Bencana Kekurangan Air Gaza: “ Kami tidak boleh minum, masak atau basuh dengannya “

55ec2e69c361880d758b45b0

Lebih daripada 90 peratus air di Semenanjung Gaza tidak boleh diminum. Bakinya pula habis dengan cepat. Gabungan beberapa faktor menyebabkan gangguan keperluan yang paling asas ini.

Menurut penduduk tempatan, hanya ada satu sumber air yang wujud pada waktu ini, iaitu akuifer bawah tanah yang dikongsi bersama oleh Israel dan Mesir. Tetapi Gaza terletak di hilir Israel, dan rakyat Palestin menuduh negara Yahudi itu menggunakan situasi ini untuk mengambil kesempatan, dengan kekurangan air sebagai taktik ke atas populasi awam.

Statistik air yang tidak memberansangkan tersebut merupakan sebahagian daripada laporan terbaru Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza, yang menyebut bahawa semenanjung itu tidak akan boleh didiami menjelang tahun 2020. Masalah itu berikutan beberapa sebab berdasarkan dokumen oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD).

GDP Semenanjung Gaza menjunam 15 peratus pada 2014, dengan 72 peratus isi rumah menderita akibat keselamatan makanan yang rendah dan rekod kadar pengangguran tinggi sehingga 44 peratus. Tekanan ini ditambah lagi oleh serangan IDF yang tiada henti. Dengan tiga operasi ketenteraan dalam tempoh enam tahun lepas, ditambah dengan sekatan ekonomi selama lapan tahun, menyebabkan proses pemulihan kelihatan sangat sukar.

PBB berkata seramai 500,000 orang menjadi pelarian di Gaza akibat daripada operasi IDF tahun lepas. Lebih daripada 20,000 buah rumah penduduk Palestin musnah, 148 buah sekolah, 15 buah hospital dan 45 buah pusat kesihatan rosak teruk. Gaza adalah salah satu daripada kawasan dengan populasi paling padat di dunia.

Tetapi apa yang lebih teruk pastinya kekurangan sumber utama hidup iaitu air. Tanpa air, tiada pembangunan semula yang boleh dibuat.Ubat-ubatan, kebersihan dan kemudahan asas yang bergantung kepada air semuanya terjejas.

“ Kami tidak boleh minum, masak atau basuh di dapur dengan air ini… kami terpaksa membeli air yang bersih, “ kata Umm Ibrahim Amna Abdel’al.

Trak mengangkut air kelihatan di jalan-jalan.

Menurut koordinator khas UNCTAD untuk Palestin, Mahmoud Elkhafif, “ Perang terakhir di Gaza telah mengakibatkan kemusnahan sebahagian infrastruktur, sumber air dan stesyen mengepam terjejas teruk. Lebih daripada 50 peratus infrastruktur air tidak boleh digunakan.”

“ Sebahagian lagi, sudah tentu, telah musnah,” tambah beliau lagi.

Wartawan RT,Lizzie Phelan mencuba sendiri air di Gaza: “ Kopi ini rasa seperti ditambah garam bukan gula di dalamnya. Ini kerana air yang digunakan telah dicemari air laut.”

Beliau selanjutnya menceritakan mengenai “ kanak-kanak yang menderita kekejangan dan sakit perut”, sindrom yang kebiasaanya diakibatkan oleh jangkitan dalam perut.

“ Lihat apa yang terjadi dengan tangan saya?” kata beliau merujuk kepada radang kulit pada tapak tangannya. “ Ini disebabkan oleh air masin. Saya terkena jangkitan kulit. Air ini penuh dengan garam. Sama seperti air kumbahan.”

Dan garam bukan satu-satunya masalah. Air yang sampai ke rumah juga dipenuhi nitrat, sejenis karsinogenik. Paras tersebut meningkat tahun lepas ketika pengeboman paip air kumbahan dan air bersih oleh Israel. Kini, kedua-dua bahan kimia itu telah bercampur.

Walaupun air tersebut kotor, penduduk Gaza membayar harga yang tinggi untuknya.

Elkhafif turut menyebut: “ Gaza sedang menderita bencana isu kualiti air dan bekalan air. Dan memalukan bagi masyarakat dunia kerana mereka masih hanya melihat masalah ini.”

Jika keadaan ini tidk diselesaikan, Gaza berada pada ambang malapetaka kemanusiaan besar-besaran yang lebih teruk daripada mana-mana serangan udara .

Terjemahan oleh: Ainun Mardhiah Jamaluddin

Sumber: rt.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kegemilangan Tamadun Kedah Tua Terbukti dengan Tinggalan Sungai Batu

Next Post

Pramugari Muslim Digantung Kerja Gara-gara Enggan Menghidangkan Alkohol

Related Posts
Skip to content