Pramugari Muslim Digantung Kerja Gara-gara Enggan Menghidangkan Alkohol

Charee Stanley telah diberi cuti kerja selama 12 bulan oleh syarikat penerbangan ExpressJet setelah enggan menghidangkan alkohol
Charee Stanley telah diberi cuti kerja selama 12 bulan oleh syarikat penerbangan ExpressJet setelah enggan menghidangkan alkohol.

Seorang pramugari muslim berkata dia telah digantung oleh syarikat penerbangan Amerika, ExpressJet akibat enggan menghidangkan minuman beralkohol selaras dengan kepercayaannya.

Charee Stanley, 40, pekerja yang berkhidmat di syarikat penerbangan tersebut selama 3 tahun, telah digantung kerja pada Ogos lalu setelah rakan sekerjanya memfailkan aduan terhadap dirinya, mendakwa Stanley tidak menjalankan tugasnya apabila enggan untuk menghidangkan alkohol.

Aduan tersebut turut mendakwa Stanley mempunyai buku yang bertulisan asing dan memakai hijab.

Stanley memeluk Islam setahun lalu dan baru sahaja mendapat tahu bahawa Islam melarangnya daripada mengambil alkohol apatah lagi menghidangkannya, menurut Lena Masri, seorang peguam bela Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) di Michigan.

Minggu lepas, Stanley memfailkan aduan diskriminasi melalui Equal Employment Opportunity Commission bagi mendapatkan pekerjaannya semula.

”Saya tak rasa yang saya patut memilih antara mempraktikkan agama saya dengan betul atau mencari nafkah,” kata Stanley.

”Pokok kes ini adalah tiada sesiapa pun yang harus memilih antara karier atau agama dan ia merupakan kewajipan majikan untuk menyediakan persekitaran yang selamat di mana para pekerjanya dapat merasakan yang mereka boleh mengamalkan agama mereka dengan bebas,” kata Masri.

”Mereka memberinya cuti tanpa gaji dan Stanley dimaklumkan dia bakal dibuang kerja setelah 12 bulan,” kata Masri lagi.

”Kami memohon agar pekerjaan dan ruang kepercayaan agamanya dikembalikan semula.”

Stanley mahu melakukan pekerjaannya tanpa menghidangkan alkohol seperti mana dia biasa melakukannya sebelum ini, kata peguamnya.

”Ia merupakan arahan daripada syarikat penerbangan yang Stanley mula bertugas bersama pramugari yang lain jadi bila penumpang meminta alkohol, pramugari lain yang akan menguruskan permintaan tersebut,” tambahnya lagi.

”Kami tahu peraturan ini telah dijalankan dengan baik sekali tanpa sebarang insiden dan ia juga tidak memberikan sebarang beban yang tidak wajar ke atas syarikat penerbangan itu. Lagipun, ia merupakan cadangan daripada syarikat penerbangan tersebut.”

 

Terjemahan oleh: Nurul Fitrah Abdullah

Sumber: PressTv

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bencana Kekurangan Air Gaza: “ Kami tidak boleh minum, masak atau basuh dengannya “

Next Post

Amerika Syarikat Reka Pesawat Pengebom Khas Bagi Misi “Pivot to Asia” Selepas B-17

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content