7 Senario Pasca Pilihanraya Parlimen Turki

Seorang lelaki membaca akhbar untuk memeriksa keputusan pilihan raya di wilayah tenggara Turki Diyarbakir pada 8 Jun 2015 (AFP Photo)
Seorang lelaki membaca akhbar untuk memeriksa keputusan pilihan raya di wilayah tenggara Turki Diyarbakir pada 8 Jun 2015 (AFP Photo)

Menurut keputusan tidak rasmi pilihanraya parlimen Turki 2015, parti yang mendominasi pentadbiran dan pemerintahan Turki sejak 2002 iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memperoleh 258 kerusi, di bawah capaian 276 kerusi, bilangan minimum yang diperlukan bagi mengekalkan majoriti mudah di parlimen. Oleh itu, dua pilihan yang berbeza sedang menanti negara Turki sekarang, sama ada kerajaan campuran atau kerajaan minoriti.

Apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan minoriti dan campuran?

Dalam sistem politik Turki, kerajaan minoriti terbentuk apabila sebuah parti politik tidak memiliki majoriti kerusi keseluruhan di Parlimen (iaitu 276 kerusi). Suatu pihak atau beberapa pihak mengadakan satu pakatan atau perikatan rasmi, atau perjanjian dengan suatu pihak yang lain bagi mendapatkan ‘undi yakin’ atau percaya.

Kerajaan minoriti pada kebiasaannya tidak stabil, kerana mereka dijangka boleh kehilangan ‘undi yakin’ itu pada bila-bila masa, memaksa pilihanraya semula dilaksanakan. Tambahan itu, kerajaan minoriti sering terpaksa berkompromi dengan polisi mereka. Kerajaan campuran bermaksud semua pihak adalah kuasa minoriti dikehendaki bekerjasama dalam mencapai sebarang kata putus. Memandangkan ini adalah proses yang perlahan untuk ideologi yang berbeza bertemu di suatu titik yang sama, kerajaan campuran biasanya cenderung untuk bertelingkah.

Sistem politik Turki tidak membenarkan pakatan pilihanraya dibentuk dalam kalangan parti-parti politik sebelum pilihanraya berlangsung, sekali gus menjadikannya sukar bagi parti-parti politik untuk bersepakat dengan agenda yang sama.

 

Senario 1 : Kerajaan minoriti AKP

Dalam senario AKP membentuk kerajaan minoriti dengan kerusi yang dimenangi sebanyak 258, ia perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya salah satu daripada ketiga-tiga parti yang diluluskan melepasi ‘threshold’ sebanyak 10 peratus dan masuk parlimen, atau sekurang-kurangnya 18 undi daripada pemegang kerusi parlimen untuk menyatakan ‘undi yakin’ terhadap AKP bagi mencapai total 276 undi.

Namun begitu, dengan situasi ketiga-tiga pihak menutup pintu mereka untuk apa-apa jenis pakatan dan kerjasama dengan AKP, kemungkinan bagi mencapai pakatan ini adalah mustahil. Ditambah juga dengan keadaan disiplin dalaman parti agak tegas dalam isu kepimpinan, dan sebab-sebab lain perpecahan telah dikurangkan dalam parti-parti pembangkang, seolah-olah tidak mungkin AKP akan dapat meyakinkan mana-mana 18 kerusi untuk memberikan ‘undi yakin’ mereka.

 

Senario 2 : CHP, MHP membentuk kerajaan minoriti, dan HDP menyokongnya.

CHP dan MHP tidak boleh membentuk kerajaan sendiri, kerana jumlah kerusi yang dimenangi mereka hanya berjumlah 212, jauh dari jumlah minimum yang diperlukan dari 276 kerusi bagi membentuk sebuah kerajaan. Oleh itu, kedua-dua pihak memerlukan sokongan parti lain selain AKP seperti HDP dengan 80 kerusi untuk membentuk kerajaan minoriti. Walaubagaimanapun, dengan kenyataan Pengerusi MHP Devlet Bahçeli bahawa mereka tidak akan bergabung dengan mana-mana pihak lain, senario ini nampaknya tidak boleh terlaksana.

 

a-man-reads-a-newspaper-to-check-the-results-of-el-1433775028537

Senario 3 : AKP, MHP bentuk kerajaan campuran

Setelah sekian lama, MHP merupakan parti yang berpotensi menjadi rakan komponen AKP. Ahmet Davutoglu dilihat juga seolah ‘membuka’ pintu kerjasama dan berbicara agak “lembut” apabila bercakap tentang MHP semasa perhimpunan pilihanraya, tetapi sekali lagi, dengan Pengerusi MHP Devlet Bahçeli menutup pintu daripada sebarang pakatan dengan AKP, senario ini juga kelihatan mustahil. MHP menunjukkan pendirian yang agak tegas terhadap AKP dan Presiden Erdogan semasa kempen pilihanraya.

 

Senario 4 : AKP dan CHP bentuk kerajaan campuran

Senario lain, adalah AKP dan CHP membentuk kerajaan campuran bersama. Namun begitu, dengan kedudukan CHP sebagai pemenang tempat kedua, yang mendapat 24.96 peratus dari jumlah undi, juga telah menolak sebarang kemungkinan bergabung dengan parti pemerintah.

