Apa Yang Membawa kepada Kekalahan Mengejut Erdogan dalam Pilihan Raya Tempatan Turki

Pada 31 Mac 2024 yang lalu, Turki telah mengadakan pilihan raya tempatan yang menyaksikan kekalahan mengejut dan pertama kali buat Parti Keadilan dan Pembangunan (Parti AK) sejak Erdogan memegang tampuk pemerintahan sejak 21 tahun yang lalu.

Kekalahan ini juga berlaku hanya selepas sembilan bulan kemenangan Erdogan dan Parti AK dalam pilihan raya Presiden dan Parlimen pada 14 Mei 2023 yang lalu. Dalam pemilihan presiden, Erdogan berjaya memperoleh kemenangan tipis sebanyak 52.14 peratus undi, mengatasi Kilicdaroglu yang menerima 47.86 peratus. Manakala, bagi pilihan raya parlimen, Parti Keadilan dan Pembangunan (Parti AK) memenangi 268 kerusi parlimen dan berjaya memperoleh majoriti iaitu 301 kerusi dengan sokongan Parti Gerakan Nasionalis (MHP) dan Parti Kebajikan Baru (YRP). – CNN, Daily Sabah

Kemenangan CHP di Metropolitan Utama

Pilihan raya tempatan yang dianjurkan merangkumi 81 wilayah yang terdiri daripada 30 metropolitan dan 51 bandar. Keputusan akhir pilihan raya tempatan menyaksikan kekalahan mengejut dan pertama kali buat Parti Keadilan dan Pembangunan (Parti AK) sejak Erdogan memegang tampuk kuasa 21 tahun lalu. Dalam pilihan raya tempatan kali ini, Parti Rakyat Republik (CHP) mencapai kemenangan dengan undi sebanyak 37.77 peratus bersamaan dengan 35 daripada 81 wilayah, mengatasi AKP yang hanya mencatat undi sebanyak 35.49 peratus dan memenangi 24 wilayah. Sementara itu, dilaporkan juga kadar keluar mengundi ialah 78.5 peratus, yang terendah sejak pilihan raya 2004. – Secim

Meskipun peratusan kemenangan CHP ke atas AKP adalah tipis, margin kekalahan AKP di dua metropolitan utama seperti Istanbul dan Ankara semakin melebar dalam pilihan raya kali ini. Di Istanbul, CHP mengatasi AKP dengan margin 11.56 peratus, meningkat 2.34 peratus berbanding pada pilihan raya lepas. Manakala, di Ankara, CHP mencatat kemenangan bergaya ke atas AKP dengan margin besar iaitu 28.76 peratus, meningkat sebanyak 24.88 peratus berbanding pada 2019. Keputusan ini menyaksikan CHP kekal menguasai Istanbul dan Ankara selepas merampas dua metropolitan itu buat kali pertama pada 2019. Kemenangan CHP di metropolitan terbesar, Istanbul dan ibu negara Turki, Ankara penting bagi AKP kerana ia penentu kepada masa depan politik Erdogan. Menurut Ihsan Aktas, pengerusi Pusat Penyelidikan Politik Genar, sesiapa sahaja yang menguasai Istanbul, menguasai Turki. Hal ini kerana, Istanbul merupakan rumah kepada lebih daripada 15 juta rakyat Turki dan oleh itu, sesiapa yang mengawalnya menguasai sebahagian besar ekonomi Turki termasuk perdagangan, pelancongan, dan kewangan. – Secim, BBC

Selain gagal untuk merampas kembali Ankara dan Istanbul, AKP juga gagal mengekalkan penguasaannya terhadap bandar-bandar penting seperti Bursa, Balikesir, Adiyaman, dan Afyon sementara CHP berjaya mengekalkan kawalan ke atas Izmir, Adana, dan Antalya. Namun begitu, AKP dengan kerjasama Pakatan Rakyat berjaya merampas dua kubu kuat CHP iaitu Kirklareli dan Hatay. Hasil daripada pilihan raya ini menyaksikan AKP hilang 11 bandar yang dikawalnya sejak 2019 dan menunjukkan prestasi buruk di lima bandar terbesar.  – Secim

Hampir 16 juta pesara boikot pilihanraya, peratusan keluar mengundi terendah sejak 2004

Mengulas perkembangan ini, Ahmet Turan Han mendakwa antara faktor kekalahan AKP adalah disebabkan oleh protes daripada pesara. Menurutnya, hampir 16 juta pesara yang kebanyakannya menyokong Erdogan telah memboikot pilihan raya tempatan kali ini. Hal ini kerana, jumlah pencen bulanan minimum mencecah 41 peratus lebih rendah daripada gaji minimum di Turki. Tambahnya, peratusan keluar mengundi yang rendah menunjukkan kebanyakan pengundi Erdogan samada tidak keluar rumah untuk mengundi atau menukar undi kepada pihak pembangkang. Tambahan pula, Erdogan dikatakan tidak mampu menyelesaikan masalah pesara kerana risau berlaku kelompongan besar dalam bajet kewangan Turki yang kini mengalami tekanan akibat daripada inflasi. – Middle East Eye

