Pilihanraya Turki: Strategi Minoriti HDP Berkesan?

Selahattin Demirtas
Selahattin Demirtas

13 peratus undi yang berjaya diraih parti pro-Kurdish, HDP pada pilihanraya Turki Ahad lalu telah memberi sejarah yang bermakna buat etnik minoriti negara tersebut. HDP merupakan blok politik pertama pro-Kurdish yang berjaya melepasi peratusan minimum dan berjaya untuk menempatkan wakil mereka di parlimen bagi mewakili 14 juta etnik Kurdish di negara itu.

Kejayaan HDP pada pilihanraya kali ini sudah dijangka dengan melihatkan strategi mereka yang menumpukan golongan minoriti etnik dan agama bagi mendapatkan undi. Malah, salah seorang daripada pimpinan parti tersebut, Selahattin Demirtas meminta agar diperluaskan lagi hak-hak minoriti termasuk untuk melaksanakan reformasi pendidikan dan linguistik, yang sudah lama dituntut puak Kurdish di negara tersebut. Bukan itu sahaja, Selahattin turut menuntut hak pengiktirafan diberikan kepada puak syiah yang dikenali sebagai Muslim Alevi.

Strategi minoriti HDP ini juga diperakui oleh Ege Seckin, seorang penganalisis Turki di IHS Consultancy yang berpusat di London. Menurut beliau, keseluruhan perjuangan kempen mereka berdasarkan kepada kepentingan golongan minoriti. “Apabila kita memperluaskan cara pendekatan sebegini, kita akan mengambil kira satu bahagian yang signifikan dalam populasi negara tersebut.”, jelas Seckin.

Selepas berjaya melepasi peratusan minimum 10 peratus, HDP telah mengetengahkan dua orang ahlinya yang mewakili suara minoriti agama Yazidi bagi mengisi 80 kerusi yang berjaya dimenangi parti itu. Malah 31 orang wakil wanita telah diketengahkan oleh mereka bagi sesi parlimen yang berikutnya, satu jumlah tertinggi berbanding parti-parti politik lain, dan mereka juga melantik calon gay yang pertama dalam sejarah politik Turki, Baris Sulu.

Pendekatan parti ini sudah tentu menjadi gerakan yang paling liberal dalam mana-mana parti politik Timur Tengah apabila mereka mengetengahkan kebebasan LGBT dan memperjuangkan “a sexually free society”. Usaha ini bertentangan dengan apa yang dilaksanakan sepanjang pemerintahan AKP sebelum ini yang tidak mengiktiraf hak LGBT, yang masih lagi menjadi stigma besar dalam masyarakat Muslim Turki.

Selain HDP, parti politik CHP turut menggunakan taktik yang sama dengan hak minoriti apabila salah seorang calonnya yang terpilih, Ozcan Purcu merupakan wakil etnik Roma yang pertama yang dilantik ke Parlimen. CHP berjaya memperoleh undi sebanyak 25 peratus dalam pilihanraya lepas.

Namun, bagi HDP, mereka adalah parti yang terbaik dalam mengetengahkan konsep pluralism dalam parti politik mereka. Malah disebabkan mereka adalah parti puak Kurdish, mereka lebih mempunyai kredibiliti dalam memperjuangkan hak minoriti di Turki.

Sumber : AlJazeera

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Yaman; Presiden Hadi Tidak Mahu Berdamai

Next Post

7 Senario Pasca Pilihanraya Parlimen Turki

Related Posts
Skip to content