Menurut Tiong King Sing, kerajaan sedang mengkaji untuk melonggarkan beberapa syarat penyertaan program MM2H bagi menggalakkan lebih ramai kemasukan warga asing. Terdahulu, pada Julai 2023, Tiong pernah menyatakan hasrat yang sama iaitu untuk menilai semula dan melonggarkan syarat-syarat MM2H. (The Star, The Star)
Pada Disember 2023, hasrat untuk melonggarkan penyertaan MM2H terlaksana apabila MOTAC memperkenalkan sistem tiga peringkat yang terdiri daripada Platinum, Gold, dan Silver. Di bawah sistem ini, syarat umur telah diturunkan kepada 30 tahun ke atas dan mengizinkan peserta untuk membawa tanggungan yang berumur antara 21 dan 34 tahun termasuk Ibu bapa atau ibu bapa mertua ke Malaysia. Sebelum ini, tanggungan yang dibenarkan hanyalah pasangan dan anak yang berumur 21 tahun ke bawah. (The Star)
Pada masa yang sama, Kementerian Luar Malaysia turut mengumumkan keistimewaan kepada pelancong dari China dan India dengan memberikan kemasukan tanpa visa ke Malaysia sehingga 30 hari. (KLN)
Berdasarkan kenyataan Tiong, setakat 31 Januari 2024, pemegang aktif pas MM2H mencecah 56,066 orang. Warga China adalah pemegang pas tertinggi dengan jumlah 24,765 orang. Selain itu, warganegara lain yang turut memegang pas MM2H ini adalah Korea Selatan (4,940), Jepun (4,733), Bangladesh (3,604), United Kingdom (2,234), Taiwan (1,611), Amerika Syarikat (1,340), Singapura (1,282), India (1,223) dan Australia (1,069). (Malay Mail)
Kelonggaran syarat-syarat MM2H dijangka memberi risiko pertambahan demografi asing ke dalam negara terutamanya dari negara China. Hal ini kerana, program MM2H adalah jalan mudah bagi warga asing untuk memohon status pemastautin tetap (MyPR) di Malaysia. Bagi mendapat PR, pemohon hendaklah memiliki pas sah sekurang-kurangnya 5 tahun. Program MM2H ini telah membenarkan warga asing mendapatkan visa untuk menetap di Malaysia sehingga 10 tahun. (Al-Jazeera, SF Consulting)
Perolehan MyPR membolehkan seseorang itu dianugerahkan status warganegara sekiranya mencukupi syarat. Berdasarkan laporan pada 2018, seramai 57,191 pemastautin tetap telah mendapat kerakyatan sejak 2008. Malah, terdapat dakwaan menyatakan seramai 100,000 orang pemastautin tetap dari China telah diberi kerakyatan. Namun begitu, dakwaan ini telah disangkal oleh Kementerian Dalam Negeri yang menegaskan hanya 37 individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia dari 10 Mei 2018 hingga 15 Mei 2019. (Berita Harian, Sinar Harian)
Dalam pada itu, pada tahun 2022, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaporkan lebih 1.2 juta pelancong China tidak keluar Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 dengan segelintir daripadanya direkodkan berkahwin dengan warga tempatan. Pelancong China tersebut dilihat mampu memperoleh MyPR, sekiranya mereka menyertai program MM2H atau berkahwin dengan warga tempatan. (JPN)
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), komposisi penduduk bukan warganegara meningkat daripada 7.6 peratus kepada 8.9 peratus. Kemasukan warga asing ini menyebabkan berlaku pertambahan demografi sebanyak 2.1 peratus kepada kadar penduduk Malaysia pada tahun 2023. (Sinar Harian)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.