Trend Kemasukan Warga Asing Terutamanya Dari China Melalui program MM2H

RINGKASAN EKSEKUTIF

    Peratusan kemasukan warga China melalui program MM2H menunjukkan peningkatan di samping kekal menduduki tangga pertama dalam bilangan peserta MM2H yang paling ramai. Warga China yang menyertai program ini diberikan keistimewaan memiliki hartanah, membawa tanggungan yang ramai, dan mendapat status penduduk tetap. Perkara ini memberi kesan kepada peningkatan pembinaan hartanah mewah, penurunan pembinaan hartanah mampu milik, perubahan landskap demografi negara, dan kesan domino kepada dasar lain seperti pengecualian visa kepada pelancong China. Dengan pelantikan Tiong King Sing sebagai menteri MOTAC, terdapat peralihan kuasa di mana MOTAC menggantikan Jabatan Imigresen dalam urusan meluluskan dan memproses permohonan baru dan sedia ada sejak akhir 2023. 

    Kelonggaran Syarat MM2H sebabkan Peningkatan Kemasukan Warga China

      Kelonggaran syarat-syarat penyertaan MM2H telah menyebabkan peningkatan jumlah warga asing terutamanya dari China di Malaysia. Menurut menteri MOTAC, Tiong King Sing, warga China mendahului senarai pemegang pas MM2H dengan jumlah 24,765 daripada 56,066 orang setakat 31 januari 2024. Ini menunjukkan bahawa warga China mewakili 44 peratus daripada bilangan tersebut, sekaligus mengatasi peratusan penyertaan warga China setakat tahun 2019 iaitu pada 32.8 peratus. – The Sun

      Rajah 1: Senarai 10 negara asal teratas peserta MM2H – The Edge

      Kerajaan longgar semula syarat MM2H selepas penyertaan berkurangan pada tahun 2020-2021

        Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan telah meminda syarat-syarat penyertaan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi memudahkan lebih ramai kemasukan warga asing ke negara ini.  Kedatangan Warga asing menjadi isu kerana keistimewaan yang diberikan melalui program MM2H yang melibatkan pengurangan jumlah minimum deposit tetap, keizinan membeli hartanah, kebolehan membawa tanggungan yang ramai, dan kebolehan mendapatkan status penduduk tetap. Syarat kemasukan yang longgar serta manfaat-manfaat strategik yang diberikan kepada peserta MM2H menimbulkan permasalahan berikutan kesannya yang dilihat mampu mengubah status quo demografi dan menjejaskan ekonomi penduduk Malaysia terutamanya kaum Bumiputera.  – Astro Awani

        Pindaan dan kelonggaran yang diberikan ini adalah susulan daripada kejatuhan penyertaan MM2H sebanyak 90% berikutan penggantungan sementara MM2H pada 2020 dan pelaksanaan syarat-syarat baru yang lebih ketat pada 2021. Berikut adalah syarat-syarat MM2H pada Oktober 2021 dan selepas dilonggarkan pada Disember 2023. – The Star

        Syarat-syarat MM2H pada Oktober 2021:

        Syarat KewanganDeposit tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak
        Tempoh Tinggal MinimaKeberadaan atau kemastautinan di Malaysia adalah sekurang-kurangnya selama 90 hari (kumulatif) dalam setahun.
        Pas MM2H5 tahun dan boleh dilanjutkan selama 5 tahun dan seterusnya.
        Kelayakan Umur PemohonUmur 35 tahun dan ke atas
        TanggunganPasangan, anak kandung/tiri/angkat di bawah 21 tahun dan anak kurang upaya.

        Syarat-syarat MM2H selepas pindaan pada Disember 2023:

        SilverGold Platinum
        Syarat KewanganDeposit simpanan tetap berjumlah RM500,000 dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan bagi tujuan pembelian hartanah (had kepada nilai Rm750,000 dan ke atas), kesihatan dan pelancongan.Deposit simpanan tetap berjumlah RM2 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan bagi tujuan pembelian hartanah (had kepada nilai Rm750,000 dan ke atas), kesihatan dan pelancongan.Deposit simpanan tetap berjumlah RM5 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan bagi tujuan pembelian hartanah (had kepada nilai RM1.5 juta dan ke atas), kesihatan dan pelancongan.
        Tempoh Tinggal Minima60 hari (kumulatif) dalam setahun.60 hari (kumulatif) dalam setahun.60 hari (kumulatif) dalam setahun.
        Pas MM2H5 tahun serta Multiple Entry Visa (MEV) untuk prinsipal dan tanggungan yang boleh diperbaharui15 tahun serta Multiple Entry Visa (MEV) untuk prinsipal dan tanggungan yang boleh diperbaharuiLayak untuk mendapatkan status penduduk tetap (PR)
        Kelayakan Umur PemohonUmur 30 tahun dan ke atasUmur 30 tahun dan ke atasUmur 30 tahun dan ke atas
        TanggunganPasangan, anak kandung/tiri/angkat bawah 21 tahun dan anak kurang upaya.
        Anak-anak yang berumur antara 21 dan 34 tahun yang tidak bekerja di Malaysia atau sudah berkahwin.
        Ibu bapa dan/atau ibu bapa mertua
        Pasangan, anak kandung/tiri/angkat di bawah 21 tahun dan anak kurang upaya.
        Anak-anak yang berumur antara 21 dan 34 tahun yang tidak bekerja di Malaysia atau sudah berkahwin.
        Ibu bapa dan/atau ibu bapa mertua
        Pasangan, anak kandung/tiri/angkat di bawah 21 tahun dan anak kurang upaya.
        Anak-anak yang berumur antara 21 dan 34 tahun yang tidak bekerja di Malaysia atau sudah berkahwin.
        Ibu bapa dan/atau ibu bapa mertua