Gabungan sebegini juga boleh menyebabkan percanggahan dalam asas pilihanraya CHP, yang mempunyai pendirian yang cukup tegas dan bertentangan dengan AKP sejak 2002 lagi. Parti itu dilihat lebih sensitif dari kebiasaannya terhadap permintaan pengundi kerana CHP telah hilang banyak undi kepada HDP, dan tersasar jauh dari ramalan mereka.

 

Senario 5 : AKP dan HDP bentuk kerajaan campuran

Hal ini adalah salah satu senario yang menjadi spekulasi utama semasa pilihanraya. Walaupun Pengerusi bersama HDP, Selahattin Demirtaş pada awalnya tidak menolak untuk bergabung dan membentuk pakatan bersama AKP, namun kemudian telah menyatakan pendirian sebaliknya.

Selepas mencapai kemenangan yang melepasi threshold pilihanraya sebanyak 10 peratus pada Ahad lalu, Selahattin memberitahu umum di ibu pejabat HDP di Istanbul dengan menyatakan bahawa parti itu tidak akan menjadi sebahagian dari pakatan yang ingin diwujudkan oleh AKP. a-man-reads-a-newspaper-to-check-the-results-of-el-1433775030300

Banyak pendapat menyatakan bahawa perubahan keputusan HDP itu adalah disebabkan oleh tekanan yang diterima oleh Selahattin sendiri daripada para pengundi mereka. Bukan kerana percaya kepada janji parti itu, tetapi hanya ingin menghentikan AKP daripada berkuasa dominan. Lonjakan HDP melepasi 10 peratus threshold membolehkan mereka menghantar perwakilan mereka ke parlimen, iaitu sebanyak 80 kerusi.

Parti itu memenangi kerusi sebanyak itu kerana beberapa faktor. Antaranya kehendak AKP yang ingin membuat perubahan dasar perlembagaan dan ingin membincangkan perubahan berkenaan sistem dan kuasa presiden sedia ada. Gabungan HDP dengan AKP, sekiranya benar-benar terjadi, akan dilihat sebagai suatu ‘pengkhianatan’ kepada pengundi mereka yang rata-ratanya adalah dari orang-orang Kurdish, sebelah timur Turki. Parti Pro-Kurdish itu yang mewakilkan calon-calon bebas, hanya menerima sebanyak 6.5 peratus undi pada pilihanraya 2011.

 

Senario 6 : CHP, MHP dan HDP bentuk kerajaan campuran

Jika AKP, tidak berjaya membentuk kerajaan campuran bersama parti-parti lain, CHP, MHP dan HDP cukup bagi membentuk kerajaan. Dengan jumlah keseluruhan mereka sebanyak 292 kerusi di parlimen. Percaturan ini dilihat mudah di atas kertas, namun agak mustahil untuk direalisasikan. Hal ini kerana pertempuran ideologi yang kuat antara nasionalis sayap kanan MHP dan HDP Pro-Kurdish.

Malah, ini bukan contoh yang pertama dalam sejarah Turki yang terdiri daripada ideologi yang berbeza dalam membentuk sebuah kerajaan. Pada tahun 1999, MHP bergabung bersama Democratic Left Party (DSP) dan Motherland Party (ANAP). Ketiga-tiga parti telah mengorbankan beberapa polisi parti mereka, kerana mereka melihat kerajaan campuran adalah suatu langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan peningkatan kuasa tentera dalam politik Turki pada waktu itu.

a-man-reads-a-newspaper-to-check-the-results-of-el-1433774770089

Gabungan itu disifatkan sebagai sebuah kejayaan kerana telah berjaya menyelamatkan Turki daripada krisis kegawatan ekonomi yang mungkin boleh mengancam segala industri utama negara. Gabungan ini juga telah berjaya membawa banyak pembaharuan dari sudut pentadbiran dan ekonomi, melalui penglibatan Kesatuan Eropah (EU), yang kemudiannya dimanfaatkan oleh kerajaan tunggal AKP hari ini.

Hal ini telah membuktikan bahawa ideologi yang berbeza boleh bekerja dan duduk sekali di bawah satu misi yang sama. Titik persamaannya adalah pada isu-isu utama negara, yang menjadikan parti-parti yang berlainan ideologi pun boleh bekerjasama dengan syarat tidak menggadaikan negara.

 

Senario 7 : Pilihanraya Semula (Early Election)

Senario ini adalah pilihan terakhir. Jika tiada gabungan boleh dibentuk, atau kerajaan minoriti gagal untuk memenangi ‘undi yakin’ dalam tempoh 45 hari, perlembagaan memberikan kuasa kepada Presiden Erdogan untuk menjalankan pilihanraya parlimen yang baru. Pilihanraya akan diadakan dalam tempoh 90 hari kemudian.

 

Sumber :DailySabah

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pilihanraya Turki: Strategi Minoriti HDP Berkesan?

Next Post

Israel : Strategi Menahan dan Menyeksa Tahanan Kanak-kanak dalam Merampas Tanah Palestin

Related Posts