan menjadi tumpuan seluruh rakyat dalam masa terdekat. Apa yang pasti, dalam konteks geopolitik yang mencabar ini, usaha untuk terus mendapatkan pelaburan luar perlu diperhebatkan. Dalam keadaan Turki dihimpit Amerika, dan kita dihimpit China, bukankah bijak jika kerajaan Pakatan tampil dengan rancangan kerjasama strategik Putrajaya-Ankara?

Oleh:
Abdul Muein Abadi

Pensyarah Program Sains Politik
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

ECRL Batal, Apa Episod Seterusnya?

Next Post

Strategi A.S. dalam Dunia Islam Selepas 9/11

Related Posts
Skip to content