Respon dan Dasar Turki terhadap Israel & Palestin beri kesan kepada jumlah undi

Selain itu, Ahmet Turan Han juga menganggap dasar Turki terhadap Palestin memainkan peranan besar dalam kekalahan ini. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai faktor ini. Namun begitu, kelantangan Erdogan dalam mengecam Israel serta memanggil semula duta Turki ke Israel pada November 2023 berkemungkinan telah menimbulkan keresahan nasionalis yang mahukan kerajaan untuk mengambil posisi neutral dalam isu Palestin. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan sentimen nasionalis di kalangan rakyat Turki. Pilihan raya tahun lepas menunjukkan nasionalis mewakili suku daripada bilangan keluar mengundi. Meskipun berlaku perhimpunan solidariti Palestin di Turki, 60 peratus daripada rakyat Turki berpendapat Turki sepatutnya mengambil langkah berkecuali dalam isu Palestin dalam tinjauan yang dilakukan pada Oktober 2023. – The Cradle, PISM

Menjawab kelantangan Erdogan terhadap Israel, surat khabar Israel, Maariv mendakwa ia sekadar laungan retorik politik Erdogan bagi mendapatkan sokongan rakyat Turki pada pilihan raya ini. Berdasarkan laporan terbarunya, Maariv mendedahkan jawapan Timbalan Duta Turki yang mengatakan bahawa Erdogan ingin menambah baik hubungan dengan Israel sejurus tamat pilihan raya tempatan Turki termasuk menghantar dutanya ke sana. Dalam pendedahan itu, Erdogan dipercayai sudah mula mengizinkan eksport barangan Turki termasuk alatan ketenteraan ke Israel. Manakala, menurut Mohamad Hasan Sweidan, perdagangan Turki-Israel semasa perang Taufan Al-Aqsa lebih rancak berbanding ketika sebelum perang dengan peningkatan sebanyak 34.8 peratus. Tambahnya, pemulihan hubungan Turki-Israel juga didorong oleh projek tenaga yang bakal menjadikan Turki sebagai hab transit tenaga daripada Asia Barat ke Eropah. Oleh itu, faktor retorik Erdogan dalam memperjuangkan isu Palestin juga dilihat menjadi pendorong kepada pengundi pro-Palestin di Turki untuk tidak keluar mengundi. – The Cradle, The Cradle

Kebangkitan Parti Yeniden Refah (YRP) sebagai alternatif pengundi Islamis

Selain itu, antara faktor kekalahan AKP yang hangat dibincangkan adalah kebangkitan parti Yeniden Refah (YRP) yang menjadi alternatif kepada pengundi Islam di Turki. Peter Kenyon dalam wawancara bersama National Public Radio, mendedahkan bahawa kemunculan YRP telah mencuri beberapa undi yang sepatutnya pergi kepada AKP. Pada masa sama, Ahmet Turan juga mengatakan bahawa YRP menawarkan alternatif kepada segmen pengundi Islam. Dalam pilihan raya tempatan, YRP menunjukkan prestasi yang cemerlang walaupun baru sahaja ditubuhkan dan dijenama semula pada 2018 dengan menduduki tangga ketiga di belakang AKP dengan kumulatif undian sebanyak 6.19 peratus. Menariknya, sekiranya jumlah undi AKP iaitu 16.9 juta dan YRP iaitu 2.8 juta di campurkan, jumlah undian mereka akan mengatasi jumlah undi yang diperolehi oleh CHP iaitu 17.3 juta. Namun begitu, menurut Ibrahim Karatas, AKP tetap akan kalah sekiranya YRP tidak bertanding sekalipun kerana pengundi tegar AKP tetap akan menunjukkan perasaan dengan tidak keluar mengundi. Hal ini kerana, sekurang-kurangnya 6 juta pengundi tegar AKP tidak mencabut undi. – Middle East Eye, NPRDAILY SABAH

CHP bakal desak percepat pilihan raya Presiden 2028, Erdogan miliki kelebihan intervensi

Dalam membaca senario seterusnya, Ibrahim Karatas berpendapat bahawa pihak CHP dengan momentum kemenangan akan mendesak supaya pilihan raya umum diawalkan berbanding tarikh asal iaitu pada 2028. Walau bagaimanapun, Ibrahim mendakwa keyakinan CHP akan membawa padah berikutan undian dan sokongan rakyat kepada mereka sebenarnya tidak bertambah, melainkan undian kepada AKP yang berkurang akibat protes pengundi tegar yang tidak keluar mengundi dan tukar undi kepada YRP. Oleh yang demikian, pengaruh dan kuasa Erdogan masih kukuh. Katanya, sekiranya Erdogan melakukan perubahan seperti yang diminta penyokongnya, besar kemungkinan mereka akan kembali mengundi dan menyokong Erdogan. – DAILY SABAH

Kesimpulannya, antara kekalahan AKP yang dibincangkan adalah berpunca daripada hilang keyakinan oleh pengundi tegar, kebangkitan nasionalis, kekecewaan pengundi pro-palestin, dan kebangkitan parti Islam baharu iaitu Yeniden Refah. Walau bagaimanapun, kekalahan ini tidak memberi kesan secara langsung di peringkat nasional berikutan AKP dan Erdogan masih menguasai parlimen sehingga 2028. Melihat kepada perkembangan semasa, percaturan politik Turki akan menjadi hangat dengan desakan CHP untuk mempercepatkan pilihan raya umum dan usaha Erdogan untuk kekal berkuasa dengan meminda perlembagaan.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center (KMC)
IRIS Institute

*Analisa Komentar adalah produk IRIS yang mengumpulkan pendapat dan analisis daripada pakar mengenai isu dan tema terpilih. Hasil daripada kompilasi ini, pelanggan dapat menghasilkan analisa dan dapatan tersendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konsortium China Dijangka Mendapat Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, Kukuhkan Perancangan Perluasan Projek PenChinaan dari China Ke Singapura

Next Post

Trend Kemasukan Warga Asing Terutamanya Dari China Melalui program MM2H

Related Posts
Skip to content