        Tiong King Sing sebagai aktor penting kemasukan warga China melalui MM2H

          MM2H diwujudkan bagi membawa masuk warga asing yang memenuhi kriteria tertentu. Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berperanan untuk menentukan kelayakan-kelayakan yang perlu dipenuhi oleh peserta daripada sudut saringan latar belakang dan menetapkan dasar siling bilangan peserta MM2H bagi mengelakkan berlaku lambakan warga asing di Malaysia serta aktiviti jenayah seperti perisikan. – MOHA

          Dengan kerjasama KDN, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertanggungjawab untuk mempromosikan MM2H melalui perkenalan syarat-syarat pendaftaran serta insentif dan manfaat yang bakal diperolehi. MOTAC juga berfungsi sebagai agensi yang mengendalikan urusan berkaitan peserta sedia ada seperti permohonan lanjutan pas, pindah pas, pengeluaran pas khas, dan hal-hal harian lain. – Astro Awani

          Dalam perkembangan terbaru, MOTAC dilihat telah mengambil alih fungsi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sebelum ini diberi tanggungjawab untuk meluluskan permohonan baru serta memproses permohonan sedia ada sejak Oktober 2021. Oleh  itu, bermula 18 Disember, kaunter perkhidmatan pusat sehenti MM2H dipindahkan ke pejabat MOTAC susulan daripada penamatan operasi pusat MM2H di Jabatan Imigresen (JIM) pada 15 Disember 2023. Perkembangan ini menunjukkan pertambahan kuasa kepada Tiong King Sing termasuk memutuskan warga asal dari mana yang lebih layak menyertai MM2H. – Astro Awani

          Tiong King Sing menjadi aktor penting dalam usaha untuk membawa masuk warga China ke dalam negara terutamanya melalui MM2H dan pengecualian visa 30 hari kepada pelancong China. Seawal Jun tahun lepas, Tiong King Sing sudah mula memberi petunjuk bahawa syarat-syarat MM2H bakal dilonggarkan mengikut tiga kategori. Susulan daripada itu, Tiong King Sing telah mengadakan pertemuan dengan Sultan Ibrahim yang menggesa supaya syarat-syarat MM2H tidak membebankan warga asing. Terdahulu, pada tahun 2021, Sultan Ibrahim bertitah supaya kajian dibuat mengenai syarat-syarat baharu MM2H yang dilihat terlalu ketat. – The Star, Sinar Harian

          Kelonggaran MM2H dijangka memberi manfaat kepada projek pemilikan bersama antara Country Garden Holdings (60%) dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd (40%) yang dimiliki oleh Sultan Johor iaitu Forest City. Forest City yang baru sahaja di umum sebagai Zon Khas Kewangan oleh kerajaan persekutuan pada Ogos 2023 mendapat suntikan baharu dengan penghidupan dan perstrukturan semula projek High Speed Rail (HSR) Kuala Lumpur-Singapura ditambah dengan projek Rapid Transit System (RTS) Johor Bahru-Singapura yang bakal bermula pada hujung 2026. – The Edge, FMT, Yahoo News

          Implikasi kelonggaran syarat kemasukan melalui perlaksanaan MM2H

            Pengenalan MM2H yang menggalakkan warga asing untuk membuat pembelian rumah di Malaysia dengan harga yang lebih tinggi telah memberi kesan kepada pasaran hartanah di Malaysia. Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 menunjukkan pemaju semakin menumpukan kepada pembinaan harta tanah mewah berbanding rumah mampu milik. Berdasarkan laporan itu, antara tahun 2012-2014, segmen hartanah kurang daripada RM250,000 menurun 8.5 peratus berbanding pada 2010-2011. Hal ini kerana, berlaku peningkatan yang signifikan kepada pelancaran harta tanah mewah yang bernilai RM250,000 ke atas sebanyak 11.2 peratus dan 12.6 peratus bagi harta tanah bernilai RM500,000 ke atas. Perubahan landskap perumahan ini memberi kesan kepada kadar rumah belum dijual di Malaysia dengan majoritinya adalah merupakan rumah tidak mampu milik (79.1%) berbanding rumah mampu milik (20.9%). Akibatnya, bilangan rumah mampu milik meruncing dan peluang golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah semakin rendah. – Bank Negara Malaysia

            Gambar: Pelancaran rumah mampu milik dan tidak mampu milik – Bank Negara Malaysia

            Sementara itu, kebanyakan daripada pembeli rumah menerusi program MM2H ialah warga China dengan pembelian sebanyak 1,664 unit atau 37 peratus daripada 4,499 unit rumah dari 2007 hingga 2018. – Harian Metro

            Di samping itu, program MM2H memberi kesan kepada landskap demografi negara melalui peningkatan bilangan warga asing terutamanya dari China. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, demografi negara meningkat sebanyak 2.1 peratus pada tahun 2023 dengan kebanyakannya disumbang oleh warga asing. Pada masa sama, peratusan penduduk bukan warganegara meningkat dari 7.6 peratus kepada 8.9 peratus. Lebih-lebih lagi, kelonggaran baru MM2H yang diperkenalkan pada hujung tahun lepas memberi keistimewaan kepada pemegang pas Platinum untuk memperoleh status penduduk tetap (PR). Pemegang MyPR ini kemudian berpotensi mendapat status warganegara sekiranya mencukupi syarat. Sejak 2008, sebanyak 57,191 penduduk tetap telah dianugerahkan kerakyatan. – Sinar Harian, Berita Harian

            Perolehan status penduduk tetap di Malaysia membolehkan seseorang itu mendapat beberapa manfaat seperti pengecualian visa untuk masuk dan keluar negara, tinggal dalam negara ini selama-lamanya, memiliki dan mengendalikan perniagaan sendiri, mendapatkan pekerjaan tanpa memerlukan permit kerja, dan akses kepada penjagaan kesihatan awam. Walau bagaimanapun, penduduk tetap mempunyai keterbatasan tersendiri seperti tertakluk kepada terma warga asing ketika membeli hartanah, dilarang terlibat dalam parti politik, dilarang mengundi semasa pilihan raya, dan status PR boleh ditarik bila-bila masa. Namun begitu, manfaat terbesar status penduduk tetap adalah anak-anak mereka bakal mendapat taraf kewarganegaraan bersama dengan keistimewaan-keistimewaan sebagai rakyat Malaysia termasuk mengundi. – Property Guru, Majlis Keselamatan Negara

            Tambahan pula, sektor pelancongan yang tidak dikawal selia dengan ketat juga menyumbang kepada peningkatan demografi warga China di Malaysia. Berdasarkan angka yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terdapat lebih 1.2 juta pelancong China yang tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 2,960 warga China dilaporkan berkahwin dengan lelaki tempatan. Kemasukan pelancong China dijangka menjadi semakin tidak terkawal dengan pengenalan pengecualian visa 30 hari kepada warga itu dari 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024. Melalui inisiatif ini, pelancong China meningkat sebanyak 50 peratus pada Tahun Baharu Cina 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023. – Berita Harian, Borneo Network

            Rumusan

              Akhir sekali, program MM2H berisiko memberi kesan domino kepada status kuasa nasional negara. Pertama, pelancaran dan kelonggaran syarat MM2H mampu mengubah status quo demografi negara pada masa akan datang. Kedua, MM2H memberi kesan kepada pembuatan dan pelaksanaan dasar-dasar lain seperti pelancongan, perumahan, kewarganegaraan, ekonomi, dan hubungan luar. Ketiga, struktur pembandaran juga dijangka akan dibina bersesuaian dengan keperluan warga China ini seperti Forest City. Oleh yang demikian, meskipun pelaksanaan MM2H membawa masuk duit ke dalam kantung negara, ia tidak meneliti kesannya kepada faktor-faktor lain selain ekonomi. 

              Disediakan oleh:
              Knowledge Management Center (KMC)
              IRIS Institute

              Leave a Reply

              Your email address will not be published. Required fields are marked *

              Previous Post

              Apa yang Membawa kepada Kekalahan Mengejut Erdogan dalam Pilihan Raya Tempatan Turki

              Next Post

              Harga minyak meningkat Tatkala Israel mempertimbangkan Serangan balas terhadap Iran

              Related Posts

              Langgan sekarang untuk terus membaca.

              Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

              Pakej Asas

              RM200 / tahun

              Pakej Perak

              RM500 / tahun

              Pakej Premium

              Bermula RM1000

              Berminat Untuk Menyumbang?

              Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

              Skip to content