Menurut Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Faizul Mustafa, jelapang padi di bawah KADA adalah jelapang kedua terbesar negara dengan keluasan padi 26,664 hektar, namun pengurangan berlaku sebanyak 11,000 hektar berbanding kawasan asal pada 1972 adalah seluas 37,670 hektar. (Hmetro)
Tambahnya, pengeluaran padi di kawasan KADA menyumbang antara 10 hingga 11 peratus hasil pengeluaran padi setahun negara. Katanya, Pengurangan kawasan ini disebabkan faktor pembangunan komersil, pembinaan kediaman, jalan dan sebagainya. (Hmetro)
Pada ketika ini, kawasan padi di semenanjung Malaysia dan Labuan hanya 7.1 peratus atau 379,000 hektar daripada keseluruhan 5.36 juta hektar tanah pertanian. Tambahan pula, hasil padi negara dilaporkan merosot sehingga lebih 300,000 tan metrik dalam tempoh enam tahun sejak 2015 di seluruh negara. (Utusan)
Malaysia yang ketika ini amat memerlukan tambahan tanah pertanian seluas 483,000 hektar atau 37 peratus berdasarkan unjuran jumlah penduduk yang dijangka bertambah kepada 40.7 juta pada 2040, kehilangan 11,000 hektar tanah padi. (Utusan)
Menurut, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin, isu kekurangan tanah pertanian adalah disebabkan penukaran status kepada industri yang mempunyai pungutan cukai tinggi. Katanya, kerajaan negeri terpaksa menebus guna tanah pertanian kepada perindustrian sebagai sumber pendapatan negeri melalui cukai tanah yang dikenakan kerana cukai tanah bagi aktiviti pertanian adalah rendah. (Utusan)
Pada Mei 2023, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan rancangan untuk menukar 20 peratus daripada tanah penanaman padi kepada kawasan perindustrian. Hal ini kerana, menurutnya, cukai tanah untuk sawah adalah yang paling rendah, sekaligus menyumbang kepada kadar kemiskinan yang tinggi di negeri itu. (Malaysia Kini)